Monday, December 08, 2008

It's A Rainy Season

Hujan lebat. Sangat lebat. Seingat- ingat aku dah lama bumi Terengganu tak mengalami banjir yang seperti ini. Jalan nak balik ke rumah mak mertua pun hampir- hampir tak leh lalu. Tapi, hari tu abang redah juga. Bimbang juga takut tiba- tiba enjinnya mati. Tengok ada sebuah Proton Wira tersadai di tepi jalan, sambil menyalakan lampu emergencynya, hemmm... mesti enjin dia 'kong' sebab redah air yang boleh tahan juga dalamnya untuk sebuah kenderaan ringan.

Akhir- akhir ni ramalan cuaca asyik mengatakan "Hujan lebat yang melanda pantai timur adalah di tahap jingga."

Apa tu? Aku pun tak faham juga sebenarnya. Lalu mahu tak mahu terpaksa lah bertanya orang yang tahu walaupun jawapannya samar- samar.

"Abang, apa tu? Tahap jingga?"

"Hemm, tahap jingga ni tahap kena berjaga- jaga lah."

Tak puas hati lagi, aku try la godek2 dari mana- mana sumber yang sahih lagi boleh dipercayai. Oh, rupanya tahap jingga tu adalah peringkat amaran hujan monsun sederhana, dengan kelajuan angin 50- 60 kmsj disertai hujan sederhana menjadi lebat. Paling tinggi tahap merah yang mana ia merupakan peringkat amaran tertinggi dan merbahaya.

Sekadar tengok berita di tv, melalui kampung2 yang dilanda banjir, aku rasa bersyukur sangat2. Walaupun tinggal di rumah kecik, namun tak sampai dilanda banjir. setakat tiris- tiris tu bila hujan lebat, biasalah. Cuma yang agak menggelikan aku musim2 lembap dan becak macam ni, lintah bulan dan siput babi (kadang2 aku ajar anak aku dengan panggilan siput khinzir, tapi suamiku tak berkenan, katanya ajar anak dengan nama yang betul) yang suka merayap sampai atas simen depan rumah.

Aku secara peribadinya sangat sukakan hujan... Ada sesuatu pada hujan. Ada semacam rasa yang halus, damai menyusup masuk ke hati bila hari hujan. Ada nostalgia yang manis pada hujan. Namun, hujan tak menyenangkan semua orang.

Para nelayan, rasa susah hati bila hari hujan. Angin kuat, laut bergelora, tak dapat turun ke laut mencari rezeki. Mak pun selalu bersungut, musim hujan, ikan melambung naik harganya. Sama la penoreh getah dan petani. Teringat kat ayah mertua, masa awal- awal musim, tanaman ayah tak sempat diselamatkan. Habis tenggelam semuanya.

Kesian ayah. Bagi petani macam ayah, kena tunggu hujan agak slow untuk bercucuk tanam semula. Sehingga tanah tempat bertanam kering.

Itu cerita tentang hujan bagi setiap orang yang berbeza. Namun yang pasti, yang semua orang tak boleh nafikan, hujan itu rahmat. Rahmat bagi semua makhluk di alam ini. Bagi manusia, haiwan, tumbuhan, semua memerlukan hujan untuk hidup. Dan, bersyukurlah, hujan masih tetap turun.

Cuma, sebagai hamba harus beringat dan sedar, kadang- kadang Allah menurunkan bencana sebagai ingatan buat kita. Untuk kita selalu sedar bahawa kita adalah hamba, yang menumpang hidup di atas dunia. Jadi sebagai hamba, kena la ingat bahawa diri adalah hamba, bukannya tuan yang boleh buat sewenang- wenangnya terhadap muka bumi milik Allah ini.

10 Dzulhijjah 1429H