Saturday, October 24, 2009

Thursday, October 22, 2009

Umang-umang dan Ketam

Di pinggiran pantai nan indah lagi tenang….

Seekor anak ketam dan umang- umang berkejaran di gigi air. Ketam, dengan gaya jalannya yang senget, agak lambat bergerak ke hadapan. Sedang sang umang- umang berjalan dengan lurus dan agak cepat. Lama umang- umang menunggunya, barulah dapat bersaing. Begitulah berulang-ulang.

Lalu berkatalah si umang- umang yang merasakan dirinya best ini:

“Hei anak ketam! Kenapa kau jalan macam tu? Kesian aku tengok. Jalan, jalan, senget. Jalan aje, senget. Lama lagi la nak sampai kalau macam ini lah caranya kau berjalan. Cuba tengok aku jalan. Haaa, mana ada senget! ” Sambil menunjukkan caranya berjalan kepada si anak ketam yang terkebil- kebil melihatnya.

Si anak ketam yang naïf itupun berfikir:

“Alangkah baiknya kalau aku dapat jalan lurus seperti umang- umang. Pasti aku akan lebih cepat sampai ke destinasi yang aku tujui. ” Dia mula merasakan dirinya serba kekurangan. Sedangkan tanpa sedar, setiap makhluk itu Allah ciptakan dengan kelebihan dan kekurangan masing- masing.

Lalu si anak ketam pun berkata:

“Kalau macam tu, kau ajarlah aku Umang- umang. Mana tahu…, aku dapat jalan macam kau. Nampak segak dan bergaya.”

Dengan bangganya Umang- umang menjawab:

“Baik, aku akan ajar kau. Ha, tengok ni!”

Umang- umang terus menggayakan caranya berjalan. Walaupun terasa berat dengan kulit siput yang berada di atas belakangnya, umang- umang tetap ingin menunjukkan kehebatannya kepada anak ketam yang lurus bendul ini.

Si anak ketam cuba berjalan seperti si umang- umang. Dia menapak lurus ke depan. Namun, tanpa dia sedari, kejadian Allah padanya dan keturunannya sememangnya ajaib.

Cara berjalannya yang senget, takkan sama dengan makhluk lain. Ketam Allah jadikan cukup unik sekali. Sepasang kakinya tidak sedondong, bahkan sebelah tubuhnya tidak sama besar dengan yang sebelah lagi. Sebab tu kita lihat ketam tak berjalan lurus.

Namun, kerana tak mahu rasa kalah dengan umang- umang dia tetap juga cuba untuk berjalan lurus. Berkali- kali mencuba, ketam masih tetap ketam. Takkan jadi umang- umang. Si anak ketam mula berputus asa…

Dia rasa rendah diri. Namun, tiba- tiba dia tersedar dan terus beristighfar.

“Ya, Allah.. Ampunilah keterlanjuranku. Aku telah menyesali kejadianMu terhadap diriku. ”

Itulah kisahnya…

Cuba kita fikir dan renung, si anak ketam, walaupun dia berjalan senget, dia sebenarnya hebat. Dia tak menumpang rumah orang lain. Sehuduh- huduh dia, dia menjadi dirinya sendiri. Dia hidup dengan jati dirinya. Dia tidak seperti umang- umang yang menumpang kulit siput, bersembunyi di dalam kulit siput, dan kelihatan besar kerana kulit siput yang dia bawa di atas belakangnya. Bukan kerana dirinya sendiri. Umang- umang sebenarnya kecil sahaja.

Begitulah kita. Selalu rasa rendah diri kerana tidak seperti orang lain. Orang lain pakai seluar jeans koyak kat lutut, kita nak pakai juga. Orang lain hisap rokok, kita nak cuba juga. Orang lain buat rambut cacak- cacak style David Beckham, kita nak buat juga.

Kalau yang perempuan pula, orang colour kuku macam pelangi, kita pun buat ler juga. Orang lain hebat ber boyfriend, kita nak sama hebat juga. Orang pakai kain belah- belah, kita minta tukang jahit buat fesyen belah juga.

Aduhai……

Mudahnya kita terpengaruh dengan orang. Mudahnya kita nak jadi orang lain. Kononnya kalau tak macam orang lain, kita nampak pelik dan tersisih.

Orang lain adalah orang lain. Yang tiada larangan dalam adat dan agamanya. Sedang kita.., ada benteng yang memagari kita. Ada hudud yang tak boleh kita rentasi. Selama mana pun kita patuhinya, akan terjagalah maruah diri dan segalanya yang kita miliki.

Hebatnya kita kerana agama. Hebatnya kita kerana iman. Tak usahlah kita menjadi orang lain. Usahlah kita rasa malu dan rendah diri dengan pegangan kita. Selamanya kita akan jadi mulia, selama mana kita masih menjadikan Islam sebagai pegangan dan ikutan. Islam tak pernah jumud dan mundur, meskipun untuk sejuta tahun lagi.

ISLAM IS THE BEST WAY
ISLAM IS OUR WAY OF LIFE, FOR EVER AND EVER!


Catatan: Cerita ini saya adaptasikan daripada cerita "Umang- umang Dan Anak Ketam" oleh Encik Salmi, Pengurus Pemasaran Sabasun sewaktu Khemah Ibadat di Ma’ahad Tahfiz wa Tarbiyyah Darul Iman pada bulan Mac 2008.

Wednesday, October 14, 2009

MASIH BERBAKI SEDIKIT LAGI

Tinggal lagi 2 minggu praktikal mengajar akan usai. Tak sabar rasanya. Bukan tidak suka dengan kerjaya mengajar, tapi, keletihan yang melampau kerana menyiapkan RPH dan SPP seakan tidak tertanggung lagi. Seronok berada di SMK Belara ini. Yang tak seronok tu ada, tapi ingin aku campakkan segalanya jauh- jauh.

Lebih 2 bulan berada di sana, banyak sekali ragam pelajar dan guru yang ku temui. Yang pasti, cikgu- cikgu di sini semuanya baik- baik belaka. Tak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman.

Sepanjang 2 ½ bulan ini juga, aku cuba belajar untuk menepati masa. Aku yang jarang sekali dapat hadir awal ke kelas semasa di UDM, cuba sedaya upaya untuk samapai di sekolah sebelum atau tepat 7.30 pagi. Ada juga dalam seminggu, sekali dua terbabas dari waktu yang sepatutnya. Kesian suamiku. Setiap kali lewat, pasti memecut lajulah dia dalam keadaan stress.

Aku tak pasti, suatu hari nanti, andai benar- benar bertugas sebagai guru, apakah aku akan dapat menangani segala stress ini dengan baik. Apa yang dapat ku kenalpasti, jarak rumah yang jauh dari sekolah punca aku selalu kelam kabut.
Hemm, lama tidak menulis, kali ni aku bercerita pula tentang keadaanku. Tak apa lah. Sekadar meng ‘up date’ posting di dalam blog ini.

Buat sahabat- sahabat yang rajin mengunjungi, maaflah, dah lama tak ada cerita baru yang nak dikongsikan. Saya cuba refresh mood yang sering turun naik (lebih banyak turun)ini. Doakan saya juga dalam doa kalian.

Thursday, August 27, 2009

MARHABAN YA RAMADHAN

Untuk kali ini, saat makin dimamah usia,
saya benar- benar mengharapkan suatu kelainan. Yang tidak sama dengan Ramadhan saya yang telah lalu.

Biarlah kali ini, hadirnya bersama jasmani yang (lebih) sihat dan emosi yang (lebih)baik. Untuk saya mencari sesuatu yang kian hilang...Semakin berganjak usia ini, semakin banyak rasanya yang belum ditemui. Biarlah ketenangan yang hakiki itu benar- benar hadir dalam bilahan hari- hari di bulan Ramadhan ini.

Tuhanku..,
Benar- benar aku ini hamba Mu yang lemah lagi kerdil!

Wednesday, August 12, 2009

Dari Neraca Kenangan

“Ish, buat apa la nak ikut himpunan orang- orang bodoh macam tu… Bukankah akta itu digubal untuk menjaga kedaulatan raja- raja dan keselamatan negara? Daripada sibuk- sibuk tentang benda alah tu, lebih baik kita fikir cemana nak hapuskan jenayah ragut dan rompak yang makin berleluasa sekarang ni. ”

Saya sekadar menekurkan kepala sambil merenung nasi di pinggan. Nasi bersama lauk favourite, ikan keli goreng sambal pedas belumpun luak separuh. Saya teruskan juga suapan meski hati terasa amat dengan kata- kata tersebut. Hemm, dek kerana perut memang lapar sejak pagi, habis juga juadah di depan mata.

Saya tak faham… Sampai kadang- kadang terasa agak bengang dengan orang- orang seperti ini. Apa sebenarnya yang ada dalam kepala mereka? Sudah senak sangatkah sampai tidak boleh berfikir akan penderitaan yang dirasakan oleh lain? Tidak dapatkah merenung sejenak kesusahan mereka? Apa lagi untuk sama- sama berkongsi kesedihan.

Betapa tidak mengertinya orang- orang seperti ini. Hanya berfikir tentang ‘huru- hara’ (kononnya) yang hanya sehari itu. Sedang di sana, ada hati- hati yang bertahun diulit derita, ada anak- anak yang punyai ayah tetapi tidak dapat bersua muka.

Hampir 2 minggu telah berlalu, namun masih terdengar lagi komen- komen negatif berkenaan Himpunan Mansuhkan ISA, 1 Ogos lalu. Himpunan yang sepatutnya berlangsung secara aman, namun disurai secara yang tidak sepatutnya. Cubalah berada di situ, baru tahu siapa sebenarnya yang tidak demokratik dan tidak bertamadun.

TERIMBAU
Saya terlalu kecil ketika itu untuk mengingati semuanya. Sekitar pertengahan tahun 80an. Sangat samar- samar sekali. Tahu- tahu, kehidupan kami adik beradik cuma diuruskan oleh emak. Mak lah yang menghantar ke sekolah, menjaga kami adik beradik dan mencari nafkah. Maklah mak. Maklah pengganti ayah. Kami bukan kehilangan ayah, tapi ayah dirampas haknya untuk berada di sisi kami.

Saban bulan kami akan berehlah ke Taiping. Destinasinya Kem Tahanan Kemunting. Kami (emak dan kami anak- anak) pergi menaiki kereta dengan ditemani oleh sahabat- sahabat baik ayah. Samada Ayah Wan atau Pak Cik Wahid, ataupun Pak Su Kar. Dalam perjalanan, kami akan singgah di kedai makan, yang mana menu istimewanya nasi lemak dan ayam goreng. Itulah modal untuk memujuk kami adik beradik sekiranya meragam di dalam perjalanan.

Masih jelas dalam kenangan, bagaimana seronoknya kami adik- beradik dapat bertemu dengan ayah. Masakan tidak, lama sekali kami tidak melihat ayah. Memang kami semua sayangkan ayah. Ayah yang baik dan lembut dengan kami.

Untuk permulaan, kami hanya bertemu di sebalik cermin. Mak hanya mendengar suara ayah melalui intercom. Bersua muka, namun tak mampu bersentuhan.

Lama kemudiannya, setelah beberapa pertemuan, barulah kami dapat merasakan hangatnya dakapan dan ciuman kasih ayah. Bahagia sungguh rasanya dipeluk cium ayah. Emak? Tak tahulah saya bagaimana perasaannya tika itu, kerana saya masih terlalu kecil untuk memahami semuanya. Melihat tangisan mak, apa sangatlah yang dapat kami fahami.

Saya ingat lagi, pernah sekali, ada orang tangkap gambar kawasan dalam dan luar rumah banyak- banyak. Di segenap ruang rumah gambar diambil. Kami adik beradik turut bergaya di depan kamera. Rupa- rupanya gambar tersebut dibawa bersama ketika kami melawat ayah. Entahlah, mungkin ayah rindu nak menatap suasana rumah yang ditinggalkan.

Tika berziarah ke kem, ayah akan bawa kami adik beradik ke koperasi kem. Kami disuruh ambil apa saja yang kami teringin. Coklat, kerepek, asam masin. Itu saja kegembiraan yang mampu ayah berikan dengan keadaannya tika itu. Nak bawa kami jalan- jalan makan angin? Huh, jauh panggang dari api. Dapat bertemu dan duduk di ribaan ayah pun sudah cukup baik.

Dulu, saya sering tertanya- tanya, mengapa mak saya lebih garang berbanding mak orang lain? Kenapa mak macam selalu sibuk? Pengertian itu datang bila saya menginjak usia dewasa. Wajarlah mak begitu.. Bukan sedikit bebanan tanggungjawab yang perlu dipikul mak sepanjang ketiadaan ayah selama lebih 2 tahun itu. Bukan sedikit kesabaran dan kesetiaan yang mak pertahankan. Mak yang uruskan segalanya sendirian. Urusan persekolahan kami, dan semua urusan rumah. Berhari raya tanpa ayah bagai jadi perkara biasa.

Semakin lama, saya semakin faham, ayah kami ditahan sebagai tahanan ISA. Jadi mangsa mainan politik kotor.

Setelah tempoh tahanan tamat, ayah tidak terus kembali ke rumah. Masih menjadi ‘buruan’. Terpaksa menetap di beberapa tempat, termasuklah beberapa tahun di US. Kami masih dijaga hanya oleh emak. Hampir- hampir saja kami berhijrah bersama ayah, tapi disebabkan oleh beberapa kesulitan, hasrat itu tertangguh dan akhirnya dibatalkan. Bila ayah kembali ke tanahair, beliau kemudiannya disenarai hitamkan dari memasuki negara tersebut. (Oh, panjang sekali kisah ayah andai semuanya dicoretkan disini)

Menderita.

Itu yang dirasakan oleh keluarga mangsa tahanan ISA. Terutamanya isteri. Bayangkan, bersendirian membesarkan anak, mencari nafkah.. Terfikir kah kita, bagaimana emosi sorang isteri yang bersendirian tanpa suami disisi? Suami mereka ini, ada yang ditahan 2 tahun, bahkan ada yang menjangkau 7 tahun.Cuba letakkan kita di tempat mereka. Perit jerih yang harus mereka lalui, tentu kita tidak terbayang, kan?

Ya Allah, pun begitu, masih ada yang mahu mengira ini sebagai keadilan? Sudahlah si mangsa ditahan, kemudian dinafikan haknya untuk dibicarakan. Ditahan tanpa syarat, tanpa suatu penyiasatan yang adil. Undang- undang jenis apakah ini? Warisan siapakah ini?

Bukanlah saya ahlinya untuk membicarakan tentang ini. Sekadar berkongsi secebis kisah, yang pernah saya lalui ketika usia masih lagi kecil amat. Antara ingat dan lupa, saya sentiasa sedar dan tahu apa yang keluarga besar kami telah lalui. Kerana saya pernah merasakan, saya kira saya mengerti.. walaupun bukan dengan pengertian yang cukup dalam. Mungkin situasi mereka dan saya tidak sama, namun, kedewasaan ini membawa hati saya untuk memahami dunia orang lain, yang nasibnya sama seperti ayah.

Andai benar di sini adil, pasti ada ruang untuk bermusyawarah. Pasti benar- benar dipraktikkan, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.” Bukan hanya bertanam tebu di tepi bibir.

Aduhai, Malaysia tanahairku… Aku sangat- sangat menyintaimu, namun, ada tampuk yang perlu ditukar. Biar cinta bertambah- tambah.

Sunday, August 09, 2009

Seminggu Berlalu

Memilih sekolah yang agak berjauhan dari rumah untuk menjalani praktikal, aku jadi sedikit kalut setiap pagi. Rutin harianku turut berubah..

Jika sebelum ini jam 5 pagi mata ku sudah segar bugar, sudah membuat itu ini selepas beberapa minit mengadu padaNYA, kini aku harus memulakan segalanya lebih awal lagi.Ketika jarum pendek di angka 4 dan yang satu lagi di angka 6, aku perlu meninggalkan selimutku yang hangat dan nyaman. Bersiap dan melangsaikan kerja- kerja yang belum sempat selesai malamnya, terutamnya yang melibatkan lesson plan.

Hari pertama di sekolah, Alhamdulillah, kami diterima cukup baik. Walaupun dalam kalimah tarhib pengetua ada ingatan yang semacam amaran, agar kami tidak cuba menyuntik apa- apa anasir politik dalam P&P, aku dan Sufi cuba menerimanya dengan hati yang terbuka.Tahu dan cukup faham walaupun baru pertama kali bersua..

Guru- guru dan staff sokongan sekolah cukup baik, sangat membantu dan mesra. Aku senang di sini. Cuba untuk menyesuaikan diri dan setiap hari menyatakan senang, aku kira cukup membantu aku menghadapi suasana yang kadang kala membuatkan aku sedih dan terkilan.

Paling ketara,
Lain sekali rasanya menghadapi pelajar- pelajar ini...Entahlah.

Teringin sekali jadi muallim, mudarris, murabbi dan muaddib. Boleh ke? Kuat ke?
Ya Allah, bantulah... berikan kekuatan.

Friday, July 24, 2009

KATANYA & KATAKU

Dirinya & Diriku

Petang itu kami selusuri lagi jalan ke rumah mak di Bukit Agu. Kerana mak teringin nak makan ayam goreng yang garing dan enak di pasar malam, kami singgah di pasar malam Wakaf Tengah sebelum ke sana. Aku memborong ayam goreng dengan jumlah yang agak banyak, sambil mata melilau mencari roti nan kari daging untuk ayah.

Abang agak terkilan, walaupun sudah bertawaf satu pusingan penuh, tak ada gerai yang menjual roti nan. Jadi, aku cuma membeli sekeping roti tempayan dengan harapan ayah akan suka. Tak lupa gulai daging, lauk favourite ayah semenjak sakit ini. Bak kata ayah, kalau ada gulai daging, selera ayah lain sikit. Boleh juga dihabiskan sepinggan nasi.

Di dalam kereta, Zakwan di belakang asyik meratah ayam goreng. Berselang seli menikmati coconut shake yang juga di beli di pasar malam. Wijdan di ribaanku pula, memadai dengan seketul ayam yang hampir- hampir habis isinya.

Permandangan di luar kereta semakin mengasyikkan. Sepanjang jalan, sawah- sawah kelihatan menghijau. Entah daun- daun padi, entah rumput liar. Yang pastinya sangat mendamaikanku. Aku sering teruja dengan keindahan dan kehijauan sawah. Impianku ingin memiliki sebuah rumah yang berdekatan dengan sawah padi. Entah akan tercapai atau tidak, wallahu a’lam. Masih punya waktu lagi. Pohon dimurahkan rezeki…

Abang memandu dengan kelajuan yang sederhana, tahu kegemaranku dengan permandangan sebegitu. Berdekatan dengan Padang Kemunting, abang membelokkan kereta melalui sebatang tali air, menyusuri sebatang jalan kecil, di kiri kanan ada deretan pohon kelapa dan pokok- pokok renek. Sawah- sawah padi masih mendamaikan. Bagaikan sebuah lukisan yang cantik.

“Dulu, waktu abang di SESMA, arwah ayah Kasma pernah berbual dengan abang di wakaf tu,” kata Abang sambil jarinya menunding ke sebuah dangau yang usang.

Aku menoleh. Itu kenangan abang. Berjalan kaki dari jalan besar Wakaf Tengah ke rumahnya di Padang Kemunting yang kini hanya tinggal tapaknya sahaja. Setelah tanah di situ di ambil oleh kerajaan untuk membesarkan jalan, keluarga Abang berpindah ke Bukit Agu. Aku tiada kenangan sebegitu. Mungkin aku anak perempuan, yang agak dipingit. Sehinggakan memandu motorsikal pun aku tak pandai.

KATANYA & KATAKU

Kata Abang..,
Abang tak pernah pergi PASTI (waktu tu dikenali dengan TASKI- Taman Asuhan Kanak- Kanak Islam). Abang mengenal huruf dan nombor dari Mek Ti (panggilan kepada kakaknya yang ke 2). Mek Ti lah yang mengajar Abang A, B,C.. 1,2 dan 3. Menghafal doa- doa tertentu. Abang tak berpeluang untuk ke PASTI kerana dibimbangi Abang akan merayau tak tentu arah dan bermain dengan budak- budak nakal.


Sedang aku…,
Merasa segalanya tanpa susah payah. Setiap pagi disiapkan emak. Memakai tudung kepala dan baju kurung. Seronoknya berada di PASTI. Mengenali kawan- kawan yang masih ku ingat hingga kini, Kartini, Fairuz dan Nafisah. Menulis, mewarna, melukis. Mereka bentuk- bentuk dari plastisin . Makan beramai dengan kawan- kawan, segalanya indah di hatiku.

Kata Abang…,
Masa sekolah rendah dulu, sebelum ke sekolah, abang akan meletakkan kuih- muih mak di kedai. Ada pulut lepa, ada laksam. Mak memang pakar memasak makanan tradisional begitu.

Kadang- kadang Abang dapat upah seringgit dari mak. Kerana Abang rajin. Duit itu Abang akan masukkan ke celeng (tabung), sebagai simpanan Abang. Tabung itu berbentuk bangunan Tabung Haji. Sudah lupa dari mana Abang mendapatkannya. Duit itulah yang kemudiannya akan Mek Ti simpan di Bank Nasional yang menjadi akaun pertama Abang. Jumlahnya tak banyak, namun cukup memuaskan Abang kerana hasil usaha sendiri.

Balik sekolah, kadang- kadang Abang ke baruh menunggu lembu. Masa itulah Abang akan membaca. Abang jarang berpeluang untuk pergi bermain macam adik beradik yang lain. Abang bermain juga, tapi tak seperti yang lain.

Oh, patutlah Abang tak lasak…

Sedang aku,
Zaman kecilku cukup bebas sebagai bocah kecil. Tiada bebanan tanggungjawab seperti Abang. Setiap pagi, aku dihantar emak atau ayah dengan kereta. Aku cuma dilatih untuk melakukan kerja- kerja ‘perempuan’, menyapu dan mengemas rumah. Diberi duit saku yang mencukupi dan kadang- kadang waktu petang masih boleh membeli aiskrim dan jajan.

Aku juga punya tabung. Mak belikan yang sama serupa rupa bentuknya antara kami empat beradik tika itu. Tabung buluh yang divarnish, tampak comel sekali dengan lukisan bunga kecil berwarna merah. Simpanan kami selalunya akan berisi di musim raya. Mak akan memasukkan kesemuanya ke dalam akaun bank Islam.

Kata Abang…,
Abang selalu curi- curi baca buku dalam bilik yang gelap sambil membuka pintu untuk mendapatkan cahaya lampu dari luar. Abang suka membaca tapi kadang- kadang ada keadaan- keadaan yang mana Abang tak dapat nak buat apa yang Abang suka. Abang kenal banyak buku dari perpustakaan sekolah. Ada juga dari rumah tapi tak banyak.

Sedang aku..,
Lambakan buku- buku dari mak ayah sangat menyenangkan. Ada kisah- kisah Nabi- Nabi yang berkulit tebal, dengan tulisan yang besar dan gambar- gambar yang menarik. Ada buku kisah- kisah teladan, kisah dongeng dari Asia dan pelbagai lagi. Buku favouriteku, ‘Kelingking’, kisah seorang anak kecil sebesar jari kelingking.
Bila- bila masa boleh membaca. Hanya minat yang diperlukan.

Tapi, jarang sekali ku habiskan masa untuk membaca. Ku kira, dan aku sangat pasti, minat ku tidak sebesar minat Abang. Aku membaca kerana dorongan. Sedang Abang, mahu meneroka khazanah ilmu dengan mahunya sendiri dengan persekitaran yang sangat mencabar.

Kata Abang…,
Biarlah anak- anak belajar berinteraksi dan bergaul dengan orang ramai, biar ada kemahiran bermasyarakat pada anak- anak. Jangan jadi macam abang. Yang hanya tahu belajar. Dunia Abang hanya sekolah dan buku. Katanya lagi, tak perlulah anak- anak bertuisyen, memadailah dengan apa yang di pelajari di sekolah.

Biarlah anak- anak berkawan dengan alam. Biar anak- anak bermesra dengan alam. Biar anak- anak tahu bermain selut, menangkap ikan. Kenali fauna dan flora di sekeliling, arif kicauan beburung. Biarkan anak- anak kita berinteraksi dengan alam. Kelak besar nanti, dia kenali dirinya, sayangi dan pelihara alam semulajadi, punyai kemahiran berinteraksi dengan orang sekeliling, bukan hanya fikir kehidupan ini hanya untuk diri sahaja.

Sedang aku..,
Mahu masa anak- anak dipenuhi dengan belajar. Mahu anak mendapat pendidikan formal secepat mungkin. Biar anak jadi orang yang cerdik pandai. Tahu dan sedar, pentingnya menjadi orang yang berilmu, bukan sekadar meneruskan kesinambungan hidup, tapi lebih dari itu. Sekurang- kurangnya jadi macam Abang, bukan macam aku. Yang hanya sedar bila dah tingkatan 4. Pulun sungguh- sungguh untuk SMU dan SPM kerana tika itu, baru terarah mana hala tujuku. Agak terlewat, walaupun tidak terlepas peluang.

Sungguhlah…,
Aku dan dia berbeza amat.
Dia suka petai, aku langsung tak… bau pun tak boleh. Dia suka ikan singgang, aku suka tumis merah air ikan tenggiri yang dimasak mak. Dia suka pedas, aku biasa- biasa saja. Dia suka air Nescaffe, aku suka air cokelat (tapi sekarang, nescaffe pun dah jadi favouriteku sebab tiap- tiap hari membancuh nescaffe untuknya)

Dia sangat cermat menjaga setiap barangannya, pen hilang sebatang, berpusing ketam dia mencarinya. Lain pula aku, hilang sebekas alat tulis pun, aku masih rileks dan meminjam sebatang pen dari orang lain.

Kami membesar dalam persekitaran yang berbeza. Mempunyai tanggapan dan harapan yang berbeza. Cita- cita dan keinginan yang cukup- cukup berbeza.

Namun…,
Pertemuan ini telahpun tertulis sejak lama. Bertemu dan bersatu. Walau sebelumnya ada teduhan- teduhan lain yang kami singgahi, kita tetap bersua jua. Aku tak pernah mengenalinya dalam hidup sebelum ini, seperti juga dirinya. Allah Maha Besar.

Teringat kata- kata seorang teman: “Kalau berteman, jangan dilihat apa yang berbeza, tapi carilah persamaan yang ada.”

Benar,
Kita punya impian masing- masing. Dan dalam keadaan ini, impian kita harus banyak persamaan. Kerana dia nakhodaku, bahtera hidup kita layari bersama. Akan ada perasaan- perasaan yang harus dirai dan harus diketepikan.

Tuhanku…,
Berikan kami kekuatan, berikan kami kesabaran… jadikan kehidupan ini penuh mawaddah dan sakinah.
Ameen, ameen, ameen….

1 Sya'ban 1430

Tuesday, July 21, 2009

Sehari Bersama

Tinggal sehari sahaja lagi..
Kemudian masing- masing akan membawa haluan sendiri sepanjang 3 bulan menjalani praktikal di sekolah pilihan masing- masing.

Aku akan bersama Sufi. Melakar arah dan mencoret cerita kami berdua di SMK Belara.
Akan berputiklah rindu ku untuk kampus ini.

Kenangan demi kenangan, terpahat, terukir di lubuk hatiku...
Terima kasih sahabat- sahabat, sudi menerima hadirku, kadang jadi tempatku menumpah kasih dan resah.

Nanti bertemu lagi...
ops, masih ada esok sehari lagi...(Dengan izin Allah)!

Sunday, July 19, 2009

Feel Bad

Saya rasa teruk sangat...
Teruk sangat- sangat

Segalanya kelabu. Tak tahu, kenapa tadi bagaikan terhijab untu menjawab soalan- soalan yang keluar. Keyakinan saya pada diri sendiri tak sampai 10%.

Ya Allah..,
Bantulah aku, berikan kekuatan
Ya Allah,
Tolonglah aku, aku kesempitan

Silap saya. Tak study betul- betul. Masa yang terlalu suntuk atau saya yang tak betul?

Katanya..,
Tak apa, usaha kita hanya 1% dari pencapaian. 99% lagi dalam ilmuNya..

Benar, siapalah kita untuk melukis jalur takdir kita. Dia Yang Maha Tahu. Kita ini sekadar mengharap titisan rahmatNya.

Pengubat untuk orang seperti saya. Namun, saya yakin ganjaran Allah untuk orang yang berusaha, berdoa dan tawakkal. Untuk mengelakkan malas.Untuk elakkan putus asa.

Saya kurang usaha, apalagi lagi doa secara khususi dalam 'keadaan' sekarang ini.

Benar, benar. Saya yakin sekali, Allah memberi pada sesiapa sahaja. Saya nak jadi orang yang dapat kasih sayang Allah, yang tak terlepas dari rahmatNya, maka saya mohon doa dari semua orang, terutamanya orang- orang yang saya harap redha mereka.. Saya mohon didoakan, disenandungkan dalam hati nama saya, agar rahmat Allah melimpah ruah, bukan haya untuk saya, tapi untuk semua..

Namun, saat ini saya masih rasa teruk sangat- sangat..
Teruk sangat- sangat!

Wednesday, June 24, 2009

Kehidupan


Kita di campakkan di dunia ini
Bukan sia- sia, bukan saja- saja
Ada tujuan dan matlamatnya kita di sini
Ada destinasi yang sedang kita tuju
Dan sementara itu
Kita berteduh di sini

Kehidupan..
Siapa sangka
Hidup kita seperti ini
pada hari ini
Pernah tak kita terfikir
10 atau 5 tahun sudah
Inilah kita pada hari ini
Inilah jodoh yang
ditentukan Dia buat kita
Inilah zuriat kita
Dan inilah kehidupan kita

Kehidupan..
Sebagai manusia
Kita sering impikan
Yang muluk- muluk
Yang indah- indah mengiringi kita
Selalu menemani kita

Namun,
Inilah kehidupan..
Tak semua yang kita impikan
Akan dapat diterjemahkan
Dalam alam nyata
Kerana kita hanya hamba
Kudrat kita sangat terbatas
Kerana kita hamba
Kita kena belajar untuk redha
Atas segala ketentuan
Walaupun...
Ada tikanya hati kita luluh
Jiwa kita celaru

Bagi mukmin,
Doa, munajat dan taqarrublah
Sumber kekuatan
Dan kita semua
Berusaha untuk menjadi mukmin bertaqwa
Walau diri penuh noda dosa
Entah taubat semalam di terima atau tidak
Hari ini kita terjerumus lagi...

Kerana kehidupan perlu diteruskan
Kita kena lupuskan kenangan hari- hari semalam
Kita kena kuburkan impian- impian
Yang mengarahkan kita kepada
Tuulul 'amal

Sesekali segalanya muncul
ampunkan segala dosa- dosa
Wahai Tuhan yang Maha Pengampun
Ingin sekali bernaung di bawah redha
Dan rahmatMu Tuhan
Sudikah Engkau menerima
diri yang penuh noda ini?

Kehidupan....
Akan datang akan lebih baikkah?
Siapa tahu?
Baik atau tidak
Hanya Dia yang tahu rahsianya
Bukan kita yang tentukan
Kita berdoa, jangan kita diselewengkan
Dipalingkan dari DIA yang punya segalanya

Kehidupan
Esok anak- anakku akan dewasa
Dan kehidupanku akan terus berlalu
Dan berlalu
Kehidupanku akan berakhir
Anak- anak akan mengambil giliran

Tuhan kami,
Tetapkanlah kami
Di atas jalanMu
Janganlah jadikan kami
Mencintai kehidupan di sini
Lebih dari kehidupan di sana

Aku tahu,
Hati ini sering bolak balik
Mohon Engkau tetapkan ya Allah


1 Rejab 1430

Monday, June 22, 2009

Jantung Hatiku

Jantung hatiku semakin membesar..

Jantung dan hatiku..
Zakwan dan Wijdanku...

Bahagia sungguh melihat mereka tumbuh membesar di hadapan mata dengan keletah dan manja yang tersendiri.

Wijdanku hatiku,
Si kecil empunya kulit hitam manis dan senyum semanis madu itu sering mencambahkan rindu di hatiku dan abinya tatkala kami meninggalkannya sebahagian hari di nurseri Asma'. Dia manja amat. Sering mempamerkan aksi- aksi spontan yang mencuit hati pada kami. Sudah semakin pandai menuturkan kata- kata biarpun yang lebih memahami hanya dirinya sendiri. Panggilan Umi dan Abi semakin kerap bermain di bibir mungilnya walaupun tanpa tujuan. Senang sekali mendengar suara itu. Halus, gemersik dan cukup lembut. Dan sering juga tangisan nyaring yang membingitkan telinga.

Padanya, semua jenis makanan di panggil 'roti'. Roti pun roti, nasi pun roti, biskut pun roti. Dan Tokki nya pun di panggil 'Ooti'.

Lariaannya juga sudah semakin laju. Kata Abinya, 80 km/j. Apa tidaknya, pantang pintu rumah terbuka, sekelip mata sahaja dia akan menghilang dari pandangan. Memang merisaukan, tambah- tambah lagi bila berada di rumah Wannya (ibuku), dia akan meluru ke jalan besar. Pernah sekali bas membunyikan hon berkali- kali kerana dia hampir sangat dengan jalan.

Dia sangat pandai merajuk. Kalau aku memarahinya, dia akan menggesel kedua matanya dengan jemari kecilnya, seolah ingin menangis. Matanya yang lebar serta merta akan terlihat sayu. Oh, memang dia jaguh mengundang simpati.

2 hari lalu, dia demam lagi. Suhu badannya panas, dan biasanya bila begitu yang terjadi dia akan merengek- rengek di sepertiga malam atau sehingga sepertiga malam. Hemm, macam bertahajjud pula bunyinya. Tetapi itulah hakikatnya. Anak- anakku yang berdua ini serasi sekali dengan perubatan homeopathy. Biji- biji pil manis oren dan putih mudah sekali diterima anak- anak berbanding ubat- ubatan biasa yang sirapnya terasa pahit- pahit manis. Makannya pun tidak seberapa. Sesuap yang ditelan, lebih banyak yang keluar.

Mujurlah, mujurlah demamnya tak berlarutan. Aku sudah berfikir- fikir untuk saling bergiliran dengan abinya untuk tidak ke kelas.

Zakwanku jantungku...,
Dialah anugerah pertama yang tak tenilai kurniaan Tuhan buatku dan suami. Dia hadir di saat aku bergelut dengan pengajian masterku di UIA. Dari seberat 2.8 kg, dia kini sudah semakin tinggi dan besar. Abang. Itulah panggilan kami padanya. Dia sangat mengerti. Mungkin kualiti anak sulung itu sudah ada pada dirinya. Lagu yang menjadi rutinnya setiap pagi, yang sering diulang- ulang, "Abang tak mau ke sekolah, tak mau ke rumah Wan. Abang nak duduk dengan Umi..." Dan selepas itu akan bermula lah pujukan yang digula- gulakan dengan kata- kata manis. Kadang- kadang berkesan, dan selalunya tidak. Ku kan tinggalkan dia dalam sedu sedannya yang panjang. Begitulah selalunya.

Usianya mengjangkau 3 1/2 tahun sudah. Namun aku masih belum berupaya untuk menghantarnya ke pra- sekolah. Dia masih belum tahu bab cuci mencuci selepas 'membuang'. Aku bimbang kalau- kalau dia masih belum boleh diterima. Sekarang, kami dalam proses mengajarnya. Moga- moga dalam sedikit masa lagi, dia sudah boleh berdikari dalam hal itu. Sayang sekali membiarkan dia tanpa didikan formal sedangkan dia sudah pandai menuturkan segala. Banyak sekali vocabnya yang setiap hari menjadikan aku teruja untuk mendengar setiap butir bicaranya.

Alhamdulillah, dia semakin sihat, tidak seperti waktu kecilnya. Demam panasnya tak lagi menyerang sekerap waktu dia kecil dulu. Sewaktu aku bergelut untuk menyiapkan tesis masterku di UIA, sering sekali dia ku tinggalkan. Setiap kali aku berangkat, hatiku ku hancur luluh. Berpisah dengan anak yang masih kecil dan menyusu badan. Sehinggalah, suatu ketika kami (aku dan suami)memutuskan meletakkan Zakwan bersama- sama ku. Temanku yang baik, Jamilah Khalil bersetuju untuk menempatkan aku dan anak buat sementara di rumahnya yang cukup selesa di Shah Alam. Aku di sana bersama anak, suamiku di Terengganu dengan tugasannya. Begitulah perjalanan hidupku dalam durasi masa yang agak singkat.

Sehinggalah suatu subuh yang bening, aku baru sahaja menyelesaikan sujudku, terlihat anak menggeletar di dalam buaian dengan jemari tangan dan kakinya membiru. Aku panik amat dan mengejutkan dia dan suami. Kami terus membawa anak ke sebuah poliklinik yang berdekatan. Sepanjang jalan aku hanya menangis dan menangis. Rupanya dia diserang demam panas dengan suhunya 40 darjah celcius. Ku kira umurmu hanya setakat itu anakku. Alhamdulillah, Alhamdulillah.. Suhu badanya semakin berkurang paginya. Namun, aku terus diminta terbang pulang bersama anak kerana mak dan ayah amat bimbangkan cucu sulung mereka.

Itulah anak- anakku. Sehingga kini, banyak sekali kenangan bersama mereka. Coretan ini hanya secebis duhai anak- anak Umi dan Abi, andai diukur dengan apa yang kami lalui bersama kalian hingga saat ini. Setiap hari bersama kalian, bagai melihat pelangi di depan mata.

Inilah yang akan jadi tatapan kalian andai suatu hari nanti Umi dan Abi tiada lagi. Kami sangat- sangat menyintai kalian. Tiada apa yang paling berharga yang kami miliki dalam hidup melainkan kalian anak- anak kami. Zakwan dan Wijdan akan jadi abang pada adik- adik yang akan datang InsyaAllah. Jadi hamba yang taat dan anak yang berbakti dan mendoakan Umi dan Abi semasa hidup dan selepas kami tiada di sini.

Saaaayang anak- anak Umi Abi

28 Jamadil akhir 1430

Wednesday, June 17, 2009

Alhamdulillah...


Alhamdulillah... Alhamdulillah... Alhamdulillah

Result sem I usai ku lihat (sebenarnya minta untuk dilihat) tadi.

Berdebar dan sangat penasaran... bersatu lama dalam hatiku, bukan hanya semalam dan hari ini, bahkan sejak berminggu lalu.


Allahummaj 'alni syakura..., waj 'alni shobuuraa...

Paling bahagia, bilamana kepenatan menelaah dan bersengkang mata, berbayar dengan kejayaan yang cemerlang. Cemerlang?

Hemmm, cemerlang padaku...

Teringat petikan kata- kata dari sebuah buku, "Hargai kejayaan kecil yang kamu kecapi, biarpun kejayaan itu nampak kecil pada orang lain".

Buat dia, my room mate, my soul mate...
Terima kasih atas kesabaran menghadapi saat- saat memenatkan semasa durasi imtihan akhirku..

Thursday, June 11, 2009

Macam- Macam

Macam- macam...

Dalam minggu- minggu yang telah lalu, ada cerita yang menggugat rasa, meresah jiwa melanda teman- temanku. Semua orang terkesan biarpun cerita itu hanya beberapa orang wataknya. Pohon ukhuwwah bergoyang, akarnya mula membusuk, bagai menanti rebah...

Ada mata- mata yang tak sedap memandang, bibir menuturkan kata- kata yang kurang enak didengar. Aku cuma mendengar di hujung- hujung telinga. Malas mengambil tahu sebenarnya, takut nanti aku beranggapan yang tidak benar pada orang yang benar.

Tapi...
Harus juga ambil tahu pada apa yang berlaku, kerana angin semakin kencang bertiup sedang aku tidak tahu dari arah mana.

Oh, kesian dia.. Allah mengujinya sedemikian rupa. Aku tidak tahu, andai aku di tempatnya atau aku yang diuji sebegitu, apakah aku akan masih bertahan.

Benar, itu perkara harus. Hukum dari langit telah menetapkan begitu. Tetapi, bukankah harus bersyarat? Seandainya syarat tidak terpenuhi, bukankah harus dihindari? Allah maha Adil, Dia tidak akan menganiayai seorangpun di kalangan hamba- hambaNya.. Terkadang kita yang tidak tahu apakah hikmah yang telah diatur di sebalik kejadian- kejadian yang berlaku, kerana itulah semacam ada perasaan tidak redha atas apa yang ditentukan.

Oh, berbicara semata memang enak.. Mata yang memandang juga tidak merasa sebagaimana beratnya bahu yang memikul.

Dia baik amat, seakan tidak terlihat mana- mana yang taqsir.. Namun, benarlah, mereka alah pada hawa andai tidak diringi iman. Jarang yang ada seperti Nabi Yusuf, sanggup dihumban ke penjara kerana tidak mahu menuruti Zulaikha.

Teringat kata- kata Dr. Ali Arif yang mengajar Fiqh Al- Qudha' sewaktu di UIA, sering sangat beliau mengulang firman Allah dalam Surah Yusuf mengingatkan pelajar lelaki tentang bahayanya pujuk rayu wanita...

"Innahu min kaidi kunna, Inna kaidakunna 'azhim..."
, maksudnya: Sesungguhnya ini ialah dari tipu daya kamu orang2 perempuan, sesungguhnya tipudaya kamu amatlah besar pengaruhnya

Apalagi boleh ku ungkapkan padanya melainkan sabar dan terus sabar?Kerana itulah kunci kekuatan untuk dia terus berdiri dan melihat langit yang masih lagi membiru, dan mentari selalu tersenyum untuknya..


Aku penuh yakin dan percaya dengan menyandarkan keyakinanku pada Allah, dia amat- amat menyayangimu, cuma tika itu, dia nanar dan tersasar...

Sahabatku,
Moga Allah mengurniakanmu hati seteguh wanita- wanita beriman, yakin dan percaya, bahawa dirimu akan selalu diberikan yang terbaik dari sisiNya.

Sunday, May 10, 2009

Ibu & Menjadi Ibu

Dulu, aku tak pernah membayangkan betapa besarnya kasih seorang mak, atau mama, atau mumi, atau umi, mahupun ibu kepada anak- anaknya sehinggalah aku dianugerahkan Allah untuk menjadi seorang Umi lebih 3 tahun lalu.

Teringat aku pada bonda yang seorang, yang ku panggil mak….

Secara jujurnya, aku dan mak banyak tak sependapat dalam banyak perkara. Mak seorang yang sangat tegas. Kata orang Terengganu ‘bengkeng’. Berlainan sekali denganku, yang sangat- sangat sensitive dan mudah menangis.

Terkenal di sekolah sebagai seorang guru yang tegas dan sehingga mak dah berusia pun, masih ada pelajar mak yang mengingati mak dengan kebengkengannya. Itulah mak, tegas dalam banyak hal. Sehinggakan jari- jari tanganku pernah diketuk dengan kayu hanya kerana aku tak potong kuku.
Waktu kanak- kanak kami, (aku dan kakakku, Kak Ngah. Kami Cuma berselang umur setahun sahaja), banyak menyaksikan titisan air mata yang lebat kerana dimarahi mak.

Mak selalu nak tengok rumah yang kemas dan bersih, sinki yang kosong dari pinggan mangkuk dan periuk belanga kotor, dan pakaian dalam almari yang tersusun rapi. Biasalah, nama pun budak- budak, memang sifat buat kerja bila disuruh memang selalu ada. Kadang- kadang merah telinga kami dipulas kerana malas menyiapkan tugasan- tugasan rumah, bahagian- bahagian tubuh yang berisi (terutamanya peha) dicubit, bahkan bukan sekali dua kami dileteri kerana keluar bermain tanpa melangsaikan dulu kerja- kerja mengemas dan menyapu sampah. Insaf sekejap, namun biasanya akan berulang lagi.

Musim sekolah menengah, mak mengajar pagi di SRK Ajil dan aku bersekolah petang (aku bersekolah di sekolah Islam swasta di Kuala Terengganu). Tika itu, aku sudah tahu tanggungjawab dan selalu buat kerja rumah. Aku sudah tahu untuk meringankan beban mak di rumah, dan aku tahu mak suka bila pulang dari sekolah tengok rumah bersih bersapu. Kadang- kadang, aku mengasah skill memasakku dengan memasak lauk yang mudah- mudah seperti ikan tumis dan sayur air, kadang- kadang telur goreng dan ikan masak lada hitam. Aku nak mak tak letih kena masak bila pulang dari mengajar. Setidak- tidaknya mak boleh terus makan walaupun rasanya tak sesedap air tangan mak. Seingat aku, mak pun dah jarang- jarang marah, mungkin kerana aku sudah tahu tanggungjawabku sebagai anak dan pelajar.

Sewaktu aku berjaya diterima melanjutkan ke Jordan, maklah orang yang paling gembira. Walau tak terucap dengan kata- kata, namun aku nampak kegembiraan itu pada wajah dan mata mak. Maklah yang beriya- iya membuat persiapan untukku. Aku dibelikan jubah yang cantik- cantik, dibelikan segala rempah ratus yang mungkin aku perlukan di Jordan dan bermacam- macam lagi mak lakukan untuk keperluanku di sana. Mak menangis sewaktu aku berangkat ke sana. Aku tahu, mungkin mak terasa kehilangan. Aku pun turut menangis dan tangisan itu terbawa- bawa sehingga pesawat Royal Jordanian meninggalkan bumi Malaysia 10 jam kemudiannya. Aku mula tahu rasa rindu pada mak. Saban bulan, aku menelefon ke rumah untuk mendengar suara mak walaupun hanya 5 minit.

Begitulah, ketika aku berangkat ke UIA untuk meneruskan pengajian masterku, mak menangis lagi. Dalam bergaduh pun, aku sedar, aku selalu rindu pada mak. Aku selalu telefon mak kalau tak dapat jawab periksa dengan baik. Sehingga aku dah tua bangka pun, aku masih begitu sehinggalah kehadiran suamiku dalam hidupku.

Segala- galanya telah lama berlalu. Kini aku mengerti apa yang dirasai oleh mak. Marah mak kerana sayang, cubitan mak, leteran mak semuanya kerana nak menjadikan aku hamba yang sedar dirinya hamba Allah.

Kehadiran Zakwan adalah segala- galanya bagiku. Sayang pada Zakwan yang melimpah ruah, memenuhi segenap ruang tubuhku, mengalir ke setiap urat saraf. Saat melihat wajah mulusnya buat kali pertama, tak terucap sepatah kata pun. Buah cinta aku dan suamiku, bagaikan aku mendapat seluruh dunia dan isinya. Hilang segala perit jerih selama lebih sembilan bulan dan sakit ketika melahirkannya. Hadir Wijdan semakin melengkapkan rasa keibuanku.

Aku rasa, aku mula memahami perasaan mak dulu. Aku mula tahu perit jerihnya membesarkan aku, tambah- tambah dalam tahun- tahun getir ketika ayah tidak bersama kami ketika ayah di ISA dan tinggal di US. Seandainya aku perit, aku rasa, mak seratus kali ganda lebih perit dan penat daripada ku. Suamiku selalu di sisi, bahkan selalu membantu, tambah- tambah ketika terpaksa menghadiri kelas waktu malam.

Aku cuba berkongsi rasa ini dengan mak dan aku rasa aku telah berjaya. Status yang sama menjadikan kami semakin boleh berkongsi banyak cerita. Walaupun mak masih lagi garang, namun aku cuba untuk memahaminya. Kerana aku rasa, aku takkan terbayar kasih sayang dan pengorbanan yang telah diberi oleh seorang emak untukku.

Mak, sekalipun mak tak baca posting ini, ingin ku ucapkan…
SELAMAT HARI IBU

Blur...

Tengah kekeringan idea....

Apa yang dibuat untuk pembentangan set induksi esok? Ya Allah, bantulah... Allahumma zidna 'ilma, warzuqna fahma

Agaknya dah lama tak menggunakan kudrat berfikir ini.. Banyak tidur dan rehat. Hobiku adalah membuat kerja- kerja rumah, menyapu, berkemas...

Benarlah, keupayaan berfikir seperti besi. Lama dibiarkan ia akan berkarat...

Thursday, May 07, 2009

Guru Yang Betul- Betul

Semoga semester ini tambah menyemarakkan semangatku untuk menjadi guru yang betul- betul. Masih tersemat pesanan Tuan Hj Suhaimi, pengetua SESMA sejurus sebelum kami menghabiskan jam terakhir di SESMA...
"Nanti, bila dah jadi guru, jadilah seorang guru yang amanah. Ajarlah pelajar- pelajar kita sebagaimana kita nak orang ajar anak kita"

Ringkas, namun cukup mengesankan aku. Sebagai manusia, kita sering terlupa tujuan sebenar bila dibebani dengan kerja yang banyak dan imbuhan yang seperti kita mahukan.

Seminggu di Taman Pertanian Indera Mahkota Pahang sangat- sangat menyeronokkan. Aku seperti terjun ke dalam lautan ilmu. Tidak hanya ilmu perguruan, bahkan rentetan pengalaman (walaupun sekejap)yang disusun atur sedemikian rupa, sangat- sangat menyedarkan aku bahawa seorang guru adalah permulaan lahirnya insan- insan besar. Seorang guru berupaya membentuk sesiapa sahaja (of course dengan izin Allah).

Fasi- fasi yang sangat baik, memahami dan selalu memberi tunjuk ajar, Ustaz Zaid, Ust. Wan Ismail, Ust. Akila, Ust. Aziz, dan beberapa orang lagi yang tak dapat aku ingat namanya buat masa sekarang ini, akan aku kenang sampai bila- bila InsyaAllah.
Budi baik kalian tak terbalas rasanya. Aku ingin menjadi seperti mereka, berjiwa besar dan bersemangat waja, bahkan selalu kaya dengan idea dan ilmu.

Pengalaman tidur di khemah, solowalk di dalam hutan berseorangan di waktu malam, memang melucukan. Ada yang menjerit, menangis dan tak mampu nak berjalan. Aku? Takut juga, tapi masih mampu mengawal perasaan bila di usik 'hantu-hantu' yang mengerikan di tengah hutan, pukul 2 pagi. Flyingfox cukup mendebarkan, dan sempat juga aku menjadi 'obor- obor' kerana ketakutan. Lucu bila mengenangkan.

Aku masih berharap, aku akan selalu berpeluang bersama orang- orang yang kaya ilmu dan pengalaman ini.

Wednesday, April 22, 2009

BIG di Kuantan

Untuk seminggu ini,kena berada di Kuantan sehingga 23 April untuk kursus bina insan guru. Kongsi cerita selepas balik nanti.

26 Rabiul akhir 1430

Wednesday, April 08, 2009

Rancangan Orientasi Sekolah 1


ROS ku di SESMA pada hari pertama sangat 'menakutkan'.Nak sangat datang sini, so kena terima la apa yang terjadi. Pukul 9.30, aku melaporkan diri bersama sofiyah, berjumpa dengan PK, Puan Hajah Saudah. Kami disambut dengan baik. Diberi penerangan serba sedikit, kemudian di beri seorang guru pembimbing Ust Hj Wan Lawi. Sangat baik hati, sangat membantu dan peramah. Tak lokek dengan senyuman menjadikan aku dan Piah tak kekok.

Dibawa masuk ke bilik guru, kami diperkenalkan kepada semua guru yang ada. melebarkan senyuman sampai ke telinga, aku rasa agak berbaloi. Alhamdulillah, setinggi kesyukuran ku rafa' kan pada Mu ya Allah atas segala kurnianMu.

Apa yang aku takuti, tidak berlaku... tekaanku meleset (mungkin tidak 100%), semua cikgu di sini, sangat baik hati. Hinggakan mak cik cleaner dan pak cik driver pun sangat ramah tamah.

SESMA sangat cantik. Ada pokok- pokok yang menaungi dataran di sini, menyejukkan mata dan suasana, landskap yang dilengkapi air terjun, menjadikan suasana tak dijemu dipandang mata. hingga ke setakat hari keempat ini, aku semakin menyenangi semua yang ada. Aku juga percaya, bahawa aku dan Piah semakin diterima baik. Pelajar- pelajar yang menyenangkan, mengingatkan aku pada suamiku yang merupakan bekas pelajar di sini. itu antara sebab utama mengapa aku memilih untuk menjalani ROS di sini. Apakah biah yang melingkungi suamiku pada zaman persekolahannya dulu, apa yang dia lalui, siapa guru- gurunya, hingga membentuk insan sebaik dia, aku nak tahu sangat- sangat.

Ada sesuatu yang menyedihkan aku.... yang menjemput kesayuan berpanjangan dalam hatiku. kadang- kadang mengundang gerimis bertandang. Biarlah hanya aku dan Dia yang tahu.

TUHAN,
LERAIKANLAH DUNIA, YANG BERDIAM DI DALAM HATIKU...


12 Rabiul akhir 1430

Monday, April 06, 2009

Periksa pertengahan semester dan ROS

Alhamdulillah, seminggu yang meletihkan (mental dan fizikal) dah berlalu.

Untuk 2 minggu bermula semalam, ROS menanti di SESMA. Banyak cerita ingin dicari, banyak benda ingin diketahui di sana.

10 Rabiul akhir 1430

Tuesday, March 17, 2009

Cerita dari lisan waalidaina

Tengah buat blog untuk anak-anakku. Should be finished soon, hopefully.


20 Rabiul awal 1430

Sunday, March 01, 2009

Takziah

Buat sahabatku yang paling rapat di DPLI, Fauziah binti Ibrahim, ayahnya telah kembali ke rahmatullah pada hari selasa 22 Februari 2009. Alfatihah.

Semoga rohnya ditempatkan bersama di tempat hamba- hambaNya yang solihin, dan sentiasa beroleh rahmat dari sisiNya.

Dan buat sahabat sekelas juga, Mohd Azhar bin Alias, yang mak dan ayahnya kemalangan malam tadi, semoga ditabahkan hati. tak tahu khabar yang sohih, tapi dengar cerita dari haziman, ketua kumpulan kami, keadaan ibunya agaknya kritikal. semoga Allah permudahkan segala urusan dan mengurniakan apa yang terbaik dari sisiNya.

Rabbi ighfirli wa liwadayya war hamhuma kama rabbayani saghiraa


4 Rabiul awal 1430

Friday, February 20, 2009

Cerita Tentang Ayah I

Tak seperti Jumaat yang selalunya, hari ni aku dan abang tak berkunjung ke rumah ayah. Ada tugas yang perlu abang selesaikan di sekolah dalam masa 2 hari ini.

Ayah mertua ku dah kurus benar. Sejak sakit ni, ayah agak berlainan. Cakap- cakapnya dah tak macam selalu. Mungkin ketidak upayaannya mengurus diri sendiri menjadikannya begitu.

Semuanya bergantung pada mak, abang Cik dan Mek Ti(ipar- iparku). Aku sendiri tak selalu menziarahi ayah. Jadual kelasku yang padat, yang kadang- kadang membawa ke malam tak memungkinkan aku selalu ke sana. Hanya hari Jumaat saja, aku, abang dan anak- anak berkampung di rumah mak. Kerana hari Sabtunya aku harus menyelesaikan tugasan bersama kawan- kawan di UDM.

Apa yang boleh ku gambarkan tentang ayah? Sehingga saat ni, ayah masih belum boleh menelan makanan pejal. Mak akan masak nasi bubur untuknya dengan lauk yang biasa mak masak. Ayah cuma makan sikit je. Tapi, ayah suka makanan manis. 3 hari selepas keluar wad, ayah minta abang belikan air soya di pasar malam. Padahal, seingat aku, ayah tak pernah minum air soya. Kalau adapun, mungkin sangat jarang dan tak jadi kegemarannya. atas sebab itulah, sebelum ke sana, abang akan ke pasar batu 6, beli sesuatu yang manis untuk ayah.

Setiap kali menelan makanan ataupun meneguk air, nampak jelas sekali urat- urat lehernya yang timbul. Ketara sekali perubahan fizikalnya.

Dulu, ayah cukup sihat untuk mengerjakan tanahnya yang ditanam dengan sayur- sayuran. Dari pagi sampai ke senja, ayah akan ke baruh dengan motor buruknya. Selalunya ditemani mak dan Abang Cik. Aku pernah juga ke sana sebelum melahirkan Wijdan. Tengok ayah mengerat sayur sawi. Walaupun kurus, tapi ayah kuat semangat. Sawi dikerat dan dikumpul selonggok- selonggok, kemudian sawi yang dah banyak tu di bawa ke bangsal untuk dikat dan ditimbang. Aku paling suka kalau ayah membelah kelapa muda yang dikait abang. Selalunya tak cukup sebiji, ayah akan suruh aku minum sampai puas2. Lega sungguh bila air kelapa muda yang fresh mengalir di celah- celah kerongkongku. Rasanya lebih sedap dari air kelapa muda yang dijual di Teluk Ketapang dengan harga RM2.50 sebiji.

Ah, kenangan!

Sekarang semua tu dah tak de lagi. Tinggal abang Cik yang ambil tanggungjawab menguruskan semuanya. Aku pun dah lama amat tak menjengah ke sana. Mak pun dah tak ke baruh, menguruskan segala keperluan ayah. Ayah dah ada kerusi khusus untuk membuang air besar, sebab ayah masih belum mampu untuk duduk sendiri. Kalau ayah nak bangun dari pembaringan untuk duduk, kena ada yang menampung belakangnya. Untuk berdiri memang langsung belum boleh lagi.

Masa yang berlalu selalu menjadikan banyak benda yang berubah. Kalau boleh, aku masih ingin lihat ayah macam dulu. Membawa anakku Zakwan naik motornya, kemudian akan dibawa ke kedai untuk dibelikan sesuatu mengikut kehendak anakku. Mendakap erat Wijdan, si kecilku sambil mencium seluruh mukanya, memanggil2 anakku, "ini Wijdan tokki..."

Dan yang paling penting aku masih ingin mendengar butir bicaranya padaku, pada kami seperti dulu.... Segalanya berlaku bagaikan sekelip mata. Ayah sudah tidak seperti hari- hari semalam...

Kadang- kadang, aku tertanya- tanya, mengapa semuanya kian berubah?
Rasa sedih tengok abang dan semua orang sedih kerana ayah. Rumah mak di Bukit Agu bagaikan hilang serinya tanpa tawa ayah.

Namun, mahu atau tidak, aku harus sedar hakikat diri seorang hamba. Segalanya harus berjalan mengikut apa yang telah ditentukan Allah. Tiada satu apa pun perkara di dunia yang baqa'. Semuanya bersifat dengan sifat makhluk, yang tiba masanya akan fana'.

Allah yang maha memiliki segalanya. Dialah yang memiliki apa yang berada di langit dan di bumi dan apa2 yang berada di antara keduanya. Dia lah yang memiliki apa-apa yang berada di laut dan apa2 yang berada di alam semesta. Bila Dia berikan nikmat, Dia berhak untuk mengambilnya kembali bila- bila masa, kerana itu hakNya.

Rabbana dhalamna anfusana wa illam taghfir lana watarhamna lanakunanna minal khosirin...

Wednesday, February 11, 2009

DAD II

Dad was discharged after a week in the hospital. Luckily he is still with us. However , he was not his former self. He is so weak, now he only lying on bed. As far as I know, he need a lot of physiotherapy to be himself again. But a person with inside knowledge told me that after all he just suffered, he won’t return to the one that I knew before. He just couldn't be.

A challenging life is waiting …… for our family.


15 Safar 1430

Monday, February 02, 2009

Rumah sakit

Dad was admitted to hospital on last Wednesday. Don't know what the cause is. But it is a serious one, I think. Whole family gathered for three days.
His condition is gradually improving, for now.I can't help but feeling sorry for him. Sorry for not helping him earlier. As far as I remember, not more than five occasions he was as bad now. He is a strong one, always concealing his illness when he was young. But maybe age does catches up with him.
Pray to Allah for his health. Amen.

6 Safar 1430

Monday, January 05, 2009

Pilihan Kedua

Dalam hidup ini kita selalu dihadapkan dengan pilihan yang pelbagai yang kemudiannya menuntut kita melakukan pengorbanan yang adakalanya bukan sedikit.

Aku kira, hampir semua orang yang hidup atas muka bumi ni pernah menghadapi situasi mengorbankan sesuatu untuk sesuatu yang dipilih walaupun tak tahu apakah pilihan itu adalah yang terbaik.

Dan ada lirik lagu yang aku suka sangat di musim semi remaja ku dulu yang sehingga sekarang masih popular. Ku kira lagu evergreen...

"Walau kita dihadapkan dengan pelbagai pilihan, namun seringkalinya terjadinya pilihan tak menepati..."


Aku telah memilih untuk menerima tawaran mengikuti program Diploma Pengajian Lepas Ijazah dengan tajaan KPM setelah pilihan pertamaku untuk menjadi pensyarah belum tercapai. Tak tahu sebab yang konkrit... Katanya (kata seseorang di U tu), aku telah memenuhi standard yang dikehendaki.. tapi something happened. apa-apa je la...

Tapi aku tahu, apa-apa yang telah di atur ini ada beribu- ribu hikmahnya buatku yang mungkin tak tersingkap oleh akalku yang terbatas. Dan aku sendiri sewaktu menerima pilihan kedua ini, memang tak terlepas dari rasa ragu- ragu dan taraddud. Namun, selepas bermusyawarah dengan suamiku, mak dan ayah, aku memutuskan untuk menerima tawaran ini walaupun akal- akal manusia mengemukakan alasan yang menimbun.

Aku yakin, bersandarkan keyakinanku 100% pada Allah, bahawa Dia takkan melepaskan aku sendirian. Selagi matlamat hidup kita nak cari mardhotillah, aku yakin Allah selalu akan sayangkan kita.

Mak paling takut aku akan dipostingkan jauh dari negeri Darul Iman ini. Ye lah, ini risiko yang perlu didepani oleh mana- mana orang yang memilih proffesion perguruan, tak tahu nanti di ceruk mana di bumi Malaysia ini kita akan ditempatkan.

Hasilnya, di sinilah aku hari ini. Kembali menghadiri tutorial, dari pagi sehingga petang, mula menerima tugasan2, assigment dan bakal menghadapi peperiksaan lagi,3 jam seminggu kelas amali badminton selama 6 minggu dan beraneka lagi kelas dan subjek akan ku hadapi bersama rata- rata pelajar lepasan ijazah pertama.

Buat sahabat- sahabatku, doakan aku. Moga yang baik- baik selalu bersama kita. Apapun yang kita lakukan, janganlah hendaknya Allah jadikan segala amalan kita sia2.

Aku akan tetap mengejar cita- citaku dengan izin Allah..Selepas tiga tahun, moga Allah memudahkan segala-galanya nanti. Aku yakin, jalan yang Allah aturkan ini adalah untuk mengajarku, menjadikan aku lebih kuat dan menepati masa. Tak la selalu lewat macam selalu.

Wida'an pelajar- pelajar ku di Ma'ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman Tok Jiring. Setahun bersama, sangat mengesankan aku. Sebenarnya jadi bekal buatku, yang sangat bermanfaat aku rasakan.

"Rabbana aatina fid dunya hasanah, wa fil akhirati hasanah, wa qina 'azaban nar..."