Friday, July 24, 2009

KATANYA & KATAKU

Dirinya & Diriku

Petang itu kami selusuri lagi jalan ke rumah mak di Bukit Agu. Kerana mak teringin nak makan ayam goreng yang garing dan enak di pasar malam, kami singgah di pasar malam Wakaf Tengah sebelum ke sana. Aku memborong ayam goreng dengan jumlah yang agak banyak, sambil mata melilau mencari roti nan kari daging untuk ayah.

Abang agak terkilan, walaupun sudah bertawaf satu pusingan penuh, tak ada gerai yang menjual roti nan. Jadi, aku cuma membeli sekeping roti tempayan dengan harapan ayah akan suka. Tak lupa gulai daging, lauk favourite ayah semenjak sakit ini. Bak kata ayah, kalau ada gulai daging, selera ayah lain sikit. Boleh juga dihabiskan sepinggan nasi.

Di dalam kereta, Zakwan di belakang asyik meratah ayam goreng. Berselang seli menikmati coconut shake yang juga di beli di pasar malam. Wijdan di ribaanku pula, memadai dengan seketul ayam yang hampir- hampir habis isinya.

Permandangan di luar kereta semakin mengasyikkan. Sepanjang jalan, sawah- sawah kelihatan menghijau. Entah daun- daun padi, entah rumput liar. Yang pastinya sangat mendamaikanku. Aku sering teruja dengan keindahan dan kehijauan sawah. Impianku ingin memiliki sebuah rumah yang berdekatan dengan sawah padi. Entah akan tercapai atau tidak, wallahu a’lam. Masih punya waktu lagi. Pohon dimurahkan rezeki…

Abang memandu dengan kelajuan yang sederhana, tahu kegemaranku dengan permandangan sebegitu. Berdekatan dengan Padang Kemunting, abang membelokkan kereta melalui sebatang tali air, menyusuri sebatang jalan kecil, di kiri kanan ada deretan pohon kelapa dan pokok- pokok renek. Sawah- sawah padi masih mendamaikan. Bagaikan sebuah lukisan yang cantik.

“Dulu, waktu abang di SESMA, arwah ayah Kasma pernah berbual dengan abang di wakaf tu,” kata Abang sambil jarinya menunding ke sebuah dangau yang usang.

Aku menoleh. Itu kenangan abang. Berjalan kaki dari jalan besar Wakaf Tengah ke rumahnya di Padang Kemunting yang kini hanya tinggal tapaknya sahaja. Setelah tanah di situ di ambil oleh kerajaan untuk membesarkan jalan, keluarga Abang berpindah ke Bukit Agu. Aku tiada kenangan sebegitu. Mungkin aku anak perempuan, yang agak dipingit. Sehinggakan memandu motorsikal pun aku tak pandai.

KATANYA & KATAKU

Kata Abang..,
Abang tak pernah pergi PASTI (waktu tu dikenali dengan TASKI- Taman Asuhan Kanak- Kanak Islam). Abang mengenal huruf dan nombor dari Mek Ti (panggilan kepada kakaknya yang ke 2). Mek Ti lah yang mengajar Abang A, B,C.. 1,2 dan 3. Menghafal doa- doa tertentu. Abang tak berpeluang untuk ke PASTI kerana dibimbangi Abang akan merayau tak tentu arah dan bermain dengan budak- budak nakal.


Sedang aku…,
Merasa segalanya tanpa susah payah. Setiap pagi disiapkan emak. Memakai tudung kepala dan baju kurung. Seronoknya berada di PASTI. Mengenali kawan- kawan yang masih ku ingat hingga kini, Kartini, Fairuz dan Nafisah. Menulis, mewarna, melukis. Mereka bentuk- bentuk dari plastisin . Makan beramai dengan kawan- kawan, segalanya indah di hatiku.

Kata Abang…,
Masa sekolah rendah dulu, sebelum ke sekolah, abang akan meletakkan kuih- muih mak di kedai. Ada pulut lepa, ada laksam. Mak memang pakar memasak makanan tradisional begitu.

Kadang- kadang Abang dapat upah seringgit dari mak. Kerana Abang rajin. Duit itu Abang akan masukkan ke celeng (tabung), sebagai simpanan Abang. Tabung itu berbentuk bangunan Tabung Haji. Sudah lupa dari mana Abang mendapatkannya. Duit itulah yang kemudiannya akan Mek Ti simpan di Bank Nasional yang menjadi akaun pertama Abang. Jumlahnya tak banyak, namun cukup memuaskan Abang kerana hasil usaha sendiri.

Balik sekolah, kadang- kadang Abang ke baruh menunggu lembu. Masa itulah Abang akan membaca. Abang jarang berpeluang untuk pergi bermain macam adik beradik yang lain. Abang bermain juga, tapi tak seperti yang lain.

Oh, patutlah Abang tak lasak…

Sedang aku,
Zaman kecilku cukup bebas sebagai bocah kecil. Tiada bebanan tanggungjawab seperti Abang. Setiap pagi, aku dihantar emak atau ayah dengan kereta. Aku cuma dilatih untuk melakukan kerja- kerja ‘perempuan’, menyapu dan mengemas rumah. Diberi duit saku yang mencukupi dan kadang- kadang waktu petang masih boleh membeli aiskrim dan jajan.

Aku juga punya tabung. Mak belikan yang sama serupa rupa bentuknya antara kami empat beradik tika itu. Tabung buluh yang divarnish, tampak comel sekali dengan lukisan bunga kecil berwarna merah. Simpanan kami selalunya akan berisi di musim raya. Mak akan memasukkan kesemuanya ke dalam akaun bank Islam.

Kata Abang…,
Abang selalu curi- curi baca buku dalam bilik yang gelap sambil membuka pintu untuk mendapatkan cahaya lampu dari luar. Abang suka membaca tapi kadang- kadang ada keadaan- keadaan yang mana Abang tak dapat nak buat apa yang Abang suka. Abang kenal banyak buku dari perpustakaan sekolah. Ada juga dari rumah tapi tak banyak.

Sedang aku..,
Lambakan buku- buku dari mak ayah sangat menyenangkan. Ada kisah- kisah Nabi- Nabi yang berkulit tebal, dengan tulisan yang besar dan gambar- gambar yang menarik. Ada buku kisah- kisah teladan, kisah dongeng dari Asia dan pelbagai lagi. Buku favouriteku, ‘Kelingking’, kisah seorang anak kecil sebesar jari kelingking.
Bila- bila masa boleh membaca. Hanya minat yang diperlukan.

Tapi, jarang sekali ku habiskan masa untuk membaca. Ku kira, dan aku sangat pasti, minat ku tidak sebesar minat Abang. Aku membaca kerana dorongan. Sedang Abang, mahu meneroka khazanah ilmu dengan mahunya sendiri dengan persekitaran yang sangat mencabar.

Kata Abang…,
Biarlah anak- anak belajar berinteraksi dan bergaul dengan orang ramai, biar ada kemahiran bermasyarakat pada anak- anak. Jangan jadi macam abang. Yang hanya tahu belajar. Dunia Abang hanya sekolah dan buku. Katanya lagi, tak perlulah anak- anak bertuisyen, memadailah dengan apa yang di pelajari di sekolah.

Biarlah anak- anak berkawan dengan alam. Biar anak- anak bermesra dengan alam. Biar anak- anak tahu bermain selut, menangkap ikan. Kenali fauna dan flora di sekeliling, arif kicauan beburung. Biarkan anak- anak kita berinteraksi dengan alam. Kelak besar nanti, dia kenali dirinya, sayangi dan pelihara alam semulajadi, punyai kemahiran berinteraksi dengan orang sekeliling, bukan hanya fikir kehidupan ini hanya untuk diri sahaja.

Sedang aku..,
Mahu masa anak- anak dipenuhi dengan belajar. Mahu anak mendapat pendidikan formal secepat mungkin. Biar anak jadi orang yang cerdik pandai. Tahu dan sedar, pentingnya menjadi orang yang berilmu, bukan sekadar meneruskan kesinambungan hidup, tapi lebih dari itu. Sekurang- kurangnya jadi macam Abang, bukan macam aku. Yang hanya sedar bila dah tingkatan 4. Pulun sungguh- sungguh untuk SMU dan SPM kerana tika itu, baru terarah mana hala tujuku. Agak terlewat, walaupun tidak terlepas peluang.

Sungguhlah…,
Aku dan dia berbeza amat.
Dia suka petai, aku langsung tak… bau pun tak boleh. Dia suka ikan singgang, aku suka tumis merah air ikan tenggiri yang dimasak mak. Dia suka pedas, aku biasa- biasa saja. Dia suka air Nescaffe, aku suka air cokelat (tapi sekarang, nescaffe pun dah jadi favouriteku sebab tiap- tiap hari membancuh nescaffe untuknya)

Dia sangat cermat menjaga setiap barangannya, pen hilang sebatang, berpusing ketam dia mencarinya. Lain pula aku, hilang sebekas alat tulis pun, aku masih rileks dan meminjam sebatang pen dari orang lain.

Kami membesar dalam persekitaran yang berbeza. Mempunyai tanggapan dan harapan yang berbeza. Cita- cita dan keinginan yang cukup- cukup berbeza.

Namun…,
Pertemuan ini telahpun tertulis sejak lama. Bertemu dan bersatu. Walau sebelumnya ada teduhan- teduhan lain yang kami singgahi, kita tetap bersua jua. Aku tak pernah mengenalinya dalam hidup sebelum ini, seperti juga dirinya. Allah Maha Besar.

Teringat kata- kata seorang teman: “Kalau berteman, jangan dilihat apa yang berbeza, tapi carilah persamaan yang ada.”

Benar,
Kita punya impian masing- masing. Dan dalam keadaan ini, impian kita harus banyak persamaan. Kerana dia nakhodaku, bahtera hidup kita layari bersama. Akan ada perasaan- perasaan yang harus dirai dan harus diketepikan.

Tuhanku…,
Berikan kami kekuatan, berikan kami kesabaran… jadikan kehidupan ini penuh mawaddah dan sakinah.
Ameen, ameen, ameen….

1 Sya'ban 1430

Tuesday, July 21, 2009

Sehari Bersama

Tinggal sehari sahaja lagi..
Kemudian masing- masing akan membawa haluan sendiri sepanjang 3 bulan menjalani praktikal di sekolah pilihan masing- masing.

Aku akan bersama Sufi. Melakar arah dan mencoret cerita kami berdua di SMK Belara.
Akan berputiklah rindu ku untuk kampus ini.

Kenangan demi kenangan, terpahat, terukir di lubuk hatiku...
Terima kasih sahabat- sahabat, sudi menerima hadirku, kadang jadi tempatku menumpah kasih dan resah.

Nanti bertemu lagi...
ops, masih ada esok sehari lagi...(Dengan izin Allah)!

Sunday, July 19, 2009

Feel Bad

Saya rasa teruk sangat...
Teruk sangat- sangat

Segalanya kelabu. Tak tahu, kenapa tadi bagaikan terhijab untu menjawab soalan- soalan yang keluar. Keyakinan saya pada diri sendiri tak sampai 10%.

Ya Allah..,
Bantulah aku, berikan kekuatan
Ya Allah,
Tolonglah aku, aku kesempitan

Silap saya. Tak study betul- betul. Masa yang terlalu suntuk atau saya yang tak betul?

Katanya..,
Tak apa, usaha kita hanya 1% dari pencapaian. 99% lagi dalam ilmuNya..

Benar, siapalah kita untuk melukis jalur takdir kita. Dia Yang Maha Tahu. Kita ini sekadar mengharap titisan rahmatNya.

Pengubat untuk orang seperti saya. Namun, saya yakin ganjaran Allah untuk orang yang berusaha, berdoa dan tawakkal. Untuk mengelakkan malas.Untuk elakkan putus asa.

Saya kurang usaha, apalagi lagi doa secara khususi dalam 'keadaan' sekarang ini.

Benar, benar. Saya yakin sekali, Allah memberi pada sesiapa sahaja. Saya nak jadi orang yang dapat kasih sayang Allah, yang tak terlepas dari rahmatNya, maka saya mohon doa dari semua orang, terutamanya orang- orang yang saya harap redha mereka.. Saya mohon didoakan, disenandungkan dalam hati nama saya, agar rahmat Allah melimpah ruah, bukan haya untuk saya, tapi untuk semua..

Namun, saat ini saya masih rasa teruk sangat- sangat..
Teruk sangat- sangat!