Sunday, May 01, 2011

Shawarma Irbid


"Ada restoran di Taman U yang menyedikan makanan Arab."

"Shawarma ada?"

"Eh, ada la kot. Cuba la pergi dulu..."

"Ermmm... sedap tak? Nanti tak sama rasanya."

Suami isteri itu merupakan sahabat saya sewaktu belajar di Jordan. Berlainan universiti, saya di Irbid dan mereka di Mu'tah, namun kami sering bertemu bilamana ada program anjuran anak negeri Terengganu.

Bila mereka memberitahu tentang restoran Arab itu, saya sangat teruja. Rasa rindu pada Jordan membuak- buak. Tambahan pula bila mendapat tahu, ada makanan kesukaan kami pelajar- pelajar melayu di Jordan, iaitu shawarma.

Shawarma
di Jordan saya kira agak berlainan berbanding Mesir (mengikut cerita yang saya dengar). Shawarma kami di Irbid sangat istimewa pada saya. Mungkin di situ kenangan saya banyak tercipta.

Hirisan daging salai yang lembut, kemudiannya di campur dengan hirisan timun jeruk dan kentang goreng sebelum dibalut dengan roti yang disapu dengan sos bawang putih. Rotinya nipis sekali, seakan- akan roti tisu. Kemudian, akan di grill sekejap di atas kuali leper sehingga roti sedikit garing. Baunya.... hemmmm, memang sangat- sangat membuka selera!

Kita boleh memilih samada inginkan shawarma ayam atau daging kambing.

Selalunya saya dan Azifah, setiap seorang akan membeli shawarma kecil yang berharga 1/2 dinar, yang berisikan ayam, hampir setiap petang selepas selesai kelas bahasa Arab di daurah.

Menyelusuri syari' di Duar Jaameah, kami akan singgah di kedai shawarma yang disarankan oleh senior- senior kami. Di situ, kami akan sangat ralit melihat ammu menghiris isi ayam atau daging salai dengan pisau yang panjang sebelum membalutnya dengan roti nipis.

Dan, biasanya kami tak dapat bersabar untuk menunggu sehingga sampai ke rumah sewa, lalu akan menikmatinya di kawasan universiti berhampiran rumpun bunga mawar bertemankan tiupan angin petang di musim panas. Sambil makan kami tidak banya bercakap, kerana menikmati keenakan shawarma tersebut.

Saya mengajak suami berkunjung ke restoran Arab yang dikatakan teman itu. Awal- awal lagi saya sudah memesan shawarma di samping nasi mandi dan kebab.

Sedap?

Alhamdulillah.

Namun, rasanya jauh sekali dari apa yang pernah saya nikmati ketika di Jordan dahulu. Begitu juga rupa bentuknya.

Terdetik di dalam hati, bilakah lagi saya akan dapat merasai keenakan Shawarma Irbid yang begitu saya rindui......?

Saturday, April 30, 2011

Semangat Ayah


Pulang bercuti ke rumah mak di Terengganu sempena raya cina yang lepas, saya mendapat khabaran ayah mula menyambung pengajiannya ke peringkat ijazah sarjana/ master.

Sewaktu mengkhabarkan hal itu kepada kami anak- anak, saya lihat senyum yang menguntum di bibir ayah begitu manis dan wajahnya ceria penuh dengan semangat.

Kelas yang akan dihadirinya berlangsung di setiap hujung minggu pada hari Sabtu selama 9 jam. Saya mencongak- congak di dalam kepala, masih mampukah ayah memberikan komitmen untuk hadir ke kelas pada waktu yang ditetapkan? Kemudiannya, menumpukan perhatian untuk menyiapkan kertas kerja yang diberikan?

Bukankah ayah juga sering keluar dari Terengganu memenuhi undangan berceramah ataupun atas urusan- urusan yang berkait dengan kerjanya.

Namun, bila melihat semangat ayah, keraguan yang mengganggu itu pudar sedikit demi sedikit. Ayah yang saya kenali, memang kuat tekadnya. Bila dia menginginkan sesuatu, dia akan mengusahakannya sedaya yang mungkin, kemudian dia akan menyerahkan sepenuhnya pada Allah.

Memang, adakalanya usaha- usaha ayah tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan, namun, jarang sekali saya melihat ayah kecewa atau setidak- tidaknya mengeluh tanda tidak puas hati. Ayah akan mengatakan, "Nak buat macam mana, kita dah cuba yang terbaik. Adalah hikmahnya tu..."

Semangat ayah itulah yang ingin saya warisi.

Saya masih ingat, tahun 1996, ketika saya menduduki peperiksaan SPM. Petang itu, saya akan menduduki kertas Bahasa arab Tinggi. Ayah sanggup datang ke sekolah, meluangkan masa 2,3 jam menelaah bersama saya sebelum peperiksaan berlangsung. Ayah mengajar saya bersungguh- sungguh. Sehinggakan saya dapat rasakan, tingginya harapan ayah untuk melihat saya berjaya.

Usai peperiksaan, entah bagaimana, saya rasakan saya telah melakukan kesilapan ketika menjawab soalan. Saya menangis dengan bersungguh sekali, sehingga dikerumuni oleh kawan- kawan. Tiba- tiba saya melihat kelibat ayah dan mak. Rupanya, ayah datang lagi ke sekolah. Melihatkan keadaan saya, ayah memujuk dengan penuh hemah.

"Tak apa... Kan kita dah usaha. Insya Allah, Insya Allah, betul apa yang dijawab tadi... Kita berserah saja pada perkara yang telah lepas."

Saya berhenti menangis. Pujukan ayah benar- benar menenangkan saya. Benar- benar mendidik saya maksud tawakkal ketika usia saya 17 tahun.

Itu cerita dulu. Hari ini, ayah dengan usianya yang lebih 60 tahun, baru mendaftarkan dirinya sebagai pelajar master.

Saya tahu kepayahan- kepayahan menyambung pengajian bilamana ada tuntutan lain yang perlu diberesi. Ingin sahaja saya cadangkan pada ayah supaya memikirkan kembali keputusannya itu.

Namun, hanya hati dan mata sahaja yang berkata- kata. Apa yang keluar dari bibir berbeza sama sekali. Rasa kagum dan hormat saya pada ayah, mematikan hasrat saya.

Saya memberi galakan yang penuh pada ayah. Sebagai anak, saya harus yakin pada ayah. Kalau dulu, ayah tak jemu- jemu meniup semangat saya, kenapa harus sekarang saya mengeluarkan kata- kata yang melemahkan keinginan membara ayah?

Saya memberi kesanggupan untuk membantu ayah sekiranya diperlukan.

"Tak pe ayah..., nanti apa- apa ayah bagitau. Nanti Kak Cik tolong"

Biarlah ayah menyambung cita- citanya yang telah lama disimpan. Saya berdoa, agar Allah memudahkan segala urusan ayah. Ayah yang saya cintai dan hormati. Selagi hayatnya masih ada, saya akan cuba membantu urusan pengajian ayah.

Rabbi yassir wa la tu'assir

Wednesday, February 16, 2011

Bila Abang Tumbuh Gigi


Gigi susunya di bahagian depan semakin longgar. Bila aku mengintai ke dalam mulutnya, sudah tumbuh dua batang gigi kekal yang masih lagi kecil di bahagian itu. Di situ jugalah, 5 tahun dulu, mulanya tumbuh gigi susu pertamanya....

Oh, masa semakin berganjak rupanya, anak sulungku semakin besar, dan aku semakin menginjak ke usia tua....


**********************

Bila Abang tumbuh gigi...

Umi merasakan usia semakin meningkat. Langkah tidak segagah dan sepantas dulu, waktu sela juga tidak sebanyak biasa dek kerana tuntutan urusan harian yang perlu disegerakan.


Bila Abang tumbuh gigi...

Garis- garis usia seakan kian jelas di wajah umi, mata semakin layu, dan kulit yang tegang dan lembap seakan mula mengering. Helaian- helaian rambut pun bertambah banyak yang gugur.


Bila Abang tumbuh gigi,

Umi nampak kedut di dahi Abi juga semakin bertambah. Entah kerana urusan kerjanya yang tak habis- habis, atau anak- anak yang semakin membesar dan nakal.... atau memikirkan keperluan anak- anak yang semakin bertambah dari hari ke hari.


Bila Abang tumbuh gigi...,


Umi mula merasakan, sudah besar rupanya anak umi. Dari seorang bayi yang kecil dan tak mengerti apa- apa, banyaknya yang Abang sudah pelajari. Abang sudah tahu mengenal huruf- huruf hijaiyyah, membilang dan menulis 1, 2, 3, wahid, ithnaini, thalatha.... mengenal A,B,C. Kadang- kadang Abang menyanyikan pada Umi nasyid- nasyid yang Abang pelajari di PASTI, membuatkan Umi tersenyum senang.


Sudah pandai membantu Umi sedikit sebanyak, menjadikan hati Umi lapang, dan pandai juga mengacau Adik, membuatkan Umi tak boleh duduk diam.


Bila Abang tumbuh gigi...


Umi mula merasakan Abang dah boleh diberi tanggungjawab. Tambah lagi Abang anak sulung. Abang, bagi Umi tak boleh lagi culas pergi sekolah. Tak boleh lagi kalau nak ponteng baca Iqra' dengan Umi dan kena rajin solat. Walaupun solat Abang masih tahap orang yang baru belajar, tapi, Umi rasa Abang dah patut kena marah kalau sengaja main- main masa solat.


Bila Abang tumbuh gigi...


Itu tandanya Abang pun sudah bertambah usia. Tak boleh lagi berhimpit dengan Umi waktu tidur dan tak boleh takut- takut tidur sendiri.

Umi berdoa, moga Allah selalu memberikan Umi kekuatan dan kesabaran, dalam membesarkan Abang dan adik- adik. Umi bukannya orang yang pandai, hanya sekadar mempunyai kebolehan yang biasa- biasa. Namun, Umi sedar, Abang dan adik- adik wajib Umi berikan ilmu agama, wajib Umi ajar mengenal Allah. Umi akur, mendidik anak- anak harus sabar, harus ada ketegasan dalam kelembutan, kasih sayang dalam teguran.


P/s: Abang adalah panggilan keluarga kepada anak sulungku.

Tuesday, February 08, 2011

Yang Mendatang


6 Februari 2011, Ahad
10.30 malam

Kereta yang kami naiki meluncur laju membelah laluan Kota Tinggi menuju ke Kulai. Baru 15 minit lepas suami berenti sekejap melelapkan mata barang sekejap.

''Abang, itu dia jalan ke Kulai." Aku memberitahu suami selepas mata melilau- melilau mencari signboard tersebut.

"Abang tak nampak kereta kat belakang ni...".

Namun, dalam masa yang sama dia memulas stereng membelokkan kereta ke lorong kanan.

Panggggg!!!!
Serentak dengan itu berdecit bunyi tayar terseret di aspal jalan kerana tekanan brek yang kuat. Kereta kami berpusing dan apa yang aku dengar hanya jeritanku sendiri dalam gelap malam itu. Menoleh ke sebelah, dalam samar- samar lampu jalan, kelihatan wajah suamiku juga panik.

Kereta kami dirempuh dari belakang sewaktu membelok di simpang Kota Tinggi- Kulai. Aku sudah menggil- gigil. Seolah- olah antara hidup dan mati. Kereta kami sudah berhenti di tengah jalan dengan enjin yang masih hidup. Agaknya dalam keributan itu, suami ku sempat menukar gear auto Drive ke Parking. Dari jalan ke Kulai, kedudukannya berpusing ke jalan menuju Mersing.

Perlahan- lahan dia mengalihkan kereta ke bahu jalan. Kereta lain yang lalu lalang hanya melihat tanpa mahu berhenti. Mungkin kami kelihatan baik saja di dalam kereta sedangkan ketakutan ku, barangkali suami juga, hanya Allah yang tahu.

Dengan tangan yang masih menggigil dan airmata yang mengalir tanpa henti, aku menelefon ayah. Ayah meminta aku dan suami menunggu di tempat yang sesuai sementara dia menghubungi sahabatnya yang berdekatan dengan tempat tempat kami kemalangan.

Melihat kondisi kereta yang remuk di bahagian belakang, namun masih boleh bergerak, aku gagahkan jua memandunya perlahan- lahan menuju ke bandar Kulai. Suamiku berada di posisi penumpang kerana hentakan yang agak kuat pada kepalanya menyebabkan dia sedikit pening.

Alhamdulillah.
Sedikit lega bila sahabat ayah, Ustaz Atan, tiba bersama keluarga serentak dengan tibanya kami di Bandar Kulai. Beliau mengekori kami sehingga ke rumah dan memastikan keadaan kami benar- benar selamat, barulah beliau bertolak pulang.

8 Februari 2011, Selasa
Bandar Putra, 1.07 pm

Tak pernah ada dalam jangkaan, aku akan melalui peristiwa sebegini. Ngeri. Terasa seolah- seolah berada di ambang kematian saat mengalami kemalangan itu. Bila fikirkan kembali, bersediakah aku mendepani sebuah kematian??? Ya Allah...

Kematian bukan menunggu kita bersedia atau tidak!!!

Allah, Allah, Allah! Aku tak mahu mati dalam keadaan yang bertimbun dosa seperti ini!
Allah, Allah, Allah! Matikan kami dalam husnul khatimah.....

Semalam, kereta telah di bawa ke bengkel. Lebih kurang sebulan lagi baru keretaku akan siap direpair. Termenung sebentar kami suami isteri. Dengan insuran yang tak boleh di claim, kami harus mengeluarkan biaya sendiri sepenuhnya untuk menanggung kos baik pulih kereta. Untuk urusan seharian, kami tak tahu lagi bagaimana. Suami akan menumpang sahabatnya ke tempat kerja, begitu juga aku. Mujurlah tempat jagaan anak- anak berdekata dengan rumah, membolehkan aku berjalan kaki menghantar mereka.

Banyaknya perkara yang mendatang. Kalau dalam bahasa Arab, dipanggil 'awaridh. Ia bermaksud perkara atau benda- benda yang tak disangka- sangka mendatangi kita. Memang terasa amat dengan keadaan seperti ini. Banyaknya benda dirancang tak menjadi. Kecewa memang tak dapat nak dielakkan. Cuma, perkara terbaik yang boleh dilakukan, bersangka baik dengan Allah.

Kadang- kadang, terfikir juga, barangkali Allah tak mahu aku dihisab banyak- banyak nanti dengan sebab menggunakan rezki Allah bagi pada perkara yang tak patut- patut. Sebab tu diberikan aku ujian yang pelbagai. Biar tahu, ke mana mengalirnya pemberian ini.

Kata suami, bila Allah bagi rezki duit, jangan merancang nak beli itu ini. Allah maha tahu ke mana nanti akan menghalanya duit itu. Perancang Allah lebih tepat dari perancangan kita.

Ya Allah... Janganlah sekali- kali Kau jadikan cinta kami kepada dunia melebihi cinta kami pada Mu...!

Monday, December 27, 2010

Si Kecil Itu

Si Kecil itu sudah lebih 4 bulan usianya. Dari tapak kakinya sebesar dua jariku, dia kini sudah semakin membesar dan lincah.

Minumnya juga semakin banyak. Kerap sekali berjaga malam untuk menyusu. Namun, sangat jarang sekali tangisannya terdengar di tengah pekat malam. Sekadar rengekan kecil, kemudian dia akan lena kembali setelah kenyang.

Setiap pagi aku akan ternanti- nanti senyuman dari bibir kecil. Terukir sahaja di ulas bibirnya, hariku terasa seakan amat ceria dan bermakna.

Keletahnya amat menghiburkan ku, abinya dan dua abangnya. Suaranya yang kecil, lembut dan manja memang sentiasa menceriakan kami. Tapi, kuat juga menangis kalau tak nampak kelibat umi di matanya, sehingga membuatkan abinya tak tentu arah dan hilang punca.

Syukur ya Allah...atas anugerah ini buat kami. Moga dia membesar menjadi qurratu ain kami dan hamba yang cinta padaMu.

Nuha menunjukkan wajah terkejut bila diacukan kamera


Menggigit Dora kesayangan abangnya


Buah hati kami

Thursday, December 02, 2010

Santai

Sunyi sepi. Yang terdengar hanya bunyi kipas angin yg berputar di syiling. Oh.., mengantuknya. Tapi tak boleh nak lelapkan mata kerana si kecil ini mengajak umi bermain. Sudahlah tidurnya mlm tadi, menghampiri tengahmalam, bangunnya pula saat umi sedang enak dibuai mimpi berteman selimut tebal yg nyaman.

Dinihari begitu pun dia masih ingin bermain. Tersenyum- senyum, sambil membulatkan mata lebarnya... Aduh anakku... Nuha di rumah cik Ngahnya

Usai solat subuh, dia sudah terlena di tepi sejadahku dan abinya. Aku pula harus menyiapkan sarapan sebelum suamiku berangkat dan hero- hero berdua itu bangun. Letihnya...

Tengahhari tadi, merancang nak qailullah sekejap. Hemmm, baru sahaja kelopak mata bertaut, suara kecilnya memanggil- manggil. Oh, dia sudah terjaga, memandang umi yg sedang melawan kantuk dengan matanya yg bersinar.

Si hero berdua sedang enak bermimpi. Itupun setelah puas ku pujuk- pujuk dan rayu- rayu. Pesan abang, biasakan anak-anak untuk qailullah. Lazimi sunnah itu. banyak kajian saintifik yg membuktikan kelebihannya. Sesetengah tempat kerja di negara barat pun, menggalakkan pekerja- pekerjanya tidur sekejap waktu tengahhari kerana terbukti meningkatkan produktiviti mereka.

Aku pula? Sekarang sedang berfikir nak masak apa tengahhari ini? Ikan sudah direndam di singki. Sedap juga kalau dimasak kari. Kacang bendi pun masih berbaki dalam peti ais. Goreng ikan sikit, dan goreng kangkung belacan. Sedapnya!

Ok, jom masak!

Friday, November 26, 2010

Lorong Kehidupan


Hampir setahun berlalu semenjak aku dipostingkan di SMKKB dan menetap di Bandar Putra. Daripada berempat, keluarga kami bertambah lagi. Kali ini seorang puteri yang memang dinanti hadirnya. Alhamdulillah wa syukr lillah.

Benarlah, laluan kehidupan tidak mudah. Di mana pun kita berada, akan ada kesulitan- kesulitan yang akan kita alami. Sedar ataupun tidak, semuanya merupakan ujian yang menambah kuatkan keyakinan dan pergantungan kita pada Yang Satu.

Kejauhan ini banyak sekali mengajar aku erti hidup. Berdua dengan suami menguruskan anak- anak yang semakin membesar, aduh.., bukan suatu tugas yang mudah. Ini amanah Allah, dan aku mahupun abang harus berperang dengan nafsu untuk bersenang- senang. Wajib mengajarkannya huruf- huruf Al- Quran agar nanti dapat melafazkan kalam Allah, memahami dan menghayatinya. Itu tanggungjawab kami pada anak- anak.

Aku dan abang harus kuat. Kehidupan berumah tangga ini harus dikemudikan sebijak- bijaknya. Laut tak selalunya tenang. Kadang- kadang bergelora, kadang- kadang ada angin kencang membadai.

Yang namanya kehidupan itu, bila ada bermacam- macam rasa. Kalau tak pernah merasa pahit, akan kenalkah kita rasa manis? Tapi, bila bersatu manis dan pahit itu, bukankah terasa sedap juga? Macam air kopi?? Hemmmmm.....

Namun, kesukaran inilah yang menjadikan manusia semakin matang. Kita belajar dari kesilapan yang kita lakukan. Bertatih sebelum melangkah, dan berjalan sebeluam berlari. Pasti ada rebah bangun dan rebah lagi sebelum benar- benar mahir mengatur langkah. Tak ada yang sempurna melainkan Dia.

Wednesday, October 06, 2010

Nostalgia Mee Bandung

Suami meng 'oder' mee bandung untuk menu berbuka puasanya hari ini.

"Tapi tak mau macam mee bandung yang kita makan malam tadi", ujarnya merujuk kepada mee bandung Muar yang kami makan di rumah seorang teman. Kuahnya pedas, perencahnya daging dan udang, beserta sayur sawi.
Sekadar gambar hiasan

Memang teman tersebut berasal dari Muar dan saya pernah menyebut padanya nak rasa mee bandung orang Muar. Hmmm, lagu tu rupanya rasa mee bandung Muar. Sedapnya boleh tahan.

"Ok. Nak yang macam kat warung Nangka ye?" Tahu benar saya mee bandung kegemarannya.

Dia mengangguk dengan senyuman sebelum bertolak ke tempat kerja meninggalkan saya yang mula berfikir- fikir, macam manala nak masak mee bandung ala- ala Warung Nangka itu, yang perasanya saya dah ingat- ingat lupa.


Kalau di Terengganu, ada satu tempat yang menyediakan masakan mee bandung kegemaran saya. Lepas kawin, baru la saya tahu dia juga gemarkan mee bandung di situ.

Dari zaman sekolah menengah lagi, kalau turun ke bandar KT saya akan singgah di situ sekiranya teringin nak menikmati mee bandung.

Warung Nangka. Itulah tempatnya. Tak tahulah kenapa dinamakan sedemikian. Mungkin kerana ada sebatang pohon nangka yang tumbuh betul- betul di sebelah warung tersebut dan menaunginya sehingga ia kelihatan teduh dan redup.

Selepas berkahwin, saya pernah mengajak suami ke sana. Alhamdulillah, tempatnya masih ada di lokasi yang sama. Bahkan pokok nangka yang tumbuh bersebelahan pintu masuknya, masih gagah berdiri. Menu pilihan kami sudah tentulah mee bandung.Dengan kuahnya yang pekat, perencahnya yang cukup, ditambah lagi dengan sebiji telur yang dipecahkan dalam kuahnya, mee bandungnya masih lagi enak seperti dulu.

Seakan tiada yang berubah. Yang berlainan barangkali cuma harganya sahaja. Kalau dulu, tak salah, harganya cuma RM 1.50 untuk semangkuk mee bandung. Tapi, sekarang tak kan dapat lagi dengan harga macam tu untuk menu yang sama.

Kami pernah mencuba mee bandung kat tempat lain di bandar KT, tapi rasanya tak memenuhi citarasa kami sepertimana di Warung Nangka.

Dan, petang tadi saya bekerja keras di dapur menyediakan mee bandung ala- ala warung nangka dengan bahan- bahan yang dah ada dalam peti sejuk.

Saya cuma masukkan ayam sebab tak ada udang mahupun daging. Lagipun saya dan anak- anak allergic dengan makanan laut. Intai- intai sayur yang ada cuma sawi dan kangkung. Ermm....., Seingat saya, mee bandung warung nangka tak ada perencah sayur pun.

Udang kering pun tak ada. Tak mengapalah. Saya blend bawang besar, bawang putih, lepas tu tumis dengan lada kering yang dah siap di mesin. Masukkan ayam, sos tiram, sos cili dan sos tomato sikit.

Nak pekat, saya masukkan tepung jagung, last sekali telur. Masa nak makan, masukkan daun sup, bawang goreng dan cili merah.

Hemmm... Macam sedap je....

Apa kata suami?

Dia makan dengan bersungguh- sungguh sekali, siap bertambah. Bila ditanya, sedap tak? Jawapannya ; "Sedap sangat."

"Sama tak dengan Warung Nangka punya?"

"Yang ini sedap sangat. Sedap cara isteri Abang, yang Warung Nangka tu lain."

Hemmm..., alahai, tak sama juga macam kat Warung Nangka tu....

Tuesday, September 28, 2010

IB dalam Ingatan

Hari ini sudah Syawal yang ke 19. Anak kecilku 'Ulya Nuha, semakin tembam dan menembam. Usianya sudah 48 hari. Sudah ku bawa dia ke mana- mana menziarahi sahabat- sahabat di Johor ini.

Di sini, 'raya'nya begitu terasa. Kadang- kadang, waktu malam rumah kami di'terjah' oleh tetangga se taman ini. Aku yang memang tidak pernah mengalami suasana begini pada mulanya memang agak kaget. Al- maklum, baru beranak kecil dan rumah kami amat- amat kekurangan. Ku jamu tetamu seadanya dengan air kopi atau cokelat panas dan keropok Terengganu. Lucu juga. Memang kami di rumah langsung tidak ada stok kuih raya melainkan yang terdapat di rumah mak di Terengganu.

Aku juga sempat menziarahi seorang teman lama sewaktu di Institut Berakan dulu, Zila. Kami memang bersahabat baik. Zaman awal remajaku, akrab dan mesra kami berdamping. Sekitar tahun 1992- 1995.Sehinggalah dia bertukar ke sekolah lain di Keratong tempat kelahirannya.




Banyak sekali perkongsian kisah kami waktu itu. Biarpun sudah lama cerita- cerita itu berlalu, kami masih tetap akrab hingga kini. Bertemu dengannya beberapa hari lalu di rumahnya di JB, kami mengimbau kenangan sewaktu di sekolah. Bercerita tentang suasana di sekitar IB yang sudah jauh berubah, saling bertanya tentang rakan lama.

Entah mengapa, aku jadi rindu benar pada zaman persekolahan kami. Rindu juga pada rakan- rakan yang pernah hadir sekejap mahupun lama. Di IB aku belajar erti hidup bersahabat, belajar erti kerja yang kuat beserta doa dan tawakkal membuahkan kejayaan yang manis. Di situlah aku mula menanam cita- cita untuk jadi orang yang berjaya. Ada juga waktu- waktu 'nakal' aku dan teman- teman, yang segalanya kini jadi cerita yang amat manis untuk dikenang.

Teringin untuk berjumpa semula dengan sahabat- sahabat seangkatan di IB dulu..
Bukan bertemu di maya, di face book, tapi biarlah pertemuan yang dapat bersua muka dan salam bertaut.

Sunday, September 26, 2010

Mahu anak jadi tahfiz?



UPSR baru aje selesai. Pada mana-mana ibubapa yang mencari tempat untuk anak-anak mereka sambung belajar, bolehlah hubungi nombor yang tertera kat iklan ini.

p/s ini iklan masyarakat. tak berbayar... he he he//

Friday, August 13, 2010

New member


Kemaskini 26 Ogos
'Ulya Nuha.... itulah nama putri kami. Semoga dia akan menjadi sebaik namanya. Gambar atas tu dari kamera Cik Ngah dia... kala ini baru berusia 3 hari... Sekarang nuha berehat kat terengganu bersama umi dan abang-abangnya.




Posting asal
Alhamdulillah, keluarga kami telah bertambah lagi. Seorang bayi perempuan telah lahir jam 9.30 malam tadi di hospital kulai. Kedua-dua ibu dan anak sihat.


3 Ramadhan

Saturday, May 29, 2010

Buat Syafinaz

Dia telah ku anggap lebih dari seorang pelajar (lebih tepat lagi bekas pelajarku), bahkan bagai seorang adik dan teman untuk berkongsi cerita. Kami terlalu rapat. Ada masa terluang, kami akan habiskan masa bersama untuk saling berkongsi cerita dan pengalaman. Kadang- kadang aku yang menasihatinya, tetapi adakalanya dia yang menasihatiku, walaupun jarak umur kami jauh berbeza.

Kadang- kadang, aku jadi seperti remaja seusianya, cuba menyelami hatinya dan memamhami apa yang sedang dia lalui.Kadang- kadang, aku jadi seperti seorang kakak atau mak, meleterinya sekiranya nasihatku tidak diendahkan.

Tahun terakhir dia di sekolah, dia diuji dengan perasaan. Hatinya disapa cinta seorang pelajar lelaki yang seusianya. Dia jadi sedikit keliru. Namun tidak hilang arah dan punca. Sering mengelak bila bersuaku, dan jarang- jarang ingin berbicara denganku seperti selalu.

Dalam kekeliruan itu, dia tidak mahu aku memarahinya. Dan aku bukanlah terlalu kejam untuk tidak memahami hati seorang anak remaja sepertinya. Aku berikan sedikit panduan dan pedoman beserta nasihat. Biar dia tahu, bukan cinta itu yang tidak aku sukai, tetapi cara dan gayanya menterjemahkan cinta itu.

Itu cerita dulu. Setengah tahun sudah berlalu. Namun, kenangan bersamanya tetap basah dalam ingatan, seperti masih terasa basah dan sejuknya kaki- kaki kami mengharung air sungai yang naik melintasi jambatan kecil berhampiran sekolah kami tika banjir musim tengkujuh lepas.

Aku sangat merinduinya saat ini. Begitu juga anak- anakku. Dia yang pandai membawa diri sangat disenangi semua.

Kini dia di matrikulasi UIA. Menyambung perjuangan dalam pencarian ilmu. Walaupun impiannya untuk ke Jordan tidak kesampaian, aku bersyukur amat kerana dia berjaya menempatkan diri di salah sebuah IPTA. Aku yakin, dia akan menjadi seorang yang sangat diperlukan dalam masyarakat. Dia ada potensi untuk cemerlang, ada sikap dan akhlak yang baik untuk diteladani.

Inaz...,
Atur langkahmu seteratur mungkin di menara gading sana. Nanti pergaulanmu akan semakin luas, kenalanmu semakin banyak. Bila berteman, carilah sahabat yang membawamu dekat pada penciptamu. Bila berpakaian, lazimilah yang bertepatan dengan syariat.

Jangan disia- siakan peluang yang sudah sedia ada di depanmu. Dan, harus diingat, ilmu yang harus kau cari bukan hanya ada di bilik kuliah, ataupun di atas rak- rak perpustakaan, tetapi tebarlah sayapmu seluas- luasnya, dalam batas- batas yang dibolehkan buat muslimah sepertimu buat mancari mutiara- mutiara ilmu yang wujudnya merata di muka bumi Allah ini.

Inaz...
Moga dirimu selalu dalam barakah dan inayah Allah.

Sunday, May 09, 2010

Kehidupan



Sudah lebih sebulan kami tinggal bersama di sini. Saya dan suami mengambil keputusan nekad untuk tinggal bersama- sama di Kulai biarpun sewaktu keputusan di buat, tiada sebarang jawapan bagi pekerjaan yang di lamar oleh suami.

Dalam keadaan saya yang semakin hari semakin sarat, pasti tidak memungkinkan saya berulang alik dari Johor ke Terengganu setiap 2 mingggu sekali.

2 minggu suami di rumah menjaga anak- anak semasa saya di sekolah. Anak sulong pun kami tidak daftarkan ke PASTI tika itu kerana gaji saya untuk bulan 4 masih belum diterima.

Memang, hati penuh juga dengan rasa bimbang sesekali memikirkan, cukup kah pendapatan yang saya perolehi untuk menampung hidup sementara suami mendapatkan pekerjaan.Tapi, kami penuh yakin dan percaya, Allah selalu menjaga. Allah yang maha menentukan. Dia yang mencukupkan. Teringat selalu ayat terakhir dalam surah Luqman "wa ma tadri nafsun madha taksibu ghada", saya jadi cukup kuat walau sesekali menitis juga air mata.

Lebih seminggu di Kulai, suami di panggil untuk menghadiri interview di 2 tempat yang berasingan. Hati penuh sarat dengan doa dan harapan, moga- moga akan ada rezeki buatnya. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selang beberapa hari, dia diarah melapor diri di Kilang Yamauchi yang terletak di Senai, lebih kurang 20 minit perjalanan dari rumah sewa kami.

Saya lebih tenteram kini. Melihat anak- anak membesar di depan mata dan dapat mengurus keluarga dengan tangan sendiri.Memang sedikit penat, tetapi rasanya lebih baik berbanding ketika setiap kali meninggalkan anak- anak ketika berjauhan dulu.

Kami sedang dalam proses mengatur kehidupan sendiri kini. Berjauahan dari keluarga dan sanak saudara. Dulu, ada saja tangan yang menghulur bantuan dari kalangan ahli keluarga sekiranya berkesulitan menjaga anak. Kini kami harus lebih banyak berdikari.

Setiap kali melihat tangisan anak- anak ketika di hantar ke Taska al- Farabi, hati saya sayu juga. Tapi, saya kuatkan juga. Terlintas sesekali untuk menghantar anak sulong balik ke Terengganu, untuk dijaga oleh Wan dan Ki nya. Kata suami, sabarlah dulu. Tengok keadaannnya dalam sebulan dua. Andai kata dia tak betah sangat, kita hantar la balik ke Terengganu. Ibu saya memang tak keberatan. Malahan dia yang terlebih rindu pada cucu sulongnya ini.

Biar apapun keadaan yang dilalui di sini, saya masih rindu amat pada bumi Terengganu. Suami juga begitu. Ada kesempatan,sekiranya sampai ketentuanNya untuk saya bertukar tempat bertugas, saya nak sangat kembali ke Terengganu.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.....

Monday, March 08, 2010

Salam Dari Darul Ta'zim

Sudah lama saya tidak menjengah ke sini.

Bukan kerana kesibukan yang merantai dan bukan juga kerana saya lupakan 'rumah' saya ini. Namun, setiap kali mengintai ke dalam, saya rasa hambar. Kehidupan saya di sini seakan sedikit tawar.

Sudah lebih 3 bulan saya berkelana di Darul Ta'zim ini. Saya sendiri tak pernah menyangka saya akan tercampak ke daerah Kulai, tanpa suami dan anak- anak di sisi. Untuk minggu- minggu permulaan, memang sangat sedih dan tertekan. Hari pertama melapor diri, sudah diberi beberapa tugasan yang harus diselesaikan, sedangkan keletihan menaiki bas selama 9 jam belum lagi hilang, tangisan sewaktu meninggalkan bumi Terengganu bersama orang- orang yang saya sayang, masih terasa amat.

Termenung sejenak.

Kemudiannya, seakan ada suara yang mengejutkan, bahawa saya sudah melangkah ke alam kerjaya, bukan lagi pelajar seperti tahun- tahun yang sudah.

Inilah dunia yang harus saya tempuhi. Samada suka ataupun tidak, saya kena lalui juga. Apa yang saya harapkan sangat- sangat, dalam kelana ini, apa jua yang saya lakukan, selama mana saya masih berjalan di atas syariatNya, janganlah dijadikan amalan- amalan ini sia- sia. Jadikan lah diri ini hamba yang redha dengan segala ketentuan, sabar dengan apa- apa saja yang berlaku.

Saturday, October 24, 2009

Thursday, October 22, 2009

Umang-umang dan Ketam

Di pinggiran pantai nan indah lagi tenang….

Seekor anak ketam dan umang- umang berkejaran di gigi air. Ketam, dengan gaya jalannya yang senget, agak lambat bergerak ke hadapan. Sedang sang umang- umang berjalan dengan lurus dan agak cepat. Lama umang- umang menunggunya, barulah dapat bersaing. Begitulah berulang-ulang.

Lalu berkatalah si umang- umang yang merasakan dirinya best ini:

“Hei anak ketam! Kenapa kau jalan macam tu? Kesian aku tengok. Jalan, jalan, senget. Jalan aje, senget. Lama lagi la nak sampai kalau macam ini lah caranya kau berjalan. Cuba tengok aku jalan. Haaa, mana ada senget! ” Sambil menunjukkan caranya berjalan kepada si anak ketam yang terkebil- kebil melihatnya.

Si anak ketam yang naïf itupun berfikir:

“Alangkah baiknya kalau aku dapat jalan lurus seperti umang- umang. Pasti aku akan lebih cepat sampai ke destinasi yang aku tujui. ” Dia mula merasakan dirinya serba kekurangan. Sedangkan tanpa sedar, setiap makhluk itu Allah ciptakan dengan kelebihan dan kekurangan masing- masing.

Lalu si anak ketam pun berkata:

“Kalau macam tu, kau ajarlah aku Umang- umang. Mana tahu…, aku dapat jalan macam kau. Nampak segak dan bergaya.”

Dengan bangganya Umang- umang menjawab:

“Baik, aku akan ajar kau. Ha, tengok ni!”

Umang- umang terus menggayakan caranya berjalan. Walaupun terasa berat dengan kulit siput yang berada di atas belakangnya, umang- umang tetap ingin menunjukkan kehebatannya kepada anak ketam yang lurus bendul ini.

Si anak ketam cuba berjalan seperti si umang- umang. Dia menapak lurus ke depan. Namun, tanpa dia sedari, kejadian Allah padanya dan keturunannya sememangnya ajaib.

Cara berjalannya yang senget, takkan sama dengan makhluk lain. Ketam Allah jadikan cukup unik sekali. Sepasang kakinya tidak sedondong, bahkan sebelah tubuhnya tidak sama besar dengan yang sebelah lagi. Sebab tu kita lihat ketam tak berjalan lurus.

Namun, kerana tak mahu rasa kalah dengan umang- umang dia tetap juga cuba untuk berjalan lurus. Berkali- kali mencuba, ketam masih tetap ketam. Takkan jadi umang- umang. Si anak ketam mula berputus asa…

Dia rasa rendah diri. Namun, tiba- tiba dia tersedar dan terus beristighfar.

“Ya, Allah.. Ampunilah keterlanjuranku. Aku telah menyesali kejadianMu terhadap diriku. ”

Itulah kisahnya…

Cuba kita fikir dan renung, si anak ketam, walaupun dia berjalan senget, dia sebenarnya hebat. Dia tak menumpang rumah orang lain. Sehuduh- huduh dia, dia menjadi dirinya sendiri. Dia hidup dengan jati dirinya. Dia tidak seperti umang- umang yang menumpang kulit siput, bersembunyi di dalam kulit siput, dan kelihatan besar kerana kulit siput yang dia bawa di atas belakangnya. Bukan kerana dirinya sendiri. Umang- umang sebenarnya kecil sahaja.

Begitulah kita. Selalu rasa rendah diri kerana tidak seperti orang lain. Orang lain pakai seluar jeans koyak kat lutut, kita nak pakai juga. Orang lain hisap rokok, kita nak cuba juga. Orang lain buat rambut cacak- cacak style David Beckham, kita nak buat juga.

Kalau yang perempuan pula, orang colour kuku macam pelangi, kita pun buat ler juga. Orang lain hebat ber boyfriend, kita nak sama hebat juga. Orang pakai kain belah- belah, kita minta tukang jahit buat fesyen belah juga.

Aduhai……

Mudahnya kita terpengaruh dengan orang. Mudahnya kita nak jadi orang lain. Kononnya kalau tak macam orang lain, kita nampak pelik dan tersisih.

Orang lain adalah orang lain. Yang tiada larangan dalam adat dan agamanya. Sedang kita.., ada benteng yang memagari kita. Ada hudud yang tak boleh kita rentasi. Selama mana pun kita patuhinya, akan terjagalah maruah diri dan segalanya yang kita miliki.

Hebatnya kita kerana agama. Hebatnya kita kerana iman. Tak usahlah kita menjadi orang lain. Usahlah kita rasa malu dan rendah diri dengan pegangan kita. Selamanya kita akan jadi mulia, selama mana kita masih menjadikan Islam sebagai pegangan dan ikutan. Islam tak pernah jumud dan mundur, meskipun untuk sejuta tahun lagi.

ISLAM IS THE BEST WAY
ISLAM IS OUR WAY OF LIFE, FOR EVER AND EVER!


Catatan: Cerita ini saya adaptasikan daripada cerita "Umang- umang Dan Anak Ketam" oleh Encik Salmi, Pengurus Pemasaran Sabasun sewaktu Khemah Ibadat di Ma’ahad Tahfiz wa Tarbiyyah Darul Iman pada bulan Mac 2008.

Wednesday, October 14, 2009

MASIH BERBAKI SEDIKIT LAGI

Tinggal lagi 2 minggu praktikal mengajar akan usai. Tak sabar rasanya. Bukan tidak suka dengan kerjaya mengajar, tapi, keletihan yang melampau kerana menyiapkan RPH dan SPP seakan tidak tertanggung lagi. Seronok berada di SMK Belara ini. Yang tak seronok tu ada, tapi ingin aku campakkan segalanya jauh- jauh.

Lebih 2 bulan berada di sana, banyak sekali ragam pelajar dan guru yang ku temui. Yang pasti, cikgu- cikgu di sini semuanya baik- baik belaka. Tak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman.

Sepanjang 2 ½ bulan ini juga, aku cuba belajar untuk menepati masa. Aku yang jarang sekali dapat hadir awal ke kelas semasa di UDM, cuba sedaya upaya untuk samapai di sekolah sebelum atau tepat 7.30 pagi. Ada juga dalam seminggu, sekali dua terbabas dari waktu yang sepatutnya. Kesian suamiku. Setiap kali lewat, pasti memecut lajulah dia dalam keadaan stress.

Aku tak pasti, suatu hari nanti, andai benar- benar bertugas sebagai guru, apakah aku akan dapat menangani segala stress ini dengan baik. Apa yang dapat ku kenalpasti, jarak rumah yang jauh dari sekolah punca aku selalu kelam kabut.
Hemm, lama tidak menulis, kali ni aku bercerita pula tentang keadaanku. Tak apa lah. Sekadar meng ‘up date’ posting di dalam blog ini.

Buat sahabat- sahabat yang rajin mengunjungi, maaflah, dah lama tak ada cerita baru yang nak dikongsikan. Saya cuba refresh mood yang sering turun naik (lebih banyak turun)ini. Doakan saya juga dalam doa kalian.

Thursday, August 27, 2009

MARHABAN YA RAMADHAN

Untuk kali ini, saat makin dimamah usia,
saya benar- benar mengharapkan suatu kelainan. Yang tidak sama dengan Ramadhan saya yang telah lalu.

Biarlah kali ini, hadirnya bersama jasmani yang (lebih) sihat dan emosi yang (lebih)baik. Untuk saya mencari sesuatu yang kian hilang...Semakin berganjak usia ini, semakin banyak rasanya yang belum ditemui. Biarlah ketenangan yang hakiki itu benar- benar hadir dalam bilahan hari- hari di bulan Ramadhan ini.

Tuhanku..,
Benar- benar aku ini hamba Mu yang lemah lagi kerdil!

Wednesday, August 12, 2009

Dari Neraca Kenangan

“Ish, buat apa la nak ikut himpunan orang- orang bodoh macam tu… Bukankah akta itu digubal untuk menjaga kedaulatan raja- raja dan keselamatan negara? Daripada sibuk- sibuk tentang benda alah tu, lebih baik kita fikir cemana nak hapuskan jenayah ragut dan rompak yang makin berleluasa sekarang ni. ”

Saya sekadar menekurkan kepala sambil merenung nasi di pinggan. Nasi bersama lauk favourite, ikan keli goreng sambal pedas belumpun luak separuh. Saya teruskan juga suapan meski hati terasa amat dengan kata- kata tersebut. Hemm, dek kerana perut memang lapar sejak pagi, habis juga juadah di depan mata.

Saya tak faham… Sampai kadang- kadang terasa agak bengang dengan orang- orang seperti ini. Apa sebenarnya yang ada dalam kepala mereka? Sudah senak sangatkah sampai tidak boleh berfikir akan penderitaan yang dirasakan oleh lain? Tidak dapatkah merenung sejenak kesusahan mereka? Apa lagi untuk sama- sama berkongsi kesedihan.

Betapa tidak mengertinya orang- orang seperti ini. Hanya berfikir tentang ‘huru- hara’ (kononnya) yang hanya sehari itu. Sedang di sana, ada hati- hati yang bertahun diulit derita, ada anak- anak yang punyai ayah tetapi tidak dapat bersua muka.

Hampir 2 minggu telah berlalu, namun masih terdengar lagi komen- komen negatif berkenaan Himpunan Mansuhkan ISA, 1 Ogos lalu. Himpunan yang sepatutnya berlangsung secara aman, namun disurai secara yang tidak sepatutnya. Cubalah berada di situ, baru tahu siapa sebenarnya yang tidak demokratik dan tidak bertamadun.

TERIMBAU
Saya terlalu kecil ketika itu untuk mengingati semuanya. Sekitar pertengahan tahun 80an. Sangat samar- samar sekali. Tahu- tahu, kehidupan kami adik beradik cuma diuruskan oleh emak. Mak lah yang menghantar ke sekolah, menjaga kami adik beradik dan mencari nafkah. Maklah mak. Maklah pengganti ayah. Kami bukan kehilangan ayah, tapi ayah dirampas haknya untuk berada di sisi kami.

Saban bulan kami akan berehlah ke Taiping. Destinasinya Kem Tahanan Kemunting. Kami (emak dan kami anak- anak) pergi menaiki kereta dengan ditemani oleh sahabat- sahabat baik ayah. Samada Ayah Wan atau Pak Cik Wahid, ataupun Pak Su Kar. Dalam perjalanan, kami akan singgah di kedai makan, yang mana menu istimewanya nasi lemak dan ayam goreng. Itulah modal untuk memujuk kami adik beradik sekiranya meragam di dalam perjalanan.

Masih jelas dalam kenangan, bagaimana seronoknya kami adik- beradik dapat bertemu dengan ayah. Masakan tidak, lama sekali kami tidak melihat ayah. Memang kami semua sayangkan ayah. Ayah yang baik dan lembut dengan kami.

Untuk permulaan, kami hanya bertemu di sebalik cermin. Mak hanya mendengar suara ayah melalui intercom. Bersua muka, namun tak mampu bersentuhan.

Lama kemudiannya, setelah beberapa pertemuan, barulah kami dapat merasakan hangatnya dakapan dan ciuman kasih ayah. Bahagia sungguh rasanya dipeluk cium ayah. Emak? Tak tahulah saya bagaimana perasaannya tika itu, kerana saya masih terlalu kecil untuk memahami semuanya. Melihat tangisan mak, apa sangatlah yang dapat kami fahami.

Saya ingat lagi, pernah sekali, ada orang tangkap gambar kawasan dalam dan luar rumah banyak- banyak. Di segenap ruang rumah gambar diambil. Kami adik beradik turut bergaya di depan kamera. Rupa- rupanya gambar tersebut dibawa bersama ketika kami melawat ayah. Entahlah, mungkin ayah rindu nak menatap suasana rumah yang ditinggalkan.

Tika berziarah ke kem, ayah akan bawa kami adik beradik ke koperasi kem. Kami disuruh ambil apa saja yang kami teringin. Coklat, kerepek, asam masin. Itu saja kegembiraan yang mampu ayah berikan dengan keadaannya tika itu. Nak bawa kami jalan- jalan makan angin? Huh, jauh panggang dari api. Dapat bertemu dan duduk di ribaan ayah pun sudah cukup baik.

Dulu, saya sering tertanya- tanya, mengapa mak saya lebih garang berbanding mak orang lain? Kenapa mak macam selalu sibuk? Pengertian itu datang bila saya menginjak usia dewasa. Wajarlah mak begitu.. Bukan sedikit bebanan tanggungjawab yang perlu dipikul mak sepanjang ketiadaan ayah selama lebih 2 tahun itu. Bukan sedikit kesabaran dan kesetiaan yang mak pertahankan. Mak yang uruskan segalanya sendirian. Urusan persekolahan kami, dan semua urusan rumah. Berhari raya tanpa ayah bagai jadi perkara biasa.

Semakin lama, saya semakin faham, ayah kami ditahan sebagai tahanan ISA. Jadi mangsa mainan politik kotor.

Setelah tempoh tahanan tamat, ayah tidak terus kembali ke rumah. Masih menjadi ‘buruan’. Terpaksa menetap di beberapa tempat, termasuklah beberapa tahun di US. Kami masih dijaga hanya oleh emak. Hampir- hampir saja kami berhijrah bersama ayah, tapi disebabkan oleh beberapa kesulitan, hasrat itu tertangguh dan akhirnya dibatalkan. Bila ayah kembali ke tanahair, beliau kemudiannya disenarai hitamkan dari memasuki negara tersebut. (Oh, panjang sekali kisah ayah andai semuanya dicoretkan disini)

Menderita.

Itu yang dirasakan oleh keluarga mangsa tahanan ISA. Terutamanya isteri. Bayangkan, bersendirian membesarkan anak, mencari nafkah.. Terfikir kah kita, bagaimana emosi sorang isteri yang bersendirian tanpa suami disisi? Suami mereka ini, ada yang ditahan 2 tahun, bahkan ada yang menjangkau 7 tahun.Cuba letakkan kita di tempat mereka. Perit jerih yang harus mereka lalui, tentu kita tidak terbayang, kan?

Ya Allah, pun begitu, masih ada yang mahu mengira ini sebagai keadilan? Sudahlah si mangsa ditahan, kemudian dinafikan haknya untuk dibicarakan. Ditahan tanpa syarat, tanpa suatu penyiasatan yang adil. Undang- undang jenis apakah ini? Warisan siapakah ini?

Bukanlah saya ahlinya untuk membicarakan tentang ini. Sekadar berkongsi secebis kisah, yang pernah saya lalui ketika usia masih lagi kecil amat. Antara ingat dan lupa, saya sentiasa sedar dan tahu apa yang keluarga besar kami telah lalui. Kerana saya pernah merasakan, saya kira saya mengerti.. walaupun bukan dengan pengertian yang cukup dalam. Mungkin situasi mereka dan saya tidak sama, namun, kedewasaan ini membawa hati saya untuk memahami dunia orang lain, yang nasibnya sama seperti ayah.

Andai benar di sini adil, pasti ada ruang untuk bermusyawarah. Pasti benar- benar dipraktikkan, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.” Bukan hanya bertanam tebu di tepi bibir.

Aduhai, Malaysia tanahairku… Aku sangat- sangat menyintaimu, namun, ada tampuk yang perlu ditukar. Biar cinta bertambah- tambah.

Sunday, August 09, 2009

Seminggu Berlalu

Memilih sekolah yang agak berjauhan dari rumah untuk menjalani praktikal, aku jadi sedikit kalut setiap pagi. Rutin harianku turut berubah..

Jika sebelum ini jam 5 pagi mata ku sudah segar bugar, sudah membuat itu ini selepas beberapa minit mengadu padaNYA, kini aku harus memulakan segalanya lebih awal lagi.Ketika jarum pendek di angka 4 dan yang satu lagi di angka 6, aku perlu meninggalkan selimutku yang hangat dan nyaman. Bersiap dan melangsaikan kerja- kerja yang belum sempat selesai malamnya, terutamnya yang melibatkan lesson plan.

Hari pertama di sekolah, Alhamdulillah, kami diterima cukup baik. Walaupun dalam kalimah tarhib pengetua ada ingatan yang semacam amaran, agar kami tidak cuba menyuntik apa- apa anasir politik dalam P&P, aku dan Sufi cuba menerimanya dengan hati yang terbuka.Tahu dan cukup faham walaupun baru pertama kali bersua..

Guru- guru dan staff sokongan sekolah cukup baik, sangat membantu dan mesra. Aku senang di sini. Cuba untuk menyesuaikan diri dan setiap hari menyatakan senang, aku kira cukup membantu aku menghadapi suasana yang kadang kala membuatkan aku sedih dan terkilan.

Paling ketara,
Lain sekali rasanya menghadapi pelajar- pelajar ini...Entahlah.

Teringin sekali jadi muallim, mudarris, murabbi dan muaddib. Boleh ke? Kuat ke?
Ya Allah, bantulah... berikan kekuatan.