Dia telah ku anggap lebih dari seorang pelajar (lebih tepat lagi bekas pelajarku), bahkan bagai seorang adik dan teman untuk berkongsi cerita. Kami terlalu rapat. Ada masa terluang, kami akan habiskan masa bersama untuk saling berkongsi cerita dan pengalaman. Kadang- kadang aku yang menasihatinya, tetapi adakalanya dia yang menasihatiku, walaupun jarak umur kami jauh berbeza.
Kadang- kadang, aku jadi seperti remaja seusianya, cuba menyelami hatinya dan memamhami apa yang sedang dia lalui.Kadang- kadang, aku jadi seperti seorang kakak atau mak, meleterinya sekiranya nasihatku tidak diendahkan.
Tahun terakhir dia di sekolah, dia diuji dengan perasaan. Hatinya disapa cinta seorang pelajar lelaki yang seusianya. Dia jadi sedikit keliru. Namun tidak hilang arah dan punca. Sering mengelak bila bersuaku, dan jarang- jarang ingin berbicara denganku seperti selalu.
Dalam kekeliruan itu, dia tidak mahu aku memarahinya. Dan aku bukanlah terlalu kejam untuk tidak memahami hati seorang anak remaja sepertinya. Aku berikan sedikit panduan dan pedoman beserta nasihat. Biar dia tahu, bukan cinta itu yang tidak aku sukai, tetapi cara dan gayanya menterjemahkan cinta itu.
Itu cerita dulu. Setengah tahun sudah berlalu. Namun, kenangan bersamanya tetap basah dalam ingatan, seperti masih terasa basah dan sejuknya kaki- kaki kami mengharung air sungai yang naik melintasi jambatan kecil berhampiran sekolah kami tika banjir musim tengkujuh lepas.
Aku sangat merinduinya saat ini. Begitu juga anak- anakku. Dia yang pandai membawa diri sangat disenangi semua.
Kini dia di matrikulasi UIA. Menyambung perjuangan dalam pencarian ilmu. Walaupun impiannya untuk ke Jordan tidak kesampaian, aku bersyukur amat kerana dia berjaya menempatkan diri di salah sebuah IPTA. Aku yakin, dia akan menjadi seorang yang sangat diperlukan dalam masyarakat. Dia ada potensi untuk cemerlang, ada sikap dan akhlak yang baik untuk diteladani.
Inaz...,
Atur langkahmu seteratur mungkin di menara gading sana. Nanti pergaulanmu akan semakin luas, kenalanmu semakin banyak. Bila berteman, carilah sahabat yang membawamu dekat pada penciptamu. Bila berpakaian, lazimilah yang bertepatan dengan syariat.
Jangan disia- siakan peluang yang sudah sedia ada di depanmu. Dan, harus diingat, ilmu yang harus kau cari bukan hanya ada di bilik kuliah, ataupun di atas rak- rak perpustakaan, tetapi tebarlah sayapmu seluas- luasnya, dalam batas- batas yang dibolehkan buat muslimah sepertimu buat mancari mutiara- mutiara ilmu yang wujudnya merata di muka bumi Allah ini.
Inaz...
Moga dirimu selalu dalam barakah dan inayah Allah.
Saturday, May 29, 2010
Sunday, May 09, 2010
Kehidupan
Sudah lebih sebulan kami tinggal bersama di sini. Saya dan suami mengambil keputusan nekad untuk tinggal bersama- sama di Kulai biarpun sewaktu keputusan di buat, tiada sebarang jawapan bagi pekerjaan yang di lamar oleh suami.
Dalam keadaan saya yang semakin hari semakin sarat, pasti tidak memungkinkan saya berulang alik dari Johor ke Terengganu setiap 2 mingggu sekali.
2 minggu suami di rumah menjaga anak- anak semasa saya di sekolah. Anak sulong pun kami tidak daftarkan ke PASTI tika itu kerana gaji saya untuk bulan 4 masih belum diterima.
Memang, hati penuh juga dengan rasa bimbang sesekali memikirkan, cukup kah pendapatan yang saya perolehi untuk menampung hidup sementara suami mendapatkan pekerjaan.Tapi, kami penuh yakin dan percaya, Allah selalu menjaga. Allah yang maha menentukan. Dia yang mencukupkan. Teringat selalu ayat terakhir dalam surah Luqman "wa ma tadri nafsun madha taksibu ghada", saya jadi cukup kuat walau sesekali menitis juga air mata.
Lebih seminggu di Kulai, suami di panggil untuk menghadiri interview di 2 tempat yang berasingan. Hati penuh sarat dengan doa dan harapan, moga- moga akan ada rezeki buatnya. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selang beberapa hari, dia diarah melapor diri di Kilang Yamauchi yang terletak di Senai, lebih kurang 20 minit perjalanan dari rumah sewa kami.
Saya lebih tenteram kini. Melihat anak- anak membesar di depan mata dan dapat mengurus keluarga dengan tangan sendiri.Memang sedikit penat, tetapi rasanya lebih baik berbanding ketika setiap kali meninggalkan anak- anak ketika berjauhan dulu.
Kami sedang dalam proses mengatur kehidupan sendiri kini. Berjauahan dari keluarga dan sanak saudara. Dulu, ada saja tangan yang menghulur bantuan dari kalangan ahli keluarga sekiranya berkesulitan menjaga anak. Kini kami harus lebih banyak berdikari.
Setiap kali melihat tangisan anak- anak ketika di hantar ke Taska al- Farabi, hati saya sayu juga. Tapi, saya kuatkan juga. Terlintas sesekali untuk menghantar anak sulong balik ke Terengganu, untuk dijaga oleh Wan dan Ki nya. Kata suami, sabarlah dulu. Tengok keadaannnya dalam sebulan dua. Andai kata dia tak betah sangat, kita hantar la balik ke Terengganu. Ibu saya memang tak keberatan. Malahan dia yang terlebih rindu pada cucu sulongnya ini.
Biar apapun keadaan yang dilalui di sini, saya masih rindu amat pada bumi Terengganu. Suami juga begitu. Ada kesempatan,sekiranya sampai ketentuanNya untuk saya bertukar tempat bertugas, saya nak sangat kembali ke Terengganu.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.....
Subscribe to:
Posts (Atom)