Saturday, October 24, 2009

Muhasabah Cinta

Thursday, October 22, 2009

Umang-umang dan Ketam

Di pinggiran pantai nan indah lagi tenang….

Seekor anak ketam dan umang- umang berkejaran di gigi air. Ketam, dengan gaya jalannya yang senget, agak lambat bergerak ke hadapan. Sedang sang umang- umang berjalan dengan lurus dan agak cepat. Lama umang- umang menunggunya, barulah dapat bersaing. Begitulah berulang-ulang.

Lalu berkatalah si umang- umang yang merasakan dirinya best ini:

“Hei anak ketam! Kenapa kau jalan macam tu? Kesian aku tengok. Jalan, jalan, senget. Jalan aje, senget. Lama lagi la nak sampai kalau macam ini lah caranya kau berjalan. Cuba tengok aku jalan. Haaa, mana ada senget! ” Sambil menunjukkan caranya berjalan kepada si anak ketam yang terkebil- kebil melihatnya.

Si anak ketam yang naïf itupun berfikir:

“Alangkah baiknya kalau aku dapat jalan lurus seperti umang- umang. Pasti aku akan lebih cepat sampai ke destinasi yang aku tujui. ” Dia mula merasakan dirinya serba kekurangan. Sedangkan tanpa sedar, setiap makhluk itu Allah ciptakan dengan kelebihan dan kekurangan masing- masing.

Lalu si anak ketam pun berkata:

“Kalau macam tu, kau ajarlah aku Umang- umang. Mana tahu…, aku dapat jalan macam kau. Nampak segak dan bergaya.”

Dengan bangganya Umang- umang menjawab:

“Baik, aku akan ajar kau. Ha, tengok ni!”

Umang- umang terus menggayakan caranya berjalan. Walaupun terasa berat dengan kulit siput yang berada di atas belakangnya, umang- umang tetap ingin menunjukkan kehebatannya kepada anak ketam yang lurus bendul ini.

Si anak ketam cuba berjalan seperti si umang- umang. Dia menapak lurus ke depan. Namun, tanpa dia sedari, kejadian Allah padanya dan keturunannya sememangnya ajaib.

Cara berjalannya yang senget, takkan sama dengan makhluk lain. Ketam Allah jadikan cukup unik sekali. Sepasang kakinya tidak sedondong, bahkan sebelah tubuhnya tidak sama besar dengan yang sebelah lagi. Sebab tu kita lihat ketam tak berjalan lurus.

Namun, kerana tak mahu rasa kalah dengan umang- umang dia tetap juga cuba untuk berjalan lurus. Berkali- kali mencuba, ketam masih tetap ketam. Takkan jadi umang- umang. Si anak ketam mula berputus asa…

Dia rasa rendah diri. Namun, tiba- tiba dia tersedar dan terus beristighfar.

“Ya, Allah.. Ampunilah keterlanjuranku. Aku telah menyesali kejadianMu terhadap diriku. ”

Itulah kisahnya…

Cuba kita fikir dan renung, si anak ketam, walaupun dia berjalan senget, dia sebenarnya hebat. Dia tak menumpang rumah orang lain. Sehuduh- huduh dia, dia menjadi dirinya sendiri. Dia hidup dengan jati dirinya. Dia tidak seperti umang- umang yang menumpang kulit siput, bersembunyi di dalam kulit siput, dan kelihatan besar kerana kulit siput yang dia bawa di atas belakangnya. Bukan kerana dirinya sendiri. Umang- umang sebenarnya kecil sahaja.

Begitulah kita. Selalu rasa rendah diri kerana tidak seperti orang lain. Orang lain pakai seluar jeans koyak kat lutut, kita nak pakai juga. Orang lain hisap rokok, kita nak cuba juga. Orang lain buat rambut cacak- cacak style David Beckham, kita nak buat juga.

Kalau yang perempuan pula, orang colour kuku macam pelangi, kita pun buat ler juga. Orang lain hebat ber boyfriend, kita nak sama hebat juga. Orang pakai kain belah- belah, kita minta tukang jahit buat fesyen belah juga.

Aduhai……

Mudahnya kita terpengaruh dengan orang. Mudahnya kita nak jadi orang lain. Kononnya kalau tak macam orang lain, kita nampak pelik dan tersisih.

Orang lain adalah orang lain. Yang tiada larangan dalam adat dan agamanya. Sedang kita.., ada benteng yang memagari kita. Ada hudud yang tak boleh kita rentasi. Selama mana pun kita patuhinya, akan terjagalah maruah diri dan segalanya yang kita miliki.

Hebatnya kita kerana agama. Hebatnya kita kerana iman. Tak usahlah kita menjadi orang lain. Usahlah kita rasa malu dan rendah diri dengan pegangan kita. Selamanya kita akan jadi mulia, selama mana kita masih menjadikan Islam sebagai pegangan dan ikutan. Islam tak pernah jumud dan mundur, meskipun untuk sejuta tahun lagi.

ISLAM IS THE BEST WAY
ISLAM IS OUR WAY OF LIFE, FOR EVER AND EVER!


Catatan: Cerita ini saya adaptasikan daripada cerita "Umang- umang Dan Anak Ketam" oleh Encik Salmi, Pengurus Pemasaran Sabasun sewaktu Khemah Ibadat di Ma’ahad Tahfiz wa Tarbiyyah Darul Iman pada bulan Mac 2008.

Wednesday, October 14, 2009

MASIH BERBAKI SEDIKIT LAGI

Tinggal lagi 2 minggu praktikal mengajar akan usai. Tak sabar rasanya. Bukan tidak suka dengan kerjaya mengajar, tapi, keletihan yang melampau kerana menyiapkan RPH dan SPP seakan tidak tertanggung lagi. Seronok berada di SMK Belara ini. Yang tak seronok tu ada, tapi ingin aku campakkan segalanya jauh- jauh.

Lebih 2 bulan berada di sana, banyak sekali ragam pelajar dan guru yang ku temui. Yang pasti, cikgu- cikgu di sini semuanya baik- baik belaka. Tak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman.

Sepanjang 2 ½ bulan ini juga, aku cuba belajar untuk menepati masa. Aku yang jarang sekali dapat hadir awal ke kelas semasa di UDM, cuba sedaya upaya untuk samapai di sekolah sebelum atau tepat 7.30 pagi. Ada juga dalam seminggu, sekali dua terbabas dari waktu yang sepatutnya. Kesian suamiku. Setiap kali lewat, pasti memecut lajulah dia dalam keadaan stress.

Aku tak pasti, suatu hari nanti, andai benar- benar bertugas sebagai guru, apakah aku akan dapat menangani segala stress ini dengan baik. Apa yang dapat ku kenalpasti, jarak rumah yang jauh dari sekolah punca aku selalu kelam kabut.
Hemm, lama tidak menulis, kali ni aku bercerita pula tentang keadaanku. Tak apa lah. Sekadar meng ‘up date’ posting di dalam blog ini.

Buat sahabat- sahabat yang rajin mengunjungi, maaflah, dah lama tak ada cerita baru yang nak dikongsikan. Saya cuba refresh mood yang sering turun naik (lebih banyak turun)ini. Doakan saya juga dalam doa kalian.

Thursday, August 27, 2009

MARHABAN YA RAMADHAN

Untuk kali ini, saat makin dimamah usia,
saya benar- benar mengharapkan suatu kelainan. Yang tidak sama dengan Ramadhan saya yang telah lalu.

Biarlah kali ini, hadirnya bersama jasmani yang (lebih) sihat dan emosi yang (lebih)baik. Untuk saya mencari sesuatu yang kian hilang...Semakin berganjak usia ini, semakin banyak rasanya yang belum ditemui. Biarlah ketenangan yang hakiki itu benar- benar hadir dalam bilahan hari- hari di bulan Ramadhan ini.

Tuhanku..,
Benar- benar aku ini hamba Mu yang lemah lagi kerdil!

Wednesday, August 12, 2009

Dari Neraca Kenangan

“Ish, buat apa la nak ikut himpunan orang- orang bodoh macam tu… Bukankah akta itu digubal untuk menjaga kedaulatan raja- raja dan keselamatan negara? Daripada sibuk- sibuk tentang benda alah tu, lebih baik kita fikir cemana nak hapuskan jenayah ragut dan rompak yang makin berleluasa sekarang ni. ”

Saya sekadar menekurkan kepala sambil merenung nasi di pinggan. Nasi bersama lauk favourite, ikan keli goreng sambal pedas belumpun luak separuh. Saya teruskan juga suapan meski hati terasa amat dengan kata- kata tersebut. Hemm, dek kerana perut memang lapar sejak pagi, habis juga juadah di depan mata.

Saya tak faham… Sampai kadang- kadang terasa agak bengang dengan orang- orang seperti ini. Apa sebenarnya yang ada dalam kepala mereka? Sudah senak sangatkah sampai tidak boleh berfikir akan penderitaan yang dirasakan oleh lain? Tidak dapatkah merenung sejenak kesusahan mereka? Apa lagi untuk sama- sama berkongsi kesedihan.

Betapa tidak mengertinya orang- orang seperti ini. Hanya berfikir tentang ‘huru- hara’ (kononnya) yang hanya sehari itu. Sedang di sana, ada hati- hati yang bertahun diulit derita, ada anak- anak yang punyai ayah tetapi tidak dapat bersua muka.

Hampir 2 minggu telah berlalu, namun masih terdengar lagi komen- komen negatif berkenaan Himpunan Mansuhkan ISA, 1 Ogos lalu. Himpunan yang sepatutnya berlangsung secara aman, namun disurai secara yang tidak sepatutnya. Cubalah berada di situ, baru tahu siapa sebenarnya yang tidak demokratik dan tidak bertamadun.

TERIMBAU
Saya terlalu kecil ketika itu untuk mengingati semuanya. Sekitar pertengahan tahun 80an. Sangat samar- samar sekali. Tahu- tahu, kehidupan kami adik beradik cuma diuruskan oleh emak. Mak lah yang menghantar ke sekolah, menjaga kami adik beradik dan mencari nafkah. Maklah mak. Maklah pengganti ayah. Kami bukan kehilangan ayah, tapi ayah dirampas haknya untuk berada di sisi kami.

Saban bulan kami akan berehlah ke Taiping. Destinasinya Kem Tahanan Kemunting. Kami (emak dan kami anak- anak) pergi menaiki kereta dengan ditemani oleh sahabat- sahabat baik ayah. Samada Ayah Wan atau Pak Cik Wahid, ataupun Pak Su Kar. Dalam perjalanan, kami akan singgah di kedai makan, yang mana menu istimewanya nasi lemak dan ayam goreng. Itulah modal untuk memujuk kami adik beradik sekiranya meragam di dalam perjalanan.

Masih jelas dalam kenangan, bagaimana seronoknya kami adik- beradik dapat bertemu dengan ayah. Masakan tidak, lama sekali kami tidak melihat ayah. Memang kami semua sayangkan ayah. Ayah yang baik dan lembut dengan kami.

Untuk permulaan, kami hanya bertemu di sebalik cermin. Mak hanya mendengar suara ayah melalui intercom. Bersua muka, namun tak mampu bersentuhan.

Lama kemudiannya, setelah beberapa pertemuan, barulah kami dapat merasakan hangatnya dakapan dan ciuman kasih ayah. Bahagia sungguh rasanya dipeluk cium ayah. Emak? Tak tahulah saya bagaimana perasaannya tika itu, kerana saya masih terlalu kecil untuk memahami semuanya. Melihat tangisan mak, apa sangatlah yang dapat kami fahami.

Saya ingat lagi, pernah sekali, ada orang tangkap gambar kawasan dalam dan luar rumah banyak- banyak. Di segenap ruang rumah gambar diambil. Kami adik beradik turut bergaya di depan kamera. Rupa- rupanya gambar tersebut dibawa bersama ketika kami melawat ayah. Entahlah, mungkin ayah rindu nak menatap suasana rumah yang ditinggalkan.

Tika berziarah ke kem, ayah akan bawa kami adik beradik ke koperasi kem. Kami disuruh ambil apa saja yang kami teringin. Coklat, kerepek, asam masin. Itu saja kegembiraan yang mampu ayah berikan dengan keadaannya tika itu. Nak bawa kami jalan- jalan makan angin? Huh, jauh panggang dari api. Dapat bertemu dan duduk di ribaan ayah pun sudah cukup baik.

Dulu, saya sering tertanya- tanya, mengapa mak saya lebih garang berbanding mak orang lain? Kenapa mak macam selalu sibuk? Pengertian itu datang bila saya menginjak usia dewasa. Wajarlah mak begitu.. Bukan sedikit bebanan tanggungjawab yang perlu dipikul mak sepanjang ketiadaan ayah selama lebih 2 tahun itu. Bukan sedikit kesabaran dan kesetiaan yang mak pertahankan. Mak yang uruskan segalanya sendirian. Urusan persekolahan kami, dan semua urusan rumah. Berhari raya tanpa ayah bagai jadi perkara biasa.

Semakin lama, saya semakin faham, ayah kami ditahan sebagai tahanan ISA. Jadi mangsa mainan politik kotor.

Setelah tempoh tahanan tamat, ayah tidak terus kembali ke rumah. Masih menjadi ‘buruan’. Terpaksa menetap di beberapa tempat, termasuklah beberapa tahun di US. Kami masih dijaga hanya oleh emak. Hampir- hampir saja kami berhijrah bersama ayah, tapi disebabkan oleh beberapa kesulitan, hasrat itu tertangguh dan akhirnya dibatalkan. Bila ayah kembali ke tanahair, beliau kemudiannya disenarai hitamkan dari memasuki negara tersebut. (Oh, panjang sekali kisah ayah andai semuanya dicoretkan disini)

Menderita.

Itu yang dirasakan oleh keluarga mangsa tahanan ISA. Terutamanya isteri. Bayangkan, bersendirian membesarkan anak, mencari nafkah.. Terfikir kah kita, bagaimana emosi sorang isteri yang bersendirian tanpa suami disisi? Suami mereka ini, ada yang ditahan 2 tahun, bahkan ada yang menjangkau 7 tahun.Cuba letakkan kita di tempat mereka. Perit jerih yang harus mereka lalui, tentu kita tidak terbayang, kan?

Ya Allah, pun begitu, masih ada yang mahu mengira ini sebagai keadilan? Sudahlah si mangsa ditahan, kemudian dinafikan haknya untuk dibicarakan. Ditahan tanpa syarat, tanpa suatu penyiasatan yang adil. Undang- undang jenis apakah ini? Warisan siapakah ini?

Bukanlah saya ahlinya untuk membicarakan tentang ini. Sekadar berkongsi secebis kisah, yang pernah saya lalui ketika usia masih lagi kecil amat. Antara ingat dan lupa, saya sentiasa sedar dan tahu apa yang keluarga besar kami telah lalui. Kerana saya pernah merasakan, saya kira saya mengerti.. walaupun bukan dengan pengertian yang cukup dalam. Mungkin situasi mereka dan saya tidak sama, namun, kedewasaan ini membawa hati saya untuk memahami dunia orang lain, yang nasibnya sama seperti ayah.

Andai benar di sini adil, pasti ada ruang untuk bermusyawarah. Pasti benar- benar dipraktikkan, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.” Bukan hanya bertanam tebu di tepi bibir.

Aduhai, Malaysia tanahairku… Aku sangat- sangat menyintaimu, namun, ada tampuk yang perlu ditukar. Biar cinta bertambah- tambah.

Sunday, August 09, 2009

Seminggu Berlalu

Memilih sekolah yang agak berjauhan dari rumah untuk menjalani praktikal, aku jadi sedikit kalut setiap pagi. Rutin harianku turut berubah..

Jika sebelum ini jam 5 pagi mata ku sudah segar bugar, sudah membuat itu ini selepas beberapa minit mengadu padaNYA, kini aku harus memulakan segalanya lebih awal lagi.Ketika jarum pendek di angka 4 dan yang satu lagi di angka 6, aku perlu meninggalkan selimutku yang hangat dan nyaman. Bersiap dan melangsaikan kerja- kerja yang belum sempat selesai malamnya, terutamnya yang melibatkan lesson plan.

Hari pertama di sekolah, Alhamdulillah, kami diterima cukup baik. Walaupun dalam kalimah tarhib pengetua ada ingatan yang semacam amaran, agar kami tidak cuba menyuntik apa- apa anasir politik dalam P&P, aku dan Sufi cuba menerimanya dengan hati yang terbuka.Tahu dan cukup faham walaupun baru pertama kali bersua..

Guru- guru dan staff sokongan sekolah cukup baik, sangat membantu dan mesra. Aku senang di sini. Cuba untuk menyesuaikan diri dan setiap hari menyatakan senang, aku kira cukup membantu aku menghadapi suasana yang kadang kala membuatkan aku sedih dan terkilan.

Paling ketara,
Lain sekali rasanya menghadapi pelajar- pelajar ini...Entahlah.

Teringin sekali jadi muallim, mudarris, murabbi dan muaddib. Boleh ke? Kuat ke?
Ya Allah, bantulah... berikan kekuatan.

Friday, July 24, 2009

KATANYA & KATAKU

Dirinya & Diriku

Petang itu kami selusuri lagi jalan ke rumah mak di Bukit Agu. Kerana mak teringin nak makan ayam goreng yang garing dan enak di pasar malam, kami singgah di pasar malam Wakaf Tengah sebelum ke sana. Aku memborong ayam goreng dengan jumlah yang agak banyak, sambil mata melilau mencari roti nan kari daging untuk ayah.

Abang agak terkilan, walaupun sudah bertawaf satu pusingan penuh, tak ada gerai yang menjual roti nan. Jadi, aku cuma membeli sekeping roti tempayan dengan harapan ayah akan suka. Tak lupa gulai daging, lauk favourite ayah semenjak sakit ini. Bak kata ayah, kalau ada gulai daging, selera ayah lain sikit. Boleh juga dihabiskan sepinggan nasi.

Di dalam kereta, Zakwan di belakang asyik meratah ayam goreng. Berselang seli menikmati coconut shake yang juga di beli di pasar malam. Wijdan di ribaanku pula, memadai dengan seketul ayam yang hampir- hampir habis isinya.

Permandangan di luar kereta semakin mengasyikkan. Sepanjang jalan, sawah- sawah kelihatan menghijau. Entah daun- daun padi, entah rumput liar. Yang pastinya sangat mendamaikanku. Aku sering teruja dengan keindahan dan kehijauan sawah. Impianku ingin memiliki sebuah rumah yang berdekatan dengan sawah padi. Entah akan tercapai atau tidak, wallahu a’lam. Masih punya waktu lagi. Pohon dimurahkan rezeki…

Abang memandu dengan kelajuan yang sederhana, tahu kegemaranku dengan permandangan sebegitu. Berdekatan dengan Padang Kemunting, abang membelokkan kereta melalui sebatang tali air, menyusuri sebatang jalan kecil, di kiri kanan ada deretan pohon kelapa dan pokok- pokok renek. Sawah- sawah padi masih mendamaikan. Bagaikan sebuah lukisan yang cantik.

“Dulu, waktu abang di SESMA, arwah ayah Kasma pernah berbual dengan abang di wakaf tu,” kata Abang sambil jarinya menunding ke sebuah dangau yang usang.

Aku menoleh. Itu kenangan abang. Berjalan kaki dari jalan besar Wakaf Tengah ke rumahnya di Padang Kemunting yang kini hanya tinggal tapaknya sahaja. Setelah tanah di situ di ambil oleh kerajaan untuk membesarkan jalan, keluarga Abang berpindah ke Bukit Agu. Aku tiada kenangan sebegitu. Mungkin aku anak perempuan, yang agak dipingit. Sehinggakan memandu motorsikal pun aku tak pandai.

KATANYA & KATAKU

Kata Abang..,
Abang tak pernah pergi PASTI (waktu tu dikenali dengan TASKI- Taman Asuhan Kanak- Kanak Islam). Abang mengenal huruf dan nombor dari Mek Ti (panggilan kepada kakaknya yang ke 2). Mek Ti lah yang mengajar Abang A, B,C.. 1,2 dan 3. Menghafal doa- doa tertentu. Abang tak berpeluang untuk ke PASTI kerana dibimbangi Abang akan merayau tak tentu arah dan bermain dengan budak- budak nakal.


Sedang aku…,
Merasa segalanya tanpa susah payah. Setiap pagi disiapkan emak. Memakai tudung kepala dan baju kurung. Seronoknya berada di PASTI. Mengenali kawan- kawan yang masih ku ingat hingga kini, Kartini, Fairuz dan Nafisah. Menulis, mewarna, melukis. Mereka bentuk- bentuk dari plastisin . Makan beramai dengan kawan- kawan, segalanya indah di hatiku.

Kata Abang…,
Masa sekolah rendah dulu, sebelum ke sekolah, abang akan meletakkan kuih- muih mak di kedai. Ada pulut lepa, ada laksam. Mak memang pakar memasak makanan tradisional begitu.

Kadang- kadang Abang dapat upah seringgit dari mak. Kerana Abang rajin. Duit itu Abang akan masukkan ke celeng (tabung), sebagai simpanan Abang. Tabung itu berbentuk bangunan Tabung Haji. Sudah lupa dari mana Abang mendapatkannya. Duit itulah yang kemudiannya akan Mek Ti simpan di Bank Nasional yang menjadi akaun pertama Abang. Jumlahnya tak banyak, namun cukup memuaskan Abang kerana hasil usaha sendiri.

Balik sekolah, kadang- kadang Abang ke baruh menunggu lembu. Masa itulah Abang akan membaca. Abang jarang berpeluang untuk pergi bermain macam adik beradik yang lain. Abang bermain juga, tapi tak seperti yang lain.

Oh, patutlah Abang tak lasak…

Sedang aku,
Zaman kecilku cukup bebas sebagai bocah kecil. Tiada bebanan tanggungjawab seperti Abang. Setiap pagi, aku dihantar emak atau ayah dengan kereta. Aku cuma dilatih untuk melakukan kerja- kerja ‘perempuan’, menyapu dan mengemas rumah. Diberi duit saku yang mencukupi dan kadang- kadang waktu petang masih boleh membeli aiskrim dan jajan.

Aku juga punya tabung. Mak belikan yang sama serupa rupa bentuknya antara kami empat beradik tika itu. Tabung buluh yang divarnish, tampak comel sekali dengan lukisan bunga kecil berwarna merah. Simpanan kami selalunya akan berisi di musim raya. Mak akan memasukkan kesemuanya ke dalam akaun bank Islam.

Kata Abang…,
Abang selalu curi- curi baca buku dalam bilik yang gelap sambil membuka pintu untuk mendapatkan cahaya lampu dari luar. Abang suka membaca tapi kadang- kadang ada keadaan- keadaan yang mana Abang tak dapat nak buat apa yang Abang suka. Abang kenal banyak buku dari perpustakaan sekolah. Ada juga dari rumah tapi tak banyak.

Sedang aku..,
Lambakan buku- buku dari mak ayah sangat menyenangkan. Ada kisah- kisah Nabi- Nabi yang berkulit tebal, dengan tulisan yang besar dan gambar- gambar yang menarik. Ada buku kisah- kisah teladan, kisah dongeng dari Asia dan pelbagai lagi. Buku favouriteku, ‘Kelingking’, kisah seorang anak kecil sebesar jari kelingking.
Bila- bila masa boleh membaca. Hanya minat yang diperlukan.

Tapi, jarang sekali ku habiskan masa untuk membaca. Ku kira, dan aku sangat pasti, minat ku tidak sebesar minat Abang. Aku membaca kerana dorongan. Sedang Abang, mahu meneroka khazanah ilmu dengan mahunya sendiri dengan persekitaran yang sangat mencabar.

Kata Abang…,
Biarlah anak- anak belajar berinteraksi dan bergaul dengan orang ramai, biar ada kemahiran bermasyarakat pada anak- anak. Jangan jadi macam abang. Yang hanya tahu belajar. Dunia Abang hanya sekolah dan buku. Katanya lagi, tak perlulah anak- anak bertuisyen, memadailah dengan apa yang di pelajari di sekolah.

Biarlah anak- anak berkawan dengan alam. Biar anak- anak bermesra dengan alam. Biar anak- anak tahu bermain selut, menangkap ikan. Kenali fauna dan flora di sekeliling, arif kicauan beburung. Biarkan anak- anak kita berinteraksi dengan alam. Kelak besar nanti, dia kenali dirinya, sayangi dan pelihara alam semulajadi, punyai kemahiran berinteraksi dengan orang sekeliling, bukan hanya fikir kehidupan ini hanya untuk diri sahaja.

Sedang aku..,
Mahu masa anak- anak dipenuhi dengan belajar. Mahu anak mendapat pendidikan formal secepat mungkin. Biar anak jadi orang yang cerdik pandai. Tahu dan sedar, pentingnya menjadi orang yang berilmu, bukan sekadar meneruskan kesinambungan hidup, tapi lebih dari itu. Sekurang- kurangnya jadi macam Abang, bukan macam aku. Yang hanya sedar bila dah tingkatan 4. Pulun sungguh- sungguh untuk SMU dan SPM kerana tika itu, baru terarah mana hala tujuku. Agak terlewat, walaupun tidak terlepas peluang.

Sungguhlah…,
Aku dan dia berbeza amat.
Dia suka petai, aku langsung tak… bau pun tak boleh. Dia suka ikan singgang, aku suka tumis merah air ikan tenggiri yang dimasak mak. Dia suka pedas, aku biasa- biasa saja. Dia suka air Nescaffe, aku suka air cokelat (tapi sekarang, nescaffe pun dah jadi favouriteku sebab tiap- tiap hari membancuh nescaffe untuknya)

Dia sangat cermat menjaga setiap barangannya, pen hilang sebatang, berpusing ketam dia mencarinya. Lain pula aku, hilang sebekas alat tulis pun, aku masih rileks dan meminjam sebatang pen dari orang lain.

Kami membesar dalam persekitaran yang berbeza. Mempunyai tanggapan dan harapan yang berbeza. Cita- cita dan keinginan yang cukup- cukup berbeza.

Namun…,
Pertemuan ini telahpun tertulis sejak lama. Bertemu dan bersatu. Walau sebelumnya ada teduhan- teduhan lain yang kami singgahi, kita tetap bersua jua. Aku tak pernah mengenalinya dalam hidup sebelum ini, seperti juga dirinya. Allah Maha Besar.

Teringat kata- kata seorang teman: “Kalau berteman, jangan dilihat apa yang berbeza, tapi carilah persamaan yang ada.”

Benar,
Kita punya impian masing- masing. Dan dalam keadaan ini, impian kita harus banyak persamaan. Kerana dia nakhodaku, bahtera hidup kita layari bersama. Akan ada perasaan- perasaan yang harus dirai dan harus diketepikan.

Tuhanku…,
Berikan kami kekuatan, berikan kami kesabaran… jadikan kehidupan ini penuh mawaddah dan sakinah.
Ameen, ameen, ameen….

1 Sya'ban 1430