Hanya
sekeping sahaja gambarnya yang terkini ada dalam simpanan kami. Satu- satunya.
Dia pergi tanpa diduga. Itu sahaja yang sempat dirakam oleh Abang. Dan itulah
yang terakhir sebelum hayatnya berakhir. Selang setahun setahun selepas
pemergian ayahanda mertuaku, dia dijemput pulang saat anaknya masih ingin
mendengar butir bicaranya, masih sangat rindu pada senyum tawanya. Segalanya datang tanpa diduga. Bagai angin yang
menghembus, tanpa sedar….
17
November 2012
5.00
petang
“Abang, rasanya tak perlu tunggu rumah di Kubang Semang siap. Kita jemput saja mak ke sini. Kita beli katil, meja makan dan keperluan mak. Hal makan minum mak untuk tengah hari kita minta Sila O Sila hantarkan.”
Suami terdiam.
Sudah acap kali kami membincangkan perkara tersebut, namun selalunya ia berakhir dengan untuk tidak mengajak mak tinggal bersama. Ia keputusan yang sukar. Namun itulah yang terbaik.
Mak
yang sudah tua dan uzur. Bila berjalan, dia akan melangkah perlahan- lahan ataupun
berpaut pada dinding sehingga sampai ke tempat yang dituju.
Mak selalunya akan duduk- duduk di kerusi meja makan di ruang dapur sambil memerhatikan anak cucu. Sesekali mak akan menegur tingkah laku cucu, tetapi selalunya mak cuma mengukir senyum tipis. Mak memang disenangi dan disayangi oleh semua anak menantu. Mak tidak banyak bercakap. Hidanglah apa sahaja, mak akan makan dan tidak pernah mengatakan tidak sedap pada makanan yang dihidang.
Itu kelebihan yang ada pada bonda mertuaku. Meskipun mak pendiam, tapi aku senang sekali melihat wajah cerahnya yang kemas bersanggul itu.
Kata abang,
“Bukan
abang tak mahu mengajak mak tinggal dengan kita. Tapi cuba Sayang timbang
betul- betul. Sayang jam 6.40 pagi sudah keluar bekerja. Balik jam 4 atau 5. Abang
lebih lagi. Abang bimbang seandainya ada perkara yang tak didingini berlaku
pada mak sepanjang ketiadaan kita di rumah. Abang takkan dapat memafkan diri
abang. ”
8.45 Malam
Aku memerhatikan dari ruangan dapur reaksi wajah suami
ketika bercakap di telefon.
Siapa agaknya? Wajah suami kelihatan cemas. Sesekali terdengar suaranya menyebut ‘ye’, ‘ok’.
“Yang, siap sekarang. Kita balik. Mak jatuh.”
Aku terperanjat.
“Siapa telefon bang?”
“Mak kenapa bang?”
“Mek Nik kata mak jatuh. Tak tahu macam mana jatuhnya. Terus tak sedarkan diri.”
Kami menyiapkan pakaian ala kadar. Aku menyelesaikan cucian pinggan mangkuk seberapa segera.
Jam 10.30 kami telah meyusuri jalan depan UiTM Permatang
Pauh.
Suasana sepi.
Anak- anak mula mengantuk. Dalam gelap tak dapat ku pastikan
dengan jelas wajah suami. Baru petang tadi kami bercakap- cakap tentang
mak. Menerima berita mak jatuh tak
sedarkan diri memang sangat mengejutkan.
“Abang, bila kali terakhir mendengar suara mak?”
Aku menggenggam tangannya. Memberikan kekuatan.
Dia terdiam seketika sebelum menjawab.
“Barangkali sewaktu kita balik bercuti raya haji itulah. Sayang pun tahukan mak tu macam mana. Kalau telefon pun tak dapat nak bercakap dengan dia. Mak bukan suka bercakap di telefon.”
Kami sama- sama terdiam. Dalam pada itu, rancak tanganku mendail nombor telefon penyelia kawasan peperiksaan SPM di sekolahku bertugas bagi memaklumkan ketidak hadiranku selama 2 hari akan datang.
Bagaimana keadaan emak? Terukkah bonda mertuaku itu? Langsung tidak sedarkan diri atau bagaimana?
Ia
soalan tanpa jawapan yang bermain- main di fikiran sepanjang 7 ½ jam
perjalanan.
Dan
MPV kami terus meluncur laju membelah pekat malam.
Ahad,
18 November 2012
Kami
sampai di perkarangan rumah Bukit Agu jam 6.30 pagi. Salam bersambut oleh ipar
duai dan birasku yang terdekat yang telah berkumpul sejak malam tadi. Mek Nik
dan Bailah yang telah berada di kampung sejak seminggu, turut bersama.
Aku dan suami melangkah masuk. Anak- anak yang masih lena ditinggalkan di kereta.
Mak
terbaring di atas katil bujang yang diletakkan di tengah rumah. Matanya
terpejam rapat. Wajahnya bersih dan tenang seperti biasa. Cuma sanggulnya yang
kemas terungkai dan anak rambut berserakan di tepi telinga. Abang mengucup wajah bondanya. Sayu menjalar
ke tangkai hati.
Selesai bersarapan, kami mencapai naskah surah Yassin yang sedia ada berdekatan pembaringan mak. Ku cuba menahan air mata dari jatuh. Namun, ia mengalir juga. Ya Rahman, ya Rahim, kasihanilah mak.
Tak
pernah kami sangka, pulang ke kampung kali ini dengan berita sedih ini. Persis
saat menerima berita pemergian ayah tahun lalu. Bezanya dulu, bila ayah
dikhabarkan jatuh, beberapa jamnya selepasnya nafasnya terhenti.
Tengah hari itu, mak di bawa ke hospital dengan menaiki ambulan. Di tempatkan di wad 8C di HSNZ. Anak- anak mak, ipar duaiku kelihatan sungul sekali. Masak memasak berjalan seperti biasa, namun seperti ada ruang yang lompong. Benarlah, ibulah permaisuri sebuah mahligai rumah tangga. Biar bagaimana pun keadaannya, dia tetap mendapat tempat teratas di hati anak menantunya.
Keadaan mak tidak banyak berubah. Masih lagi tidak sedarkan diri. Darah tingginya dilaporkan naik setiap jam. Kami hanya berdoa, Allah takdirkan yang terbaik untuk mak. Andai mak masih dipanjangkan umur, sihatkan dan sejahterakanlah dia. Andai sudah sampai janji mak dipanggil, biarlah pengakhirannya dengan husnul khatimah.
Seandainya saat ini mak sedang bertarung dengan sakit, ringankanlah penderitaannya ya Allah. Ya Latiff, wahai Tuhan yang Maha Berlemah Lembut, berlemah lembutlah terhadap bonda mertuaku…
Malamnya aku menawarkan diri untuk menjaga mak di hospital. Mengambil giliran dari Wani dan Adik Alias. Biarpun suamiku menyatakan kesanggupannya, tetapi biarlah aku menantu yang perempuan ini menaburkan bakti untuk mak barang sekejap. Lagipun, pihak pengurusan tidak membenarkan waris lelaki bermalam di dalam wad.
Aku menjamak ta’khirkan solat maghrib dan Isya’ di wad. Makan malamku bersama suami di gerai terdekat dengan hospital. Kue teow sup dan nasi ayam. Soal harga, sedap atau tidak, langsung tidak menjadi hal kali ini. Bimbang meninggalkan mak sendirian di wad lama- lama. Tak siapa boleh menduga apa yang bakal berlaku dalam keadaan mak yang seperti itu.
Malam itu aku berseorangan duduk di sisi mak. Keliling kelalang, semuanya wanita tua yang sedang uzur. Betul- betul di depan katil mak, seorang wanita cina yang tua kelihatan uzur sekali. Dia mengidap athma barangkali berdasarkan keadaannya yang batu- batuk dan permintaannya pada nurse supaya kahak disedut.
Jam 9.00 malam, aku menukar lampin pakai buang mak. Memandangkan keadaan mak yang langsung tidak sedarkan diri, badan mak berat untukku uruskan berseorangan. Aku meminta bantuan adik- adik jururawat pelatih untuk membantuku.
Penat perjalanan jauh masih bersisa. Mata terasa berat sekali. Aku terlelap di kerusi dengan kepala di katil mak. Tidur- tidur ayam. Celik mata, aku sapukan air ke bibir kering mak. Badan mak panas. Demam barangkali. Tuala basah yang Wani letakkan di dahi telah kering airnya. Sesekali ku basahkan rambut putih mak dengan air.
Ya Allah!
Inilah orang yang telah melahirkan suamiku ke dunia! Kasihanilah dia ya Allah, rahmatilah dia! Ringankan lah rasa sakit yang sedang ditanggungnya ya Allah.
Air mata merembes lagi ke pipi.
Teringat saat- saat manis 8 tahun dahulu.
Saat
diijab kabulkan dengan yang tersayang, tangan tua inilah yang pertama aku
ciumi.
Mak ibu mertua yang sangat baik. Dia tidak pernah menunjukkan muka masam atau meninggikan suara pada menantu- menantunya. Tika hayat ayah masih ada dan kedua- duanya masih kuat, mak sering menemani ayah ke kebun. Menyemai benih, menyiram dan mengutip hasil. Mak peneman ayah yang paling setia.
Mak, wanita kampung yang tidak berpelajaran tinggi. Tidak tahu membaca dan menulis. Datang dari keluarga terpandang, yang akhirnya menjadi wanita yang biasa- biasa dalam kehidupannya. Hidupnya tidak membawa gelaran yang ada dari susur galur ibunya.
Mak isteri yang setia hingga akhir hayat ayah. Aku dapat melihat kesetiaan dan kasih sayang mak pada ayah. Dalam apa jua urusan rumah tangga, ayah yang didahulukan. Baik dari layanan sewaktu di meja makan ataupun apa- apa yang bersangkut paut dengan masalah kewangan, anak- anak, mak akan menuruti kata- kata ayah.
Sehingga aku pernah menyebut pada suamiku, bilamana melihat kerukunan rumah tangga mereka,
“Mak
ini isteri yang sangat baik. Apa yang dibawa balik oleh ayah, itulah yang akan
dimasaknya. Tak pernah meminta- minta, apalagi berlebih- lebih.”
Malam itu, aku lena lagi di kerusi, sambil tangan menyentuh betis mak. Mana tahu, mak terkejut atau demam mendadak.
Terima kasih mak, kerana telah melahirkan abang. Terima kasih mak membesarkan abang dengan baik dan memberi pelajaran pada abang sehingga abang berjaya meneruskan pengajian ke peringkat tinggi. Biarpun mak sendiri tidak berpelajaran, tapi mak tak pernah rela anak- anak mak dalam kejahilan.
Terima kasih mak kerana menjadi ibu mertua yang sangat baik. Terima kasih mak kerana menerimaku seadanya.
Ingin aku bisikkan segalanya pada mak, namun segalanya hanya bergema di hati.
Jam 12 lebih.
Aku berkira- kira hendak menukar lampin emak memandangkan sudah sampai masanya.
Ku toleh kiri dan kanan mencari bantuan. Waktu sebegini, boleh dibilang dengan jari jururawat yang bertugas.
Ah, tak mengapalah. Cuba buat sendiri.
Aku iringkan badan mak ke kanan. Pelekat lampin ku buka satu persatu. Ya Allah, bagaimana ni??
Macam
mana nak aku letakkan lampin di bawah punggung emak ini? Berat badan mak tidaklah sebesar mana, namun
dengan kondisinya yang tidak sedarkan diri, menyukarkan lagi kerjaku yang
berseorangan.
Aku
gagahkan diri. Peluh mengalir di pelipis, merecik di seluruh badan.
Patutlah orang tua-tua dahulu meletakkan bidalan,
Emak
seorang boleh menjaga 10 orang anak, tetapi 10 orang anak tidak boleh menjaga
emak seorang.
Kasih seorang ibu pada anak- anaknya tidak sebanding kasih sayang anak terhadap ibunya. Kuat lagi kasih ibu pada anak.
Begini agaknya mak menjaga anak- anak dengan segala susah payah. Menelan segala keperitan, bahkan sakit pening sendiri pun diketepikan demi kasih pada anak- anak. Lebih rela dirinya sakit, lapar asal anak merasa sihat dan selesa. Mak melakukan segala- galanya tanpa mengharapkan sebarang balasan. Adakah lagi insan lain seperti mak di dunia ini?
Mak…
Barangkali ini bakti terakhirku pada mak. Entah mak masih dipanjangkan umur atau apakah masih ada kesempatan buatku menjaga emak sebegini lagi.
Mak, kalau mak diizinkan sihat, kita pergi ke Penang ye mak? Saya dan abang Mie akan menjaga emak. Mak nak makan apa, saya masakkan.
Saya sayang mak! Mak sudah seperti mak saya sendiri. Terima kasih mak telah menerima saya sebagai menantu seadanya. Terima kasih atas ajaran mak pada saya. Maafkan saya atas kekurangan saya, salah silap saya pada mak. Maafkan saya, mak!
Mak
sihat ye? Masih banyak lagi yang nak saya pelajari dari emak!
Aku menyeka air mata yang mengalir di pipi. Entah mengapa, aku merasakan waktu bersama emak tidak banyak. Mungkin ini yang terakhir!
Isnin,19
November
8.00 pagi.
Aku
tinggalkan wad 8C HSNZ dengan perasaan berbaur. Suami memimpin tanganku.
Wajahnya sugul sekali. Hati terus sarat dengan doa, andai sudah sampai
janjinya, biarlah mak pergi dengan husnul khatimah. Ia doa yang tak pernah putus
dari hati buat emak.
20
November
Kami
menziarahi mak sebelum bertolak ke Penang. Ada Kak Lah, birasku yang paling tua
sedang menjaga mak. Kami tidak banyak bercakap. Abang memeluk erat emak. Aku
menahan tangis. Abang mencium pipi mak, mengucup tangan mak, memohon maaf atas
segalanya. Matanya merah.
Air mata terburai jua.
Hatiku kuat mengatakan, ini pertemuan terakhir semasa hayat emak.
Hangat
tubuh mak masih terasa. Namun, tiada lagi suara mak yang dapat kami dengari,
tiada lagi sentuhan mak yang dapat kami rasai. Tiada lagi senyuman dan doa mak
sebagai bekalan meneruskan perjalanan.
24
November
Bukit Minyak, Bukit Mertajam , 9.00 pagi
Panggilan telefon dari kak Lah memberitahu mak sedang nazak.
“Bersiaplah.” Pinta suamiku.
Aku akur.
12.15
tengah hari.
Abang Shid, abang iparku menelefon, berbicara dengan suamiku.
Hanya sepatah perkataan yang ku dengar,
“Innalillahi
wa inna ilaihi raaji’uun”.
Aku terpaku. Suami menatap wajahku, terpancar kesedihan di matanya.
“Mak
dah tak ada, Sayang.”
Kami sama- sama terdiam. Tiada kata- kata yang dapat dilafazkan tika ini.
Air matanya bergenang. Kali kedua aku melihat abang menitiskan air mata sepanjang ku kenali dia.
“Abang
sudah tidak ada sesiapa lagi. Hanya Sayang yang ada….”
Aku menangis. Abang…!
Ia berita yang sudah diduga, namun bila datang kebenarannya terasa sekali pedihnya!
Kami berangkat pulang. Sekali lagi. Kali ini dengan perasaan yang sangat aneh!
Pulang
kali ini bukan lagi untuk menentukan giliran, di mana harus bermalam atau makan
nasi tengah hari. Bukan lagi membicarakan tentang mahu bawa mak tinggal bersama
atau tidak. Dan bukan lagi melunaskan hutang rindu anak pada ibunya.
Pulang kali ini untuk melihat dan menyembahyangkan jasad yang tidak bernyawa insan yang paling mulia dalam kehidupan seorang anak.
Bukit
Agu, 9.30 malam
7 jam. Tempoh perjalanan yang panjang. Kereta meluncur perlahan dari simpang klinik sehingga tiba di rumah emak.
Ramai yang telah tiba. Mereka memberi ruang untuk kami memarkir kereta. Biarpun seharusnya halaman rumah dikosongkan untuk kenderaan jenazah. Kami bersegera masuk. Semua mata memandang. Terdengar bisik- bisik,
“Dah sampai pun anak yang ditunggu jauh dari utara.”
Langsir dikuak.
Mak, Mak!
Hati menjerit. Kami terpaku. Mak yang dilihat bukan lagi yang biasanya.
Sambutan kali ini bukan lagi senyuman lembut mak, bukan lagi huluran tangan sejuk mak!
Mak
menyambut kami dengan jasad yang kaku, mata yang terpejam.
Jenazah telah siap dimandikan dan dikafankan. Siap untuk disembahyangkan. Ku tatap wajah itu. Wajah yang putih bersih. Kelihatan sangat tenang. Hanya itu saja yang tidak ditutup. Anak- anak ku mengucupi tok mereka. Aku menahan sebak yang mula menjalar.
Kucupan terakhir. Dahi mak sejuk sekali… Mak sudah tiada?
Benar. Mak sudah tiada lagi. Mak…, Inilah pertemuan akhir kita di dunia fana sebelum pertemuan di akhirat sana.
Ya Allah, kumpulkan lah kami di akhiratmu dalam keadaan Engkau redha kepada kami! Tuhan kami, kau kasihanilah ibu tua kami ini. Tempatkanlah dia di kalangan hambaMu yang soleh!
Mak, semoga Allah merahmatimu! Semoga Allah mengampunimu!
Berakhirlah perjalanan hidup seorang hamba Allah, Jahara binti Salleh.
************************************************************************************
Dalam kehidupan, orang yang datang silih
berganti. Menyambut kelahiran dan mendepani pemergian orang terdekat dan
sahabat adalah lumrah.
Namun, sungguh berlainan bila kehilangan emak. Kehilangan yang menyebabkan tercipta suatu ruang lompong yang besar dalam diri.
Terasa- terasa seolah- olah mak masih ada. Masih menanti anak cucu pulang berziarah. Masih terasa mak duduk- duduk di bilik menghirup teh panas sambil mendengar cerita dan luahan anak- anak.
Ternampak- nampak mak duduk di kerusi dengan daun palas di tangan mengayam ketupat. Ye, ketupat mak paling sedap. Lemak masinnya seimbang. Santan diarong sempurna menghasilkan pulut yang cukup masaknya sebelum dibungkus dengan daun palas. Seakan- akan terbau- bau aroma wangi pulut yang siap ditanak dan diarong santan.
Sesekali, aku terlepas ingin meminta abang menelefon mak, bertanya mak mahu bersarapan apa pagi ini.
Biarpun
dia sekadar ibu kepada suamiku, tapi memang perasaan sayang padanya sangat
menebal. Ia datang secara fitrah. Bukan dibuat- buat. Bila pulang dari jauh,
dia antara insan pertama yang ingin ku temui selain emak dan ayah sendiri.
8 tahun memesrai dan dimesrai mak, tidak terasa diri ini hanya seorang menantu. Berada disamping mak, aku tak pernah merasa tersisih.
Namun, masa telah berlalu begitu cepat. Membawa bersama cerita hidup yang telah pun sedia tertulis. Kita yang selalunya terleka, melalui setiap episode kehidupan tanpa sedar waktu rupanya telah lama meninggalkan kita.
Bila kehilangan insan tersayang satu demi satu, baru terasa ingin menoleh ke belakang. Melihat jejak perjalanan dalam waktu yang telah berlalu jauh.
Demi masa,
Sesungguhnya
manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang- orang yang beriman dan beramal
soleh….
Al- Fatihah buat arwah bonda mertuaku, Jahara binti Salleh.
10 Safar 1434