Sunday, May 10, 2009

Ibu & Menjadi Ibu

Dulu, aku tak pernah membayangkan betapa besarnya kasih seorang mak, atau mama, atau mumi, atau umi, mahupun ibu kepada anak- anaknya sehinggalah aku dianugerahkan Allah untuk menjadi seorang Umi lebih 3 tahun lalu.

Teringat aku pada bonda yang seorang, yang ku panggil mak….

Secara jujurnya, aku dan mak banyak tak sependapat dalam banyak perkara. Mak seorang yang sangat tegas. Kata orang Terengganu ‘bengkeng’. Berlainan sekali denganku, yang sangat- sangat sensitive dan mudah menangis.

Terkenal di sekolah sebagai seorang guru yang tegas dan sehingga mak dah berusia pun, masih ada pelajar mak yang mengingati mak dengan kebengkengannya. Itulah mak, tegas dalam banyak hal. Sehinggakan jari- jari tanganku pernah diketuk dengan kayu hanya kerana aku tak potong kuku.
Waktu kanak- kanak kami, (aku dan kakakku, Kak Ngah. Kami Cuma berselang umur setahun sahaja), banyak menyaksikan titisan air mata yang lebat kerana dimarahi mak.

Mak selalu nak tengok rumah yang kemas dan bersih, sinki yang kosong dari pinggan mangkuk dan periuk belanga kotor, dan pakaian dalam almari yang tersusun rapi. Biasalah, nama pun budak- budak, memang sifat buat kerja bila disuruh memang selalu ada. Kadang- kadang merah telinga kami dipulas kerana malas menyiapkan tugasan- tugasan rumah, bahagian- bahagian tubuh yang berisi (terutamanya peha) dicubit, bahkan bukan sekali dua kami dileteri kerana keluar bermain tanpa melangsaikan dulu kerja- kerja mengemas dan menyapu sampah. Insaf sekejap, namun biasanya akan berulang lagi.

Musim sekolah menengah, mak mengajar pagi di SRK Ajil dan aku bersekolah petang (aku bersekolah di sekolah Islam swasta di Kuala Terengganu). Tika itu, aku sudah tahu tanggungjawab dan selalu buat kerja rumah. Aku sudah tahu untuk meringankan beban mak di rumah, dan aku tahu mak suka bila pulang dari sekolah tengok rumah bersih bersapu. Kadang- kadang, aku mengasah skill memasakku dengan memasak lauk yang mudah- mudah seperti ikan tumis dan sayur air, kadang- kadang telur goreng dan ikan masak lada hitam. Aku nak mak tak letih kena masak bila pulang dari mengajar. Setidak- tidaknya mak boleh terus makan walaupun rasanya tak sesedap air tangan mak. Seingat aku, mak pun dah jarang- jarang marah, mungkin kerana aku sudah tahu tanggungjawabku sebagai anak dan pelajar.

Sewaktu aku berjaya diterima melanjutkan ke Jordan, maklah orang yang paling gembira. Walau tak terucap dengan kata- kata, namun aku nampak kegembiraan itu pada wajah dan mata mak. Maklah yang beriya- iya membuat persiapan untukku. Aku dibelikan jubah yang cantik- cantik, dibelikan segala rempah ratus yang mungkin aku perlukan di Jordan dan bermacam- macam lagi mak lakukan untuk keperluanku di sana. Mak menangis sewaktu aku berangkat ke sana. Aku tahu, mungkin mak terasa kehilangan. Aku pun turut menangis dan tangisan itu terbawa- bawa sehingga pesawat Royal Jordanian meninggalkan bumi Malaysia 10 jam kemudiannya. Aku mula tahu rasa rindu pada mak. Saban bulan, aku menelefon ke rumah untuk mendengar suara mak walaupun hanya 5 minit.

Begitulah, ketika aku berangkat ke UIA untuk meneruskan pengajian masterku, mak menangis lagi. Dalam bergaduh pun, aku sedar, aku selalu rindu pada mak. Aku selalu telefon mak kalau tak dapat jawab periksa dengan baik. Sehingga aku dah tua bangka pun, aku masih begitu sehinggalah kehadiran suamiku dalam hidupku.

Segala- galanya telah lama berlalu. Kini aku mengerti apa yang dirasai oleh mak. Marah mak kerana sayang, cubitan mak, leteran mak semuanya kerana nak menjadikan aku hamba yang sedar dirinya hamba Allah.

Kehadiran Zakwan adalah segala- galanya bagiku. Sayang pada Zakwan yang melimpah ruah, memenuhi segenap ruang tubuhku, mengalir ke setiap urat saraf. Saat melihat wajah mulusnya buat kali pertama, tak terucap sepatah kata pun. Buah cinta aku dan suamiku, bagaikan aku mendapat seluruh dunia dan isinya. Hilang segala perit jerih selama lebih sembilan bulan dan sakit ketika melahirkannya. Hadir Wijdan semakin melengkapkan rasa keibuanku.

Aku rasa, aku mula memahami perasaan mak dulu. Aku mula tahu perit jerihnya membesarkan aku, tambah- tambah dalam tahun- tahun getir ketika ayah tidak bersama kami ketika ayah di ISA dan tinggal di US. Seandainya aku perit, aku rasa, mak seratus kali ganda lebih perit dan penat daripada ku. Suamiku selalu di sisi, bahkan selalu membantu, tambah- tambah ketika terpaksa menghadiri kelas waktu malam.

Aku cuba berkongsi rasa ini dengan mak dan aku rasa aku telah berjaya. Status yang sama menjadikan kami semakin boleh berkongsi banyak cerita. Walaupun mak masih lagi garang, namun aku cuba untuk memahaminya. Kerana aku rasa, aku takkan terbayar kasih sayang dan pengorbanan yang telah diberi oleh seorang emak untukku.

Mak, sekalipun mak tak baca posting ini, ingin ku ucapkan…
SELAMAT HARI IBU

Blur...

Tengah kekeringan idea....

Apa yang dibuat untuk pembentangan set induksi esok? Ya Allah, bantulah... Allahumma zidna 'ilma, warzuqna fahma

Agaknya dah lama tak menggunakan kudrat berfikir ini.. Banyak tidur dan rehat. Hobiku adalah membuat kerja- kerja rumah, menyapu, berkemas...

Benarlah, keupayaan berfikir seperti besi. Lama dibiarkan ia akan berkarat...

Thursday, May 07, 2009

Guru Yang Betul- Betul

Semoga semester ini tambah menyemarakkan semangatku untuk menjadi guru yang betul- betul. Masih tersemat pesanan Tuan Hj Suhaimi, pengetua SESMA sejurus sebelum kami menghabiskan jam terakhir di SESMA...
"Nanti, bila dah jadi guru, jadilah seorang guru yang amanah. Ajarlah pelajar- pelajar kita sebagaimana kita nak orang ajar anak kita"

Ringkas, namun cukup mengesankan aku. Sebagai manusia, kita sering terlupa tujuan sebenar bila dibebani dengan kerja yang banyak dan imbuhan yang seperti kita mahukan.

Seminggu di Taman Pertanian Indera Mahkota Pahang sangat- sangat menyeronokkan. Aku seperti terjun ke dalam lautan ilmu. Tidak hanya ilmu perguruan, bahkan rentetan pengalaman (walaupun sekejap)yang disusun atur sedemikian rupa, sangat- sangat menyedarkan aku bahawa seorang guru adalah permulaan lahirnya insan- insan besar. Seorang guru berupaya membentuk sesiapa sahaja (of course dengan izin Allah).

Fasi- fasi yang sangat baik, memahami dan selalu memberi tunjuk ajar, Ustaz Zaid, Ust. Wan Ismail, Ust. Akila, Ust. Aziz, dan beberapa orang lagi yang tak dapat aku ingat namanya buat masa sekarang ini, akan aku kenang sampai bila- bila InsyaAllah.
Budi baik kalian tak terbalas rasanya. Aku ingin menjadi seperti mereka, berjiwa besar dan bersemangat waja, bahkan selalu kaya dengan idea dan ilmu.

Pengalaman tidur di khemah, solowalk di dalam hutan berseorangan di waktu malam, memang melucukan. Ada yang menjerit, menangis dan tak mampu nak berjalan. Aku? Takut juga, tapi masih mampu mengawal perasaan bila di usik 'hantu-hantu' yang mengerikan di tengah hutan, pukul 2 pagi. Flyingfox cukup mendebarkan, dan sempat juga aku menjadi 'obor- obor' kerana ketakutan. Lucu bila mengenangkan.

Aku masih berharap, aku akan selalu berpeluang bersama orang- orang yang kaya ilmu dan pengalaman ini.