Suami meng
'oder' mee bandung untuk menu berbuka puasanya hari ini.
"Tapi tak mau macam mee bandung yang kita makan malam tadi", ujarnya merujuk kepada mee bandung Muar yang kami makan di rumah seorang teman. Kuahnya pedas, perencahnya daging dan udang, beserta sayur sawi.
Sekadar gambar hiasan Memang teman tersebut berasal dari Muar dan saya pernah menyebut padanya nak rasa mee bandung orang Muar. Hmmm, lagu tu rupanya rasa mee bandung Muar. Sedapnya boleh tahan.
"Ok. Nak yang macam kat warung Nangka ye?" Tahu benar saya mee bandung kegemarannya.
Dia mengangguk dengan senyuman sebelum bertolak ke tempat kerja meninggalkan saya yang mula berfikir- fikir, macam manala nak masak mee bandung ala- ala Warung Nangka itu, yang perasanya saya dah ingat- ingat lupa.
Kalau di Terengganu, ada satu tempat yang menyediakan masakan mee bandung kegemaran saya. Lepas kawin, baru la saya tahu dia juga gemarkan mee bandung di situ.
Dari zaman sekolah menengah lagi, kalau turun ke bandar KT saya akan singgah di situ sekiranya teringin nak menikmati mee bandung.
Warung Nangka. Itulah tempatnya. Tak tahulah kenapa dinamakan sedemikian. Mungkin kerana ada sebatang pohon nangka yang tumbuh betul- betul di sebelah warung tersebut dan menaunginya sehingga ia kelihatan teduh dan redup.
Selepas berkahwin, saya pernah mengajak suami ke sana. Alhamdulillah, tempatnya masih ada di lokasi yang sama. Bahkan pokok nangka yang tumbuh bersebelahan pintu masuknya, masih gagah berdiri. Menu pilihan kami sudah tentulah mee bandung.Dengan kuahnya yang pekat, perencahnya yang cukup, ditambah lagi dengan sebiji telur yang dipecahkan dalam kuahnya, mee bandungnya masih lagi enak seperti dulu.
Seakan tiada yang berubah. Yang berlainan barangkali cuma harganya sahaja. Kalau dulu, tak salah, harganya cuma RM 1.50 untuk semangkuk mee bandung. Tapi, sekarang tak kan dapat lagi dengan harga macam tu untuk menu yang sama.
Kami pernah mencuba mee bandung kat tempat lain di bandar KT, tapi rasanya tak memenuhi citarasa kami sepertimana di Warung Nangka.
Dan, petang tadi saya bekerja keras di dapur menyediakan mee bandung ala- ala warung nangka dengan bahan- bahan yang dah ada dalam peti sejuk.
Saya cuma masukkan ayam sebab tak ada udang mahupun daging. Lagipun saya dan anak- anak
allergic dengan makanan laut. Intai- intai sayur yang ada cuma sawi dan kangkung. Ermm....., Seingat saya, mee bandung warung nangka tak ada perencah sayur pun.
Udang kering pun tak ada. Tak mengapalah. Saya
blend bawang besar, bawang putih, lepas tu tumis dengan lada kering yang dah siap di mesin. Masukkan ayam, sos tiram, sos cili dan sos tomato sikit.
Nak pekat, saya masukkan tepung jagung, last sekali telur. Masa nak makan, masukkan daun sup, bawang goreng dan cili merah.
Hemmm... Macam sedap je....
Apa kata suami?
Dia makan dengan bersungguh- sungguh sekali, siap bertambah. Bila ditanya, sedap tak? Jawapannya ; "Sedap sangat."
"Sama tak dengan Warung Nangka punya?"
"Yang ini sedap sangat. Sedap cara isteri Abang, yang Warung Nangka tu lain."
Hemmm..., alahai, tak sama juga macam kat Warung Nangka tu....