Saturday, May 29, 2010

Buat Syafinaz

Dia telah ku anggap lebih dari seorang pelajar (lebih tepat lagi bekas pelajarku), bahkan bagai seorang adik dan teman untuk berkongsi cerita. Kami terlalu rapat. Ada masa terluang, kami akan habiskan masa bersama untuk saling berkongsi cerita dan pengalaman. Kadang- kadang aku yang menasihatinya, tetapi adakalanya dia yang menasihatiku, walaupun jarak umur kami jauh berbeza.

Kadang- kadang, aku jadi seperti remaja seusianya, cuba menyelami hatinya dan memamhami apa yang sedang dia lalui.Kadang- kadang, aku jadi seperti seorang kakak atau mak, meleterinya sekiranya nasihatku tidak diendahkan.

Tahun terakhir dia di sekolah, dia diuji dengan perasaan. Hatinya disapa cinta seorang pelajar lelaki yang seusianya. Dia jadi sedikit keliru. Namun tidak hilang arah dan punca. Sering mengelak bila bersuaku, dan jarang- jarang ingin berbicara denganku seperti selalu.

Dalam kekeliruan itu, dia tidak mahu aku memarahinya. Dan aku bukanlah terlalu kejam untuk tidak memahami hati seorang anak remaja sepertinya. Aku berikan sedikit panduan dan pedoman beserta nasihat. Biar dia tahu, bukan cinta itu yang tidak aku sukai, tetapi cara dan gayanya menterjemahkan cinta itu.

Itu cerita dulu. Setengah tahun sudah berlalu. Namun, kenangan bersamanya tetap basah dalam ingatan, seperti masih terasa basah dan sejuknya kaki- kaki kami mengharung air sungai yang naik melintasi jambatan kecil berhampiran sekolah kami tika banjir musim tengkujuh lepas.

Aku sangat merinduinya saat ini. Begitu juga anak- anakku. Dia yang pandai membawa diri sangat disenangi semua.

Kini dia di matrikulasi UIA. Menyambung perjuangan dalam pencarian ilmu. Walaupun impiannya untuk ke Jordan tidak kesampaian, aku bersyukur amat kerana dia berjaya menempatkan diri di salah sebuah IPTA. Aku yakin, dia akan menjadi seorang yang sangat diperlukan dalam masyarakat. Dia ada potensi untuk cemerlang, ada sikap dan akhlak yang baik untuk diteladani.

Inaz...,
Atur langkahmu seteratur mungkin di menara gading sana. Nanti pergaulanmu akan semakin luas, kenalanmu semakin banyak. Bila berteman, carilah sahabat yang membawamu dekat pada penciptamu. Bila berpakaian, lazimilah yang bertepatan dengan syariat.

Jangan disia- siakan peluang yang sudah sedia ada di depanmu. Dan, harus diingat, ilmu yang harus kau cari bukan hanya ada di bilik kuliah, ataupun di atas rak- rak perpustakaan, tetapi tebarlah sayapmu seluas- luasnya, dalam batas- batas yang dibolehkan buat muslimah sepertimu buat mancari mutiara- mutiara ilmu yang wujudnya merata di muka bumi Allah ini.

Inaz...
Moga dirimu selalu dalam barakah dan inayah Allah.

3 comments:

INAS said...

Subhanallah..indahnya suatu perhubungan kerana Allah.Tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata betapa inaz bersyukur dipertemukan dengan ustazah..Segala pesananmu akan ku semat dalam hati selamanya..huhu,tak reti bermadah kata:-) INAZ SAYANG USTAZAH!!

INAS said...
This comment has been removed by the author.
pemikir ummah.. said...

ustazah.. kami xkan pernah lupa jasa ustzh pada kami..walau jauh jarak kita, ukhuwah yang pernah terbina ini akan cuba diikat dgn doa..sayang ustzh