Monday, December 27, 2010

Si Kecil Itu

Si Kecil itu sudah lebih 4 bulan usianya. Dari tapak kakinya sebesar dua jariku, dia kini sudah semakin membesar dan lincah.

Minumnya juga semakin banyak. Kerap sekali berjaga malam untuk menyusu. Namun, sangat jarang sekali tangisannya terdengar di tengah pekat malam. Sekadar rengekan kecil, kemudian dia akan lena kembali setelah kenyang.

Setiap pagi aku akan ternanti- nanti senyuman dari bibir kecil. Terukir sahaja di ulas bibirnya, hariku terasa seakan amat ceria dan bermakna.

Keletahnya amat menghiburkan ku, abinya dan dua abangnya. Suaranya yang kecil, lembut dan manja memang sentiasa menceriakan kami. Tapi, kuat juga menangis kalau tak nampak kelibat umi di matanya, sehingga membuatkan abinya tak tentu arah dan hilang punca.

Syukur ya Allah...atas anugerah ini buat kami. Moga dia membesar menjadi qurratu ain kami dan hamba yang cinta padaMu.

Nuha menunjukkan wajah terkejut bila diacukan kamera


Menggigit Dora kesayangan abangnya


Buah hati kami

Thursday, December 02, 2010

Santai

Sunyi sepi. Yang terdengar hanya bunyi kipas angin yg berputar di syiling. Oh.., mengantuknya. Tapi tak boleh nak lelapkan mata kerana si kecil ini mengajak umi bermain. Sudahlah tidurnya mlm tadi, menghampiri tengahmalam, bangunnya pula saat umi sedang enak dibuai mimpi berteman selimut tebal yg nyaman.

Dinihari begitu pun dia masih ingin bermain. Tersenyum- senyum, sambil membulatkan mata lebarnya... Aduh anakku... Nuha di rumah cik Ngahnya

Usai solat subuh, dia sudah terlena di tepi sejadahku dan abinya. Aku pula harus menyiapkan sarapan sebelum suamiku berangkat dan hero- hero berdua itu bangun. Letihnya...

Tengahhari tadi, merancang nak qailullah sekejap. Hemmm, baru sahaja kelopak mata bertaut, suara kecilnya memanggil- manggil. Oh, dia sudah terjaga, memandang umi yg sedang melawan kantuk dengan matanya yg bersinar.

Si hero berdua sedang enak bermimpi. Itupun setelah puas ku pujuk- pujuk dan rayu- rayu. Pesan abang, biasakan anak-anak untuk qailullah. Lazimi sunnah itu. banyak kajian saintifik yg membuktikan kelebihannya. Sesetengah tempat kerja di negara barat pun, menggalakkan pekerja- pekerjanya tidur sekejap waktu tengahhari kerana terbukti meningkatkan produktiviti mereka.

Aku pula? Sekarang sedang berfikir nak masak apa tengahhari ini? Ikan sudah direndam di singki. Sedap juga kalau dimasak kari. Kacang bendi pun masih berbaki dalam peti ais. Goreng ikan sikit, dan goreng kangkung belacan. Sedapnya!

Ok, jom masak!