Monday, December 19, 2011

Wadaa'an

4 Disember 2011

Hari ini saya dan anak- anak akan berhijrah.

Berpindah mengikut suami yang bertugas di Pulau Pinang.

Selama seminggu saya mengemaskan barang- barang yang perlu dibawa bersama. Pada mulanya, saya berfikir ingin menjual beberapa barang kelengkapan rumah seperti peti ais dan set sofa, namun, setelah berbincang dengan kawan- kawan yang berpengalaman, saya memutuskan untuk membawa semuanya sekali bersama- sama.

Kalau saya menjualnya, barangkali saya takkan dapat membeli barang- barang yang sama sebagai ganti dalam waktu yang terdekat dalam keadaan kewangan yang sangat terhad ini.

Lori disewa dengan bayaran RM1300 bagi membawa barang- barang dari Kulai ke Bukit Minyak, Pulau Pinang. Alang- alang menyewa lori besar, semua kelengkapan saya bawa, termasuklah ampaian kain dan baldi sebiji dua.

Pagi di Bandar Putra pada hari ini damai sekali. Angin sejuk bulan Disember mengelus lembut di pipi menjadikan saya sedikit kedinginan. Saya menatap sepuas- puas hati permandangan sekeliling. Padang permainan di depan rumah, menara surau di sebalah kiri dan pohon- pohon hijau dengan daun melintuk liuk di depan rumah sewa kami di Bandar Putra. Permandangan biasa pada hari- hari lalu, hari ini menjadi sungguh luar biasa.

Bandar Putra...., hari ini aku akan berangkat, meninggalkan segala kenang- kenangan suka dan duka. Pergiku kali ini, entah bila akan kembalinya ke sini lagi.

Wada'an. Selamat tinggal semua.

Ada getaran dalam dada. Ada kesayuan mula menyusup ke hati.

Saya akan berhijrah, memulakan kehidupan di tempat baru, yang tak pernah saya jejaki sebelum ini. Berhari- hari yang lalu, saya memberitahu anak- anak, Zakwan dan Wijdan,

"Kita akan berpindah. Jauh dari sini. Nanti abang dan adik akan dapat kawan- kawan baru, kita akan tinggal di rumah baru. Kita dah tak datang sini lagi."

Wadaa'an semuanya....

Saya pasti akan merindui semuanya. 2 tahun berada di sini, banyak sekali pengalaman dan kenalan yang saya dapati. Di Jalan Tekukur inilah saya mengenali rakan taulan dan jiran tetangga.

Tempat jatuh lagi dikenang..... ........

Di sinilah, saya tinggalkan buah hati saya yang bertiga untuk diasuh oleh salah seorang jiran saya yang baik hati, Ida. Anak- anak memanggilnya Ummi Ida. Nuha sangat sayangkan Ida, begitu juga Ida. Saya tak tahu, di Penang nanti, akan bertemukah saya dengan pengasuh yang sebaik Ida, yang menyayangi dan menjaga anak- anak saya dengan baik. Berat hati saya untuk memisahkan Nuha dari Ida, namun, saya harus menjalani segalanya dengan lapang dada.

Semalam, saya memandu kereta membawa anak- anak melalui jalan belakang Lapangan Terbang Senai.Wijdan seperti biasa memninta saya memberhentikan kereta di bahu jalan. Hendak melihat kapal terbang mendarat katanya.

Dari pemain cd, berkumandang lagu kumpulan Hijaz, 'Neraca Diri.' Air mata saya mengalir laju sekali bila mendengar bait- bait kata

Tiada apa pun yang diciptakan sia- sia

Tiada apa pun jua yang terjadi tiba- tiba

Takdir Allah telah tertulis. Saya akan berhijrah ke negeri utara. Walaupun hati segusar mana pun, saya harus tanamkan keyakinan, pasti Allah telah jadikan setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya.

Wadaa'an semua...

Sewaktu melintasi Hutan Bandar Putra, hati dipagut rasa pilu. Di sinilah kadang kala saya, suami dan anak- anak beriadhah sambil menikmati panorama hijau pepohon. Dulu, pernah saya sewaktu sarat mengandungkan Nuha, cuba- cuba untuk berjoging kononnya. Akhirnya, cuma duduk menikmati aiskrim sambil melihat suami termengah- mengah mengejar anak- anak yang sangat ligat.

Wadaa'an.

Entah bila kita akan bersua lagi wahai pohon- pohon dan ikan- ikan di tasik.

Berkereta sepanjang jalan, saya melihat sekeliling. Benar, suatu waktu dulu, saya pernah menangis sewaktu dipostingkan ke sini. Berpisah jauh dengan anak- anak dan suami. Namun, di sini jugalah saya beroleh pengalaman pertama sebagai seorang guru. Semuanya akan saya bawa ke Penang sebagai bekalan buat meneruskan tugas mendidik pelajar- pelajar baru nanti.

Wadaa'an, kak pah yang pernah saya tumpangi rumahnya selama 4 bulan sebelum suami datang ke Johor. Terima kasih atas segala kebaikan yang diberikan.

Wadaa'an, SMK Kulai Besar.... sahabat- sahabat yang baik... Kak Liza Abd. Rahman, Radhiah, Nor Nabiah, Noralizah, Pizah Ali, Diana, Suhaiza, Norzi, Ruzila, Anne, Kak Azah Misban, Kak Azah Hamid, Azalia dan semua yang pernah saya kenali di bilik guru SMK Kulai Besar.

Wadaa'an, guru- guru Pendidikan Islam, Kak Mardhiana dan Haisarah yang selalu membantu, Raudhah yang selalu memberi idea dan menjadi inspirasi saya untuk menyiapkan kerja dengan cepat, Amalina yang manis dan selalu kelihatan innocent, dan Hasanah yang lemah lembut. Terima kasih belanja chicken chop di 'Rest' dan hadiah Ensiklopedia Solat yang telah lama saya idam- idamkan.

Wadaa'an, kak Zarina, kak May dan kak Liza yang sering menumpangkan saya pergi dan balik sekolah. Selamanya jasa kalian tak saya lupakan. Saat saya dalam kesempitan, Allah selalu hadirkan seseorang untuk membantu.

Wadaa'an, kak Awi.. sudah saya anggap seperti kakak sendiri. Yang tak pernah jemu bertanyakan khabar saya, yang selalu melayan saya dan anak- anak kala bertandang ke rumahnya di setiap hujung minggu. Saya rindukan masakannya yang sentiasa enak dan kena dengan selera saya. Saya rindukan kuih muih air tangan kak Awi terutamya kuih kaswi, puf inti sardin mahupun ayam. Saya rindukan tutur katanya yang penuh hemah, yang selalu menasihati saya dan memberikan tip- tip memasak buat saya. Tak tahu, apakah akan saya temui lagi sahabat dan kakak yang sebaiknya di Penag nanti?

Wadaa' an semuanya....

Tidak ada sesuatu pun yang di dunia ini akan kekal dengan kita, tiba waktu yang dijanjikan, pasti akan terjadi perpisahan.



Saturday, November 12, 2011

Dari Selatan Ke Utara


Menitis air mata sewaktu menyemak status permohonan pertukaran melalui Eg Tukar.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah!

Syukur ya Allah... Kau Yang Maha Mengatur segalanya.

Memohon untuk bertukar ke Pulau Pinang mengikut suami tercinta adalah antara perkara yang paling besar yang perlu saya lakukan dalam hidup. Awalnya, bolak balik juga hati ini. Keputusan yang abang lakukan memang mengundang reaksi yang bermacam dari ahli keluarga. Kata ayah, sewaktu kami meminta pandangannya:

“Kalau memang sudah berazam untuk bertukar ke sana, harus tawakkal, dan kena sabar dengan apa- apa yang terjadi selepas ini.”

Gelisah hati saya, kerana memohon untuk bertukar bukannya senang. Tambahan pula saya baru saja berkhidmat belum sampai 2 tahun. Baru sahaja melepasi induksi, belum lagi disahkan jawatan.

Apa akan jadi kalau permohonan saya tidak diluluskan?

Kuatkah saya menjaga anak- anak seorang diri dan menguruskan emosi sebagai isteri yang berjauhan dari suami?

Sungguh, saya tidak sanggup berjauhan dengan suami dan menjaga anak- anak sendirian. Saya cuba berlagak selamba, melalui hari- hari seadanya seperti biasa. Tapi, barangkali 'kesayuan' tetap terukir di wajah saya. Sehingga kawan- kawan di sekolah mengusik,

“Ini ibu tinggal.., bukan ibu tunggal”

Dan, kala saya gundah gulana, mengadu cerita pada mak sewaktu baru 'ditinggalkan' abang, mak menitipkan pesanan:

“Turutkanlah dia kali ini...”

Ringkas. Namun cukup mendalam maksudnya untuk saya fahami.

Abang telah banyak berkorban untuk saya sebelum- sebelum ini. Dalam banyak keadaan, dia selalu mendahulukan kesukaan saya. Barangkali kerana itulah mak meminta dengan penuh lemah lembut supaya saya menuruti keinginan abang, untuk bekerja di sana.

Memang tak pernah terlintas sedikit pun dalam hati suatu ketika dulu, akan ada masanya saya berhijrah lagi, mengubah haluan hidup atas sebab mengikut suami bertugas.


Dahulu, saya ada berfikir,

Di Johorlah aku akan berbakti sehingga sampai masanya Allah memberikan rezki untuk berkhidmat di tempat kelahiranku, Terengganu.

Saya murtah di sini. Dengan kediaman yang selesa, berdekatan dengan tempat kerja dan sekolah anak- anak, saya kira, memang sangat menyenangkan.

Namun, inilah ketentuan, apa yang telah Allah tulis buat saya, setakat ini. Esok- esok, saya belum tahu, apakah masih ada usia dan kesempatan untuk saya melalui kehidupan ini.

Dari selatan ke utara. Rupanya di sini tempat singgah sebentar cuma, mengutip ilmu dan pengalaman.

Seperti juga perjalanan kehidupan kita...

Singgah sebentar sahaja di dunia sebelum berhenti di destinasi terakhir... bernama akhirat.

Monday, November 07, 2011

Kepulangan

Sudah hampir 3 bulan ia berlalu.

Selama tempoh itu, hanya dua kali aku, suamiku dan anak- anak berkesempatan pulang menziarahi mak di kampung. Kali kedua, aku pulang bersama anak- anak sahaja, mengunjungi ibu mertuaku.

Pemergian ayah pada 22 Ramadhan lalu, pastinya meninggalkan rasa sedih yang bukan sedikit dalam hati mak. Namun, mak bijak sekali tidak menzahirkannnya di raut wajahnya.

Mak agak pendiam, sukar sekali mendengar mak meluahkan perasaannya. Namun, bila melihat keletah cucu- cucu kecilnya, bibir mak pasti tidak lekang dengan senyuman.

Rumah itu sudah tidak seperti dulu. Tiada lagi suara ayah meminta dimasakkan itu ini, dibancuhkan air teh kurang manis atau dibelikan mee rebus di kedai Pak Chak.

Seakan- akan ternampak- nampak di mata ayah berbaring di biliknya dengan baju dan kain pelikat lusuh. Wajah tua yang kelihatan letih itu masih jelas terbayang dimataku. Ayah yang baik dan penyayang. Selamanya takkan aku lupakannya.

Usia yang dipinjam ini bukan milik kita.

Alangkah bahagianya, andai hati kecil ini selalu sedar bahawa bila- bila masa kita akan dijemput pulang.

Al Fatihah buat ayah mertuaku, Muda Bin Jusoh.

Sunday, May 01, 2011

Shawarma Irbid


"Ada restoran di Taman U yang menyedikan makanan Arab."

"Shawarma ada?"

"Eh, ada la kot. Cuba la pergi dulu..."

"Ermmm... sedap tak? Nanti tak sama rasanya."

Suami isteri itu merupakan sahabat saya sewaktu belajar di Jordan. Berlainan universiti, saya di Irbid dan mereka di Mu'tah, namun kami sering bertemu bilamana ada program anjuran anak negeri Terengganu.

Bila mereka memberitahu tentang restoran Arab itu, saya sangat teruja. Rasa rindu pada Jordan membuak- buak. Tambahan pula bila mendapat tahu, ada makanan kesukaan kami pelajar- pelajar melayu di Jordan, iaitu shawarma.

Shawarma
di Jordan saya kira agak berlainan berbanding Mesir (mengikut cerita yang saya dengar). Shawarma kami di Irbid sangat istimewa pada saya. Mungkin di situ kenangan saya banyak tercipta.

Hirisan daging salai yang lembut, kemudiannya di campur dengan hirisan timun jeruk dan kentang goreng sebelum dibalut dengan roti yang disapu dengan sos bawang putih. Rotinya nipis sekali, seakan- akan roti tisu. Kemudian, akan di grill sekejap di atas kuali leper sehingga roti sedikit garing. Baunya.... hemmmm, memang sangat- sangat membuka selera!

Kita boleh memilih samada inginkan shawarma ayam atau daging kambing.

Selalunya saya dan Azifah, setiap seorang akan membeli shawarma kecil yang berharga 1/2 dinar, yang berisikan ayam, hampir setiap petang selepas selesai kelas bahasa Arab di daurah.

Menyelusuri syari' di Duar Jaameah, kami akan singgah di kedai shawarma yang disarankan oleh senior- senior kami. Di situ, kami akan sangat ralit melihat ammu menghiris isi ayam atau daging salai dengan pisau yang panjang sebelum membalutnya dengan roti nipis.

Dan, biasanya kami tak dapat bersabar untuk menunggu sehingga sampai ke rumah sewa, lalu akan menikmatinya di kawasan universiti berhampiran rumpun bunga mawar bertemankan tiupan angin petang di musim panas. Sambil makan kami tidak banya bercakap, kerana menikmati keenakan shawarma tersebut.

Saya mengajak suami berkunjung ke restoran Arab yang dikatakan teman itu. Awal- awal lagi saya sudah memesan shawarma di samping nasi mandi dan kebab.

Sedap?

Alhamdulillah.

Namun, rasanya jauh sekali dari apa yang pernah saya nikmati ketika di Jordan dahulu. Begitu juga rupa bentuknya.

Terdetik di dalam hati, bilakah lagi saya akan dapat merasai keenakan Shawarma Irbid yang begitu saya rindui......?

Saturday, April 30, 2011

Semangat Ayah


Pulang bercuti ke rumah mak di Terengganu sempena raya cina yang lepas, saya mendapat khabaran ayah mula menyambung pengajiannya ke peringkat ijazah sarjana/ master.

Sewaktu mengkhabarkan hal itu kepada kami anak- anak, saya lihat senyum yang menguntum di bibir ayah begitu manis dan wajahnya ceria penuh dengan semangat.

Kelas yang akan dihadirinya berlangsung di setiap hujung minggu pada hari Sabtu selama 9 jam. Saya mencongak- congak di dalam kepala, masih mampukah ayah memberikan komitmen untuk hadir ke kelas pada waktu yang ditetapkan? Kemudiannya, menumpukan perhatian untuk menyiapkan kertas kerja yang diberikan?

Bukankah ayah juga sering keluar dari Terengganu memenuhi undangan berceramah ataupun atas urusan- urusan yang berkait dengan kerjanya.

Namun, bila melihat semangat ayah, keraguan yang mengganggu itu pudar sedikit demi sedikit. Ayah yang saya kenali, memang kuat tekadnya. Bila dia menginginkan sesuatu, dia akan mengusahakannya sedaya yang mungkin, kemudian dia akan menyerahkan sepenuhnya pada Allah.

Memang, adakalanya usaha- usaha ayah tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan, namun, jarang sekali saya melihat ayah kecewa atau setidak- tidaknya mengeluh tanda tidak puas hati. Ayah akan mengatakan, "Nak buat macam mana, kita dah cuba yang terbaik. Adalah hikmahnya tu..."

Semangat ayah itulah yang ingin saya warisi.

Saya masih ingat, tahun 1996, ketika saya menduduki peperiksaan SPM. Petang itu, saya akan menduduki kertas Bahasa arab Tinggi. Ayah sanggup datang ke sekolah, meluangkan masa 2,3 jam menelaah bersama saya sebelum peperiksaan berlangsung. Ayah mengajar saya bersungguh- sungguh. Sehinggakan saya dapat rasakan, tingginya harapan ayah untuk melihat saya berjaya.

Usai peperiksaan, entah bagaimana, saya rasakan saya telah melakukan kesilapan ketika menjawab soalan. Saya menangis dengan bersungguh sekali, sehingga dikerumuni oleh kawan- kawan. Tiba- tiba saya melihat kelibat ayah dan mak. Rupanya, ayah datang lagi ke sekolah. Melihatkan keadaan saya, ayah memujuk dengan penuh hemah.

"Tak apa... Kan kita dah usaha. Insya Allah, Insya Allah, betul apa yang dijawab tadi... Kita berserah saja pada perkara yang telah lepas."

Saya berhenti menangis. Pujukan ayah benar- benar menenangkan saya. Benar- benar mendidik saya maksud tawakkal ketika usia saya 17 tahun.

Itu cerita dulu. Hari ini, ayah dengan usianya yang lebih 60 tahun, baru mendaftarkan dirinya sebagai pelajar master.

Saya tahu kepayahan- kepayahan menyambung pengajian bilamana ada tuntutan lain yang perlu diberesi. Ingin sahaja saya cadangkan pada ayah supaya memikirkan kembali keputusannya itu.

Namun, hanya hati dan mata sahaja yang berkata- kata. Apa yang keluar dari bibir berbeza sama sekali. Rasa kagum dan hormat saya pada ayah, mematikan hasrat saya.

Saya memberi galakan yang penuh pada ayah. Sebagai anak, saya harus yakin pada ayah. Kalau dulu, ayah tak jemu- jemu meniup semangat saya, kenapa harus sekarang saya mengeluarkan kata- kata yang melemahkan keinginan membara ayah?

Saya memberi kesanggupan untuk membantu ayah sekiranya diperlukan.

"Tak pe ayah..., nanti apa- apa ayah bagitau. Nanti Kak Cik tolong"

Biarlah ayah menyambung cita- citanya yang telah lama disimpan. Saya berdoa, agar Allah memudahkan segala urusan ayah. Ayah yang saya cintai dan hormati. Selagi hayatnya masih ada, saya akan cuba membantu urusan pengajian ayah.

Rabbi yassir wa la tu'assir

Wednesday, February 16, 2011

Bila Abang Tumbuh Gigi


Gigi susunya di bahagian depan semakin longgar. Bila aku mengintai ke dalam mulutnya, sudah tumbuh dua batang gigi kekal yang masih lagi kecil di bahagian itu. Di situ jugalah, 5 tahun dulu, mulanya tumbuh gigi susu pertamanya....

Oh, masa semakin berganjak rupanya, anak sulungku semakin besar, dan aku semakin menginjak ke usia tua....


**********************

Bila Abang tumbuh gigi...

Umi merasakan usia semakin meningkat. Langkah tidak segagah dan sepantas dulu, waktu sela juga tidak sebanyak biasa dek kerana tuntutan urusan harian yang perlu disegerakan.


Bila Abang tumbuh gigi...

Garis- garis usia seakan kian jelas di wajah umi, mata semakin layu, dan kulit yang tegang dan lembap seakan mula mengering. Helaian- helaian rambut pun bertambah banyak yang gugur.


Bila Abang tumbuh gigi,

Umi nampak kedut di dahi Abi juga semakin bertambah. Entah kerana urusan kerjanya yang tak habis- habis, atau anak- anak yang semakin membesar dan nakal.... atau memikirkan keperluan anak- anak yang semakin bertambah dari hari ke hari.


Bila Abang tumbuh gigi...,


Umi mula merasakan, sudah besar rupanya anak umi. Dari seorang bayi yang kecil dan tak mengerti apa- apa, banyaknya yang Abang sudah pelajari. Abang sudah tahu mengenal huruf- huruf hijaiyyah, membilang dan menulis 1, 2, 3, wahid, ithnaini, thalatha.... mengenal A,B,C. Kadang- kadang Abang menyanyikan pada Umi nasyid- nasyid yang Abang pelajari di PASTI, membuatkan Umi tersenyum senang.


Sudah pandai membantu Umi sedikit sebanyak, menjadikan hati Umi lapang, dan pandai juga mengacau Adik, membuatkan Umi tak boleh duduk diam.


Bila Abang tumbuh gigi...


Umi mula merasakan Abang dah boleh diberi tanggungjawab. Tambah lagi Abang anak sulung. Abang, bagi Umi tak boleh lagi culas pergi sekolah. Tak boleh lagi kalau nak ponteng baca Iqra' dengan Umi dan kena rajin solat. Walaupun solat Abang masih tahap orang yang baru belajar, tapi, Umi rasa Abang dah patut kena marah kalau sengaja main- main masa solat.


Bila Abang tumbuh gigi...


Itu tandanya Abang pun sudah bertambah usia. Tak boleh lagi berhimpit dengan Umi waktu tidur dan tak boleh takut- takut tidur sendiri.

Umi berdoa, moga Allah selalu memberikan Umi kekuatan dan kesabaran, dalam membesarkan Abang dan adik- adik. Umi bukannya orang yang pandai, hanya sekadar mempunyai kebolehan yang biasa- biasa. Namun, Umi sedar, Abang dan adik- adik wajib Umi berikan ilmu agama, wajib Umi ajar mengenal Allah. Umi akur, mendidik anak- anak harus sabar, harus ada ketegasan dalam kelembutan, kasih sayang dalam teguran.


P/s: Abang adalah panggilan keluarga kepada anak sulungku.

Tuesday, February 08, 2011

Yang Mendatang


6 Februari 2011, Ahad
10.30 malam

Kereta yang kami naiki meluncur laju membelah laluan Kota Tinggi menuju ke Kulai. Baru 15 minit lepas suami berenti sekejap melelapkan mata barang sekejap.

''Abang, itu dia jalan ke Kulai." Aku memberitahu suami selepas mata melilau- melilau mencari signboard tersebut.

"Abang tak nampak kereta kat belakang ni...".

Namun, dalam masa yang sama dia memulas stereng membelokkan kereta ke lorong kanan.

Panggggg!!!!
Serentak dengan itu berdecit bunyi tayar terseret di aspal jalan kerana tekanan brek yang kuat. Kereta kami berpusing dan apa yang aku dengar hanya jeritanku sendiri dalam gelap malam itu. Menoleh ke sebelah, dalam samar- samar lampu jalan, kelihatan wajah suamiku juga panik.

Kereta kami dirempuh dari belakang sewaktu membelok di simpang Kota Tinggi- Kulai. Aku sudah menggil- gigil. Seolah- olah antara hidup dan mati. Kereta kami sudah berhenti di tengah jalan dengan enjin yang masih hidup. Agaknya dalam keributan itu, suami ku sempat menukar gear auto Drive ke Parking. Dari jalan ke Kulai, kedudukannya berpusing ke jalan menuju Mersing.

Perlahan- lahan dia mengalihkan kereta ke bahu jalan. Kereta lain yang lalu lalang hanya melihat tanpa mahu berhenti. Mungkin kami kelihatan baik saja di dalam kereta sedangkan ketakutan ku, barangkali suami juga, hanya Allah yang tahu.

Dengan tangan yang masih menggigil dan airmata yang mengalir tanpa henti, aku menelefon ayah. Ayah meminta aku dan suami menunggu di tempat yang sesuai sementara dia menghubungi sahabatnya yang berdekatan dengan tempat tempat kami kemalangan.

Melihat kondisi kereta yang remuk di bahagian belakang, namun masih boleh bergerak, aku gagahkan jua memandunya perlahan- lahan menuju ke bandar Kulai. Suamiku berada di posisi penumpang kerana hentakan yang agak kuat pada kepalanya menyebabkan dia sedikit pening.

Alhamdulillah.
Sedikit lega bila sahabat ayah, Ustaz Atan, tiba bersama keluarga serentak dengan tibanya kami di Bandar Kulai. Beliau mengekori kami sehingga ke rumah dan memastikan keadaan kami benar- benar selamat, barulah beliau bertolak pulang.

8 Februari 2011, Selasa
Bandar Putra, 1.07 pm

Tak pernah ada dalam jangkaan, aku akan melalui peristiwa sebegini. Ngeri. Terasa seolah- seolah berada di ambang kematian saat mengalami kemalangan itu. Bila fikirkan kembali, bersediakah aku mendepani sebuah kematian??? Ya Allah...

Kematian bukan menunggu kita bersedia atau tidak!!!

Allah, Allah, Allah! Aku tak mahu mati dalam keadaan yang bertimbun dosa seperti ini!
Allah, Allah, Allah! Matikan kami dalam husnul khatimah.....

Semalam, kereta telah di bawa ke bengkel. Lebih kurang sebulan lagi baru keretaku akan siap direpair. Termenung sebentar kami suami isteri. Dengan insuran yang tak boleh di claim, kami harus mengeluarkan biaya sendiri sepenuhnya untuk menanggung kos baik pulih kereta. Untuk urusan seharian, kami tak tahu lagi bagaimana. Suami akan menumpang sahabatnya ke tempat kerja, begitu juga aku. Mujurlah tempat jagaan anak- anak berdekata dengan rumah, membolehkan aku berjalan kaki menghantar mereka.

Banyaknya perkara yang mendatang. Kalau dalam bahasa Arab, dipanggil 'awaridh. Ia bermaksud perkara atau benda- benda yang tak disangka- sangka mendatangi kita. Memang terasa amat dengan keadaan seperti ini. Banyaknya benda dirancang tak menjadi. Kecewa memang tak dapat nak dielakkan. Cuma, perkara terbaik yang boleh dilakukan, bersangka baik dengan Allah.

Kadang- kadang, terfikir juga, barangkali Allah tak mahu aku dihisab banyak- banyak nanti dengan sebab menggunakan rezki Allah bagi pada perkara yang tak patut- patut. Sebab tu diberikan aku ujian yang pelbagai. Biar tahu, ke mana mengalirnya pemberian ini.

Kata suami, bila Allah bagi rezki duit, jangan merancang nak beli itu ini. Allah maha tahu ke mana nanti akan menghalanya duit itu. Perancang Allah lebih tepat dari perancangan kita.

Ya Allah... Janganlah sekali- kali Kau jadikan cinta kami kepada dunia melebihi cinta kami pada Mu...!