Saturday, November 12, 2011

Dari Selatan Ke Utara


Menitis air mata sewaktu menyemak status permohonan pertukaran melalui Eg Tukar.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah!

Syukur ya Allah... Kau Yang Maha Mengatur segalanya.

Memohon untuk bertukar ke Pulau Pinang mengikut suami tercinta adalah antara perkara yang paling besar yang perlu saya lakukan dalam hidup. Awalnya, bolak balik juga hati ini. Keputusan yang abang lakukan memang mengundang reaksi yang bermacam dari ahli keluarga. Kata ayah, sewaktu kami meminta pandangannya:

“Kalau memang sudah berazam untuk bertukar ke sana, harus tawakkal, dan kena sabar dengan apa- apa yang terjadi selepas ini.”

Gelisah hati saya, kerana memohon untuk bertukar bukannya senang. Tambahan pula saya baru saja berkhidmat belum sampai 2 tahun. Baru sahaja melepasi induksi, belum lagi disahkan jawatan.

Apa akan jadi kalau permohonan saya tidak diluluskan?

Kuatkah saya menjaga anak- anak seorang diri dan menguruskan emosi sebagai isteri yang berjauhan dari suami?

Sungguh, saya tidak sanggup berjauhan dengan suami dan menjaga anak- anak sendirian. Saya cuba berlagak selamba, melalui hari- hari seadanya seperti biasa. Tapi, barangkali 'kesayuan' tetap terukir di wajah saya. Sehingga kawan- kawan di sekolah mengusik,

“Ini ibu tinggal.., bukan ibu tunggal”

Dan, kala saya gundah gulana, mengadu cerita pada mak sewaktu baru 'ditinggalkan' abang, mak menitipkan pesanan:

“Turutkanlah dia kali ini...”

Ringkas. Namun cukup mendalam maksudnya untuk saya fahami.

Abang telah banyak berkorban untuk saya sebelum- sebelum ini. Dalam banyak keadaan, dia selalu mendahulukan kesukaan saya. Barangkali kerana itulah mak meminta dengan penuh lemah lembut supaya saya menuruti keinginan abang, untuk bekerja di sana.

Memang tak pernah terlintas sedikit pun dalam hati suatu ketika dulu, akan ada masanya saya berhijrah lagi, mengubah haluan hidup atas sebab mengikut suami bertugas.


Dahulu, saya ada berfikir,

Di Johorlah aku akan berbakti sehingga sampai masanya Allah memberikan rezki untuk berkhidmat di tempat kelahiranku, Terengganu.

Saya murtah di sini. Dengan kediaman yang selesa, berdekatan dengan tempat kerja dan sekolah anak- anak, saya kira, memang sangat menyenangkan.

Namun, inilah ketentuan, apa yang telah Allah tulis buat saya, setakat ini. Esok- esok, saya belum tahu, apakah masih ada usia dan kesempatan untuk saya melalui kehidupan ini.

Dari selatan ke utara. Rupanya di sini tempat singgah sebentar cuma, mengutip ilmu dan pengalaman.

Seperti juga perjalanan kehidupan kita...

Singgah sebentar sahaja di dunia sebelum berhenti di destinasi terakhir... bernama akhirat.

6 comments:

~albazrah~ said...

Assalamualaikum anis, jadi bila tarikh pertukaran. Alhamdulillah. Hijrah memang mencabar, tetapi hijrah selalunya lebih baik.

mystmine said...

Deq Ma: waalaikummussalam.belum tahu lagi secara tepatnya. tetapi, rasanya kena melapor diri 1/12/11 ini.
Barang- barang dan segala urusan di Johor harus diselesaikan terlebih dulu.Doakan lah, moga dipermudahkan segalanya ye deq ma.

mystmine said...
This comment has been removed by the author.
mystmine said...
This comment has been removed by the author.
sufi said...

Assalamualaikum kak anis. Tahniah kak anis. Dekat dengan suami lebih baik daripada jadi 'ibu tinggal'. lagipun anak2 kak anis tengah membesar. Kuatkan hati untuk menempuh cabaran. Tak lama lgi akan sah jawatan. I'allah...

Nothing Special said...

Semoga pok imi dan khalah diberikan yg terbaik walau dimana berada