Sunday, April 07, 2013

Buah Nam-nam


Orang utara memanggilnya dengan nama itu.

Suami memanggilnya, 'buah kepek'.

Saya ketawa. Teruk benar bunyinya. Benar, ia panggilan kami orang timur terhadap buah itu.

Ia buah yang banyak mengundang nostalgia zaman kecil di rumah tok. Dulu, di hadapan rumah arwah tok, ada sebatang pohonnya yang selalu lebat berbuah. Anehnya, buahnya tumbuh di pangkal pokok diselangi dengan bunganya yang kecil bewarna merah samar.

Sesekali, tok mempelawa cucunya turut sama merasai buah itu, namun, akan ditolak mentah- mentah. Kepala akan digeleng laju- laju beserta bibir yang mencebik.

Budak kecil, manalah tertarik dengan rupa buah yang berwarna hijau kekuningan dan menggerutu seperti katak puru itu!

Rasanya juga tak pernah melekat di ingatan.

Namun, di usia ini, segala tanggapan dan perasaan terhadap buah itu berubah sama sekali.  

Maha Besar Allah. Dia boleh merubah perasaan benci menjadi sayang, tak suka kepada suka.

Suatu hari, sewaktu menjemput anak- anak di rumah Kak Atie, pengasuh mereka, dia berkata,

"Ada buah nam- nam dalam beg baju anak- anak. Mak Kak Atie ambil dari rumah jiran di seberang. Makanlah. Mana tahu...., Anis teringin."

Saya mengangguk.  Tak berapa ambil berat kerana badan yang penat dan letih.

Malamnya, sewaktu menyelongkor beg pakaian anak- anak, dicelah- celah baju saya terpegang 2 biji buah yang cukup saya kenali. Eh, ini buah kepek.

Terus saya ambil, basuh dan dibelah dua. Saya asingkan bijinya.

Dengan bismillah, buah tersebut yang telah dicicah dengan sedikit garam saya suap ke mulut.

Masya Allah! Tak tahu, kenapa malam itu, rasa buah kepek/ nam- nam sangat lazat di lidah saya. Segala tanggapan terhadap buah itu berubah sama sekali.

Saya teruja. Rasanya  lemak masam dan sedikit kelat. Saya masukkan lagi dan lagi ke mulut sehingga habis. Tidak cukup. Tambah pula kena berkongsi dengan si kecil Nuha. Dia pun sama naik dengan uminya makan buah nam- nam.   

Saya selongkar lagi beg pakaian anak. Eh, Kak Atie kata ada enam? Mana lagi? Tak apalah, saya silap dengar barangkali.

Selang dua hari, saya bertanya lagi pada Kak Atie,

"Kak Atie, buah hari tu ada lagi tak? Kak Atie kata ada enam, tapi saya tengok ada dua saja."

Kak Atie ketawa. 

"Kak atie kata buah nam- nam, bukan enam. Tak apa, nanti mak Kak Tie pi tengok."
Saya turut sama ketawa.

Dan, tak sampai beberapa minit, mak Kak Atie yang saya panggil Mak Cik menghampiri kami yang sedang berbual.

"Nah, rezeki hang. Ada lagi sikit. Mak Cik tau hang teringin.Yelah, tengah macam tu, mesti teringin yang masam- masam. Lepas ni mak cik carikan buah kedondong untuk hang. " 

Saya terharu. Jauh dari mak dan dengan keadaan seperti ini, saya sangat tersentuh bila ada yang mengambil berat.  

Buah nam- nam. Buah kepek. Nama yang berbeza, tetapi buah yang sama. Sungguh, ia menggamit nostalgia lama, dan merubah tanggapan silam. 





2 comments:

Kayzem said...

rasanya org pdg kemunting panggil buah katak puru :D.. ada ker? tahniah.. bila due?

mystmine said...

alhamdulillah..
due hujung bulan 9. awal skit pada ma. ma pun tahniah jugalah.