Saturday, November 17, 2012
Gerimis November
November menjengah lagi.
Tanda berakhir sudah setahun pengajian untuk anak- anak di alam persekolahan.
Tanda berakhir setahun kembaraku di Munshi.
Hujan turun berselang hari.
Saat memandu ke High School Chung Ling, dalam gerimis aku melihat pelajar- pelajar dengan kerenah dan aksi pelbagai. Tujuan nya cuma satu. Memenuhi amanat ibu ayah. Melakukan yang terbaik untuk SPM yang sedang dilalui. Ada yang berjalan kaki sambil berbual santai bersama teman. Namun wajah resah hari pertama jelas kelihatan.
Ada yang membonceng motor bersama sang ayah. Motorsikal meluncur, namun matanya masih menatap buku di tangan. Duhai anak, gelora di hatimu pasti sedang hebat membadai seperti lautan di musim tengkujuh! Hati mana yang tidak resah, jiwa mana yang tidak berdebaran, andai bakal menempuhi imtihan pengukur usaha dan kesungguhan, penentu hala tuju masa depan, di manakah keberadaan selepas 5 tahun di alam persekolahan!
Duhai anak,
Berharaplah pada Tuhanmu!
La Haula Wa La Quwwata Illa Billah..... Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah. Tiada daya dan upaya Bahawa sesungguhnya DIA lah Yang Maha Kuasa Tiada Yang Lebih Berkuasa Selain DIA!!!
Gagal dalam imtihan dunia, masih ada peluang memperbetuli kesilapan, andai gagal menjawab soalan imtihan di akhirat, tiada ruang lagi untuk kembali. Tiada ulangkaji, tiada tesis atau kertas kerja yang boleh menambah markah. Saat nyawa terhenti, terhenti jualah segala amalan hamba dan ketaatan terhadap Rabb Nya. Melainkan dengan 3 perkara itu. Doa anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah.
November ini. Masih gerimis lagi.
Minggu terakhir persekolahan yang sungguh memenatkan. Masa berlari pantas, menghambat daku menyegerakan segala urusan persekolahan yang belum selesai. Pun begitu, hingga saat ini, masih ada beberapa tugasan yang masih belum dapat ku beresi.
November ini.
Cuti akhir tahun persekolahan bermula. Anak- anak mula merengek mahu pulang ke kampung. Mahu bertemu Wan yang dirindu, mahu bermain bersama sepupu sepapat yang sebaya.
Apa daya ummi...
Tugasan mengawasi SPM masih menghambat. Tiada ruang untuk bersua mak ayah, menghulur salam. Anak- anak ku paksakan jua tinggal di sini. Selagi tiada yang datang menjemput, haruslah anak- anak membetahkan diri menemani ummi, biarpun ummi tahu kalian kesunyian.
Saat dikhabarkan mak dimasukkan ke wad, aku hanya mampu memanjatkan doa, penuh berharap, agar mak selamat, agar mak kembali sihat.
Tiada daya dan upayaku untuk pulang dalam waktu ini, mak!
November ini. Gerimis masih turun lagi.
Pohon rambutan di sebelah rumah berbuah lebat. Buahnya merah hampir menutupi daun hijau yang rimbun. Manis sekali rasanya, lekang pula isinya. Sayangnya batuk yang berterusan ini memaksa diri melenyapkan keinginan yang membuak- buak.
Di sinilah aku, dalam November ini. Dan gerimis masih lagi turun.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment