Jantung hatiku semakin membesar..
Jantung dan hatiku..
Zakwan dan Wijdanku...
Bahagia sungguh melihat mereka tumbuh membesar di hadapan mata dengan keletah dan manja yang tersendiri.
Wijdanku hatiku,
Si kecil empunya kulit hitam manis dan senyum semanis madu itu sering mencambahkan rindu di hatiku dan abinya tatkala kami meninggalkannya sebahagian hari di nurseri Asma'. Dia manja amat. Sering mempamerkan aksi- aksi spontan yang mencuit hati pada kami. Sudah semakin pandai menuturkan kata- kata biarpun yang lebih memahami hanya dirinya sendiri. Panggilan Umi dan Abi semakin kerap bermain di bibir mungilnya walaupun tanpa tujuan. Senang sekali mendengar suara itu. Halus, gemersik dan cukup lembut. Dan sering juga tangisan nyaring yang membingitkan telinga.
Padanya, semua jenis makanan di panggil 'roti'. Roti pun roti, nasi pun roti, biskut pun roti. Dan Tokki nya pun di panggil 'Ooti'.
Lariaannya juga sudah semakin laju. Kata Abinya, 80 km/j. Apa tidaknya, pantang pintu rumah terbuka, sekelip mata sahaja dia akan menghilang dari pandangan. Memang merisaukan, tambah- tambah lagi bila berada di rumah Wannya (ibuku), dia akan meluru ke jalan besar. Pernah sekali bas membunyikan hon berkali- kali kerana dia hampir sangat dengan jalan.
Dia sangat pandai merajuk. Kalau aku memarahinya, dia akan menggesel kedua matanya dengan jemari kecilnya, seolah ingin menangis. Matanya yang lebar serta merta akan terlihat sayu. Oh, memang dia jaguh mengundang simpati.
2 hari lalu, dia demam lagi. Suhu badannya panas, dan biasanya bila begitu yang terjadi dia akan merengek- rengek di sepertiga malam atau sehingga sepertiga malam. Hemm, macam bertahajjud pula bunyinya. Tetapi itulah hakikatnya. Anak- anakku yang berdua ini serasi sekali dengan perubatan homeopathy. Biji- biji pil manis oren dan putih mudah sekali diterima anak- anak berbanding ubat- ubatan biasa yang sirapnya terasa pahit- pahit manis. Makannya pun tidak seberapa. Sesuap yang ditelan, lebih banyak yang keluar.
Mujurlah, mujurlah demamnya tak berlarutan. Aku sudah berfikir- fikir untuk saling bergiliran dengan abinya untuk tidak ke kelas.
Zakwanku jantungku...,
Dialah anugerah pertama yang tak tenilai kurniaan Tuhan buatku dan suami. Dia hadir di saat aku bergelut dengan pengajian masterku di UIA. Dari seberat 2.8 kg, dia kini sudah semakin tinggi dan besar. Abang. Itulah panggilan kami padanya. Dia sangat mengerti. Mungkin kualiti anak sulung itu sudah ada pada dirinya. Lagu yang menjadi rutinnya setiap pagi, yang sering diulang- ulang, "Abang tak mau ke sekolah, tak mau ke rumah Wan. Abang nak duduk dengan Umi..." Dan selepas itu akan bermula lah pujukan yang digula- gulakan dengan kata- kata manis. Kadang- kadang berkesan, dan selalunya tidak. Ku kan tinggalkan dia dalam sedu sedannya yang panjang. Begitulah selalunya.
Usianya mengjangkau 3 1/2 tahun sudah. Namun aku masih belum berupaya untuk menghantarnya ke pra- sekolah. Dia masih belum tahu bab cuci mencuci selepas 'membuang'. Aku bimbang kalau- kalau dia masih belum boleh diterima. Sekarang, kami dalam proses mengajarnya. Moga- moga dalam sedikit masa lagi, dia sudah boleh berdikari dalam hal itu. Sayang sekali membiarkan dia tanpa didikan formal sedangkan dia sudah pandai menuturkan segala. Banyak sekali vocabnya yang setiap hari menjadikan aku teruja untuk mendengar setiap butir bicaranya.
Alhamdulillah, dia semakin sihat, tidak seperti waktu kecilnya. Demam panasnya tak lagi menyerang sekerap waktu dia kecil dulu. Sewaktu aku bergelut untuk menyiapkan tesis masterku di UIA, sering sekali dia ku tinggalkan. Setiap kali aku berangkat, hatiku ku hancur luluh. Berpisah dengan anak yang masih kecil dan menyusu badan. Sehinggalah, suatu ketika kami (aku dan suami)memutuskan meletakkan Zakwan bersama- sama ku. Temanku yang baik, Jamilah Khalil bersetuju untuk menempatkan aku dan anak buat sementara di rumahnya yang cukup selesa di Shah Alam. Aku di sana bersama anak, suamiku di Terengganu dengan tugasannya. Begitulah perjalanan hidupku dalam durasi masa yang agak singkat.
Sehinggalah suatu subuh yang bening, aku baru sahaja menyelesaikan sujudku, terlihat anak menggeletar di dalam buaian dengan jemari tangan dan kakinya membiru. Aku panik amat dan mengejutkan dia dan suami. Kami terus membawa anak ke sebuah poliklinik yang berdekatan. Sepanjang jalan aku hanya menangis dan menangis. Rupanya dia diserang demam panas dengan suhunya 40 darjah celcius. Ku kira umurmu hanya setakat itu anakku. Alhamdulillah, Alhamdulillah.. Suhu badanya semakin berkurang paginya. Namun, aku terus diminta terbang pulang bersama anak kerana mak dan ayah amat bimbangkan cucu sulung mereka.
Itulah anak- anakku. Sehingga kini, banyak sekali kenangan bersama mereka. Coretan ini hanya secebis duhai anak- anak Umi dan Abi, andai diukur dengan apa yang kami lalui bersama kalian hingga saat ini. Setiap hari bersama kalian, bagai melihat pelangi di depan mata.
Inilah yang akan jadi tatapan kalian andai suatu hari nanti Umi dan Abi tiada lagi. Kami sangat- sangat menyintai kalian. Tiada apa yang paling berharga yang kami miliki dalam hidup melainkan kalian anak- anak kami. Zakwan dan Wijdan akan jadi abang pada adik- adik yang akan datang InsyaAllah. Jadi hamba yang taat dan anak yang berbakti dan mendoakan Umi dan Abi semasa hidup dan selepas kami tiada di sini.
Saaaayang anak- anak Umi Abi
28 Jamadil akhir 1430
No comments:
Post a Comment