“Ish, buat apa la nak ikut himpunan orang- orang bodoh macam tu… Bukankah akta itu digubal untuk menjaga kedaulatan raja- raja dan keselamatan negara? Daripada sibuk- sibuk tentang benda alah tu, lebih baik kita fikir cemana nak hapuskan jenayah ragut dan rompak yang makin berleluasa sekarang ni. ”
Saya sekadar menekurkan kepala sambil merenung nasi di pinggan. Nasi bersama lauk favourite, ikan keli goreng sambal pedas belumpun luak separuh. Saya teruskan juga suapan meski hati terasa amat dengan kata- kata tersebut. Hemm, dek kerana perut memang lapar sejak pagi, habis juga juadah di depan mata.
Saya tak faham… Sampai kadang- kadang terasa agak bengang dengan orang- orang seperti ini. Apa sebenarnya yang ada dalam kepala mereka? Sudah senak sangatkah sampai tidak boleh berfikir akan penderitaan yang dirasakan oleh lain? Tidak dapatkah merenung sejenak kesusahan mereka? Apa lagi untuk sama- sama berkongsi kesedihan.
Betapa tidak mengertinya orang- orang seperti ini. Hanya berfikir tentang ‘huru- hara’ (kononnya) yang hanya sehari itu. Sedang di sana, ada hati- hati yang bertahun diulit derita, ada anak- anak yang punyai ayah tetapi tidak dapat bersua muka.
Hampir 2 minggu telah berlalu, namun masih terdengar lagi komen- komen negatif berkenaan Himpunan Mansuhkan ISA, 1 Ogos lalu. Himpunan yang sepatutnya berlangsung secara aman, namun disurai secara yang tidak sepatutnya. Cubalah berada di situ, baru tahu siapa sebenarnya yang tidak demokratik dan tidak bertamadun.
TERIMBAU
Saya terlalu kecil ketika itu untuk mengingati semuanya. Sekitar pertengahan tahun 80an. Sangat samar- samar sekali. Tahu- tahu, kehidupan kami adik beradik cuma diuruskan oleh emak. Mak lah yang menghantar ke sekolah, menjaga kami adik beradik dan mencari nafkah. Maklah mak. Maklah pengganti ayah. Kami bukan kehilangan ayah, tapi ayah dirampas haknya untuk berada di sisi kami.
Saban bulan kami akan berehlah ke Taiping. Destinasinya Kem Tahanan Kemunting. Kami (emak dan kami anak- anak) pergi menaiki kereta dengan ditemani oleh sahabat- sahabat baik ayah. Samada Ayah Wan atau Pak Cik Wahid, ataupun Pak Su Kar. Dalam perjalanan, kami akan singgah di kedai makan, yang mana menu istimewanya nasi lemak dan ayam goreng. Itulah modal untuk memujuk kami adik beradik sekiranya meragam di dalam perjalanan.
Masih jelas dalam kenangan, bagaimana seronoknya kami adik- beradik dapat bertemu dengan ayah. Masakan tidak, lama sekali kami tidak melihat ayah. Memang kami semua sayangkan ayah. Ayah yang baik dan lembut dengan kami.
Untuk permulaan, kami hanya bertemu di sebalik cermin. Mak hanya mendengar suara ayah melalui intercom. Bersua muka, namun tak mampu bersentuhan.
Lama kemudiannya, setelah beberapa pertemuan, barulah kami dapat merasakan hangatnya dakapan dan ciuman kasih ayah. Bahagia sungguh rasanya dipeluk cium ayah. Emak? Tak tahulah saya bagaimana perasaannya tika itu, kerana saya masih terlalu kecil untuk memahami semuanya. Melihat tangisan mak, apa sangatlah yang dapat kami fahami.
Saya ingat lagi, pernah sekali, ada orang tangkap gambar kawasan dalam dan luar rumah banyak- banyak. Di segenap ruang rumah gambar diambil. Kami adik beradik turut bergaya di depan kamera. Rupa- rupanya gambar tersebut dibawa bersama ketika kami melawat ayah. Entahlah, mungkin ayah rindu nak menatap suasana rumah yang ditinggalkan.
Tika berziarah ke kem, ayah akan bawa kami adik beradik ke koperasi kem. Kami disuruh ambil apa saja yang kami teringin. Coklat, kerepek, asam masin. Itu saja kegembiraan yang mampu ayah berikan dengan keadaannya tika itu. Nak bawa kami jalan- jalan makan angin? Huh, jauh panggang dari api. Dapat bertemu dan duduk di ribaan ayah pun sudah cukup baik.
Dulu, saya sering tertanya- tanya, mengapa mak saya lebih garang berbanding mak orang lain? Kenapa mak macam selalu sibuk? Pengertian itu datang bila saya menginjak usia dewasa. Wajarlah mak begitu.. Bukan sedikit bebanan tanggungjawab yang perlu dipikul mak sepanjang ketiadaan ayah selama lebih 2 tahun itu. Bukan sedikit kesabaran dan kesetiaan yang mak pertahankan. Mak yang uruskan segalanya sendirian. Urusan persekolahan kami, dan semua urusan rumah. Berhari raya tanpa ayah bagai jadi perkara biasa.
Semakin lama, saya semakin faham, ayah kami ditahan sebagai tahanan ISA. Jadi mangsa mainan politik kotor.
Setelah tempoh tahanan tamat, ayah tidak terus kembali ke rumah. Masih menjadi ‘buruan’. Terpaksa menetap di beberapa tempat, termasuklah beberapa tahun di US. Kami masih dijaga hanya oleh emak. Hampir- hampir saja kami berhijrah bersama ayah, tapi disebabkan oleh beberapa kesulitan, hasrat itu tertangguh dan akhirnya dibatalkan. Bila ayah kembali ke tanahair, beliau kemudiannya disenarai hitamkan dari memasuki negara tersebut. (Oh, panjang sekali kisah ayah andai semuanya dicoretkan disini)
Menderita.
Itu yang dirasakan oleh keluarga mangsa tahanan ISA. Terutamanya isteri. Bayangkan, bersendirian membesarkan anak, mencari nafkah.. Terfikir kah kita, bagaimana emosi sorang isteri yang bersendirian tanpa suami disisi? Suami mereka ini, ada yang ditahan 2 tahun, bahkan ada yang menjangkau 7 tahun.Cuba letakkan kita di tempat mereka. Perit jerih yang harus mereka lalui, tentu kita tidak terbayang, kan?
Ya Allah, pun begitu, masih ada yang mahu mengira ini sebagai keadilan? Sudahlah si mangsa ditahan, kemudian dinafikan haknya untuk dibicarakan. Ditahan tanpa syarat, tanpa suatu penyiasatan yang adil. Undang- undang jenis apakah ini? Warisan siapakah ini?
Bukanlah saya ahlinya untuk membicarakan tentang ini. Sekadar berkongsi secebis kisah, yang pernah saya lalui ketika usia masih lagi kecil amat. Antara ingat dan lupa, saya sentiasa sedar dan tahu apa yang keluarga besar kami telah lalui. Kerana saya pernah merasakan, saya kira saya mengerti.. walaupun bukan dengan pengertian yang cukup dalam. Mungkin situasi mereka dan saya tidak sama, namun, kedewasaan ini membawa hati saya untuk memahami dunia orang lain, yang nasibnya sama seperti ayah.
Andai benar di sini adil, pasti ada ruang untuk bermusyawarah. Pasti benar- benar dipraktikkan, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.” Bukan hanya bertanam tebu di tepi bibir.
Aduhai, Malaysia tanahairku… Aku sangat- sangat menyintaimu, namun, ada tampuk yang perlu ditukar. Biar cinta bertambah- tambah.
No comments:
Post a Comment