Sunday, March 04, 2012

Dari hujung tinta

Nuha ketika berusia setahun, ketika ini masih di Johor



Musim silih berganti.
Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan bertukar tahun.

Pulau Pinang, Bukit Minyak, SMK Abdullah Munshi.... inilah dunia saya sekarang.

Alhamdulillah, hijrah ini menatijahkan satu kemurtahan buat diri dan suami. Anak- anak? Mereka masih dalam proses cuba untuk menyesuaikan diri. Kadang- kadang tersebut juga di mulut Wijdan,
"Umi Ida...dia potong kuku adik....".

Barangkali cuba untuk meluahkan rindunya pada bekas pengasuhnya tapi dengan bahasa yang paling mudah untuk dituturkannya.

Weekdays.
Setiap pagi, rutin saya berkereta ke sekolah seawal jam 6.35 pagi setelah menghantar anak- anak. Zakwan dan Nuha ke rumah pengasuh mereka. Jarak perjalanan yang lebih 30 km (sehala) sebenarnya memang memenatkan. Banyak menuntut kesabaran lebih- lebih lagi di waktu pulang di saat kereta menghimpit- himpit di jalan raya.

Kadang- kadang saya bertanya pada diri, 'inikah yang aku cari di sini?'

Dengan masa yang sangat- sangat limited dengan anak- anak di rumah, kerja- kerja pengurusan yang banyak di sekolah, hujung minggu yang sangat sibuk dengan kerja 'pengurusan rumah tangga'.

Entahlah.

Saya mungkin sama dengan ibu- ibu lain yang berkerjaya, harus membahagikan masa dengan cukup- cukup bijak antara keluarga dan kerjaya. Sering terhimpit antara kemahuan nak buat semua benda dan kudrat yang tinggal' cukup- cukup makan' sahaja bila setiap kali pulang dari tempat kerja.

Yang nyata...
Saya memang murtah di sini. Tanpa ada sebab tertentu yang boleh saya spesifikkan.
Boleh jadi kerana saya berasal dari kampung, maka jiwa saya sangat tenteram dapat tinggal di tempat sebegini.

Boleh jadi kerana saya sukakan suasana desa, maka saya sangat- sangat teruja bila berpapasan dengan sawah bendang dalam perjalanan ke satu- satu tempat.



Boleh jadi juga kerana perjalanan balik ke Terengganu tidak sejauh sewaktu berada di Johor dulu. Itu pun termasuk dalam senarai kerana saya memang kerap pulang ke kampung.

Atau boleh jadi juga kerana saya ditempatkan di sekolah yang pelajarnya semua muslim, dan saya dapat mengajar subjek B. Arab yang ingin sangat saya ajari selepas tamat DPLI 3 tahun lepas.

Entahlah....

Allah maha tahu setiap isi hati, dizahirkan atau pun tidak, lintasan hati yang baik atau buruk.

Saya mohon kebaikkan di atas setiap jalur takdir yang telah ditentukan.

Hidup ini memang banyak mahunya, dan banyak perkara di dalam senarai 'al-hajiyyatt'. Tetapi, harus selalu menjentik hati, agar sentiasa sedar, penghujung jalur kehidupan nanti, hanya satu yang dituju. Di sepanjang perjalanan hidup perlu ada mardhatillah.

Kerana Dia lah pemberi ketenangan, kerana Dialah yang mencukupkan segalanya, kerana Dia lah segala- galanya.

1 comment:

Kayzem said...

alhamdulillah Anis, kalau Anis senang di sini... walaupun kena berulang hari2 masuk pulau :P. Anis drive sendiri ke sekolah?