Friday, August 10, 2012
- TOK dalam doa -
Wajah itu seakan dalam lena yang amat dalam.
Tiada apa yang berbeza melainkan dia kelihatan pucat...
Ya, pucat kerana tiada lagi darah yang mengalir di celah- celah urat darahnya dan yang pastinya jasad dan rohnya telah terpisah.
Tok...
Betapapun aku merasa sedih dan sebak merajut di hati, tok tetap telah pergi mengadap yang Maha Pencipta. Dia tok yang aku sayangi. Insan yang banyak memberi kesan dalam kehidupan waktu kecilku sehinggalah menginjak usia awal remaja.
Ia masa yang telah lama berlalu.
Namun, jauh di suatu sudut dalam hati ini, kenangan zaman anak-anak di rumah tok sangat aku rindui. Mak pernah bercerita, aku pernah di ambil tok untuk dijaga ketika berusia 3 bulan. Asalnya kerana aku sering menangis bermula malam sehingga ke pagi. Barangkali juga kerana jarak di antara kelahiranku dan Kak Ngah hanya berselang 11 bulan.
Ia cerita lama. Yang selalu diulang emak ketika melihat keakrabanku dengan ibu saudara dari sebelah ayah.
Memang sewaktu usiaku sekitar 5/6 tahun, waktu cuti persekolahan akan ku habiskan di rumah tok bersama tok. Aku seolah- olah sudah diprogramkan untuk bersama- sama tok, mengisi masa sebagai budak kampung.
Segalanya sangat samar- samar. Ia cerita lama, yang tersimpan kemas dalam lipatan kenangan. Ia cerita yang telah berlalu lebih 25 tahun.
Di sini ku kenali duania seorang anak kampung. Merasai dan belajar banyak perkara dengan orang - orang yang berada di sekelilingku.
Arwah Pak Su tika itu selalu menangkap ikan dari bendang, kadang puyu, kadang- kadang keli. Sewaktu menyiang ikan, dia akan bertanya padaku,
"Adik (panggilan untukku bila pulang ke rumah tok) mahu makan masakan apa?"
Selalunya, dia juga yang akan memberikan jawapan.
"Kita goreng berlada cukuplah ye. Sedap makan dengan nasi panas- panas."
Dan aku akan jadi pengikutnya yang setia sehinggalah ikan itu menjadi lauk yang sangat menyelerakan.
Aku menjadi anak yang paling kecil di rumah tok.
Bapa- bapa saudaraku yang yang masih muda dan bujang ketika itu sering mengusik mengatakan aku anak manja tok. Jadi manja kerana menyusu dengan tok!
Dan aku akan tersipu- sipu di bawah ketiak tok, sambil menafikan hal itu.
Ia kenangan lama. Yang telah lama aku biarkan ia terpendam di dasar hati kerana tidak mahu menganyam rindu pada hari semalam.
Setiap pagi tok akan membelikan sarapan buatku dan dia. Sebungkus nasi minyak atau nasi lemak yang berharga 50 sen. Di bancuhkan juga untukku segelas teh wangi. Aku akan makan bersama- sama tok atau Mak Ani atau Pak Su.
Adakalanya tok menyediakan sarapan sendiri. Laksam airtangan tok pernah membangkitkan selera seorang cucu kecil yang kencing di tilam pada suatu pagi. Tok tidak marah, bahkan menuntunku penuh kasih sayang.
Ada cerita yang tidak pernah padam di ingatan tentang bendang tok. Ia kisah biasa seorang anak kecil yang sedang membesar. Kisah bagaimana seorang budak kecil yang mahu belajar ke bendang, yang sangat seronok mencelupkan kakinya ke dalam air, akhir terpekik terlolong kerana melihat ada 'benda' bewarna hitam pekat merayap di atas betisnya.
Ia kisah yang telah lama berlalu. Kenangan yang banyak mencorak diri seorang aku kini. Kenangan seorang cucu yang sangat rindu pada tok.
Seakan- akan masih terasa tangan tua tok yang membelai rambutku dan melumurkan minyak kelapa yang bercampur bunga melur ke kulit kepala dan rambutku.
Tok sudah tiada. Ya, tok hanya ada dalam ingatan kami kini, bahkan dalam doa yang kmi panjatkan.
Satu demi satu orang- orang yang aku sayangi dijemput pulang............................................
Rumah tok sudah tidak ada sesiapa. Ia sudah sepi. Ia rumah papan bewarna hijau yang banyak pokok di sekitarnya. Seakan - akan ternampak di mata segala kenangan yang telah berlalu itu. Biarpun rumah itu sudah jauh berubah dari bentuk asal, namun perasaanku masih tetap sama seperti dulu.
Ya Allah, rahmatilah Tok, kasihanilah dia, tempatkan dia di kalangan hamba Mu yang solihin....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment