Tuesday, April 10, 2012

Duhai Anak




Akhir- akhir ini, saya perasan, sangat mudah perasaan marah diluahkan pada anak- anak. Berbanding ketika beranak dua dulu, rasanya lebih rasional dalam mengendalikan emosi. Boleh berfikir anak itu masih kecil, tak mengerti apa- apa.

Namun, sekarang, keadaannya amat berbeza. Tak tahu...

Apakah kerana bebanan kerja yang bertambah, masa di sekolah dan di perjalanan sudah teramat- aamt letih sebelum sampai ke rumah, maka, bila anak membuat sedikit kerenah, mudah sahaja rasa marah di hamburkan??

Kesian anak- anak....
Tak mahu anak- anak menjadi pembengis dan perengus... tetapi, ummi sendiri??

Dalam bingung, keliru dan tak menentu, hati memohon pertolongan. Dan pertolongan Allah itu datang dalam pelbagai bentuk.

Hati terdetik mahu menjenguk ke blog 'sifu- sifu', dan di sinilah ia di temui.

Ini hanya petikan sebahagian entry"Dosa Kita Mengatasi Kesalahan Anak- Anak" yang saya dapati dari blog saifulislam.com.

Benar, ia teguran secara tidak langsung yang terkena tepat ke atas batang hidung saya dan suami.

" Ya memang marah itu perlu, tetapi ia bukan pendekatan harian saya. Saya lebih suka bercakap dengan anak-anak dan cuba memahamkan mereka kenapa satu-satu perbuatan itu betul atau salah. Jika Saiful Islam naik angin, saya akan tangkap dia dan mandikan agar ‘sejuk’, kemudian saya ke bawanya ke bilik dan kami berdialog.
Biar pun soalan anak-anak bertali arus dan kekadang berpusing ke belakang, saya sentiasa setia melayan. Rasa marah atau letih, rasa mengantuk atau sengal badan, semuanya diketepikan dan saya mesti mendengar isi bualan yang ingin dikongsi oleh Saiful Islam dan kini Naurah juga. Biar pun isunya hanya soal kad Grandsazer dan Kamen Rider. Itulah wasilah saya mendengar dan menunjukkan kasih kepada anak-anak.

Namun punca sebenar yang menjadikan saya tidak tergamak untuk memarahi anak saya, ialah kerana saya rasa berdosa kepada Allah terhadap mereka. Malah kesalahan anak-anak saya yang belum mumayyiz dan tidak aqil baligh ini kepada saya dan ibu mereka, tidak terbanding dengan dosa saya dan isteri terhadap mereka.

Masakan tidak. Saya telah memilih isteri yang solehah dan sebahagian cita-cita saya, agar akhlak mahmudah isteri akan tumpah kepada anak-anak suatu hari ini. Saya percaya, ramai dari kalangan kita yang melakukan perkara yang sama. Pendidikan anak-anak bermula dengan memilih ibu yang baik untuk mereka.

Tetapi tumpahkah solehah isteri kepada anak-anak? Turunkah baik saya kepada anak-anak? Sukar untuk menjawab soalan ini kerana orang sebenar yang membesarkan anak-anak hari ini, adalah guru di tadika atau pembantu rumah Indonesia. Alhamdulillah jika yang Indonesia itu orangnya baik, bersolat dan menjaga batas-batas agama. Bagaimana dengan yang berpembantu rumah seorang penyembah berhala dari Myanmar, Thailand atau Filipina.

Kita berjumpa dengan anak-anak ketika kita sudah letih. Kita sudah hilang seri di wajah dan jiwa malah bahasa. Anak-anak juga sudah mengantuk ketika saya sampai di pintu menanggalkan kasut. Bilakah masanya kita menumpahkan akhlak mahmudah kita kepada anak-anak?

Isteri solehah, tapi yang membesarkan anak-anak adalah pembantu rumah, guru nursery, dan entah siapa lagi. Ibu dan ayah di mana? Jawapannya mudah sahaja, SIBUK BEKERJA.

Janganlah disangka kita sudah menjadi ibu dan bapa yang baik hanya kerana makan pakai anak-anak sudah cukup. Itu hanya taraf lembu membesarkan anak-anaknya. Ibu bapa manusia ada tanggungjawab yang lebih besar dari itu. Soal makan, minum, pakaian, perlindungan, pendidikan, makanan emosi dan spiritual, semuanya mesti diharmonikan bersama bekalan yang tidak putus-putus. Apa yang paling utama adalah soal jumlah masa yang kita luangkan bersama mereka. Sudah cukupkah untuk meyakinkan mereka, bahawa kita benar-benar kasihkan mereka?

Tetapi zaman ini, zaman membesarkan anak-anak diswastakan kepada pihak lain. Kita sibuk bekerja dan kerja tidak pernah habis. Anak buat perangai mungkin semata-mata atas dorongannya untuk mencuri perhatian kita.

Ingatlah, dalam suasana kita hari ini, dosa ibu dan bapa terhadap anak-anak, lebih besar berbanding kesalahan mereka kepada kita. Insaflah wahai ibu dan bapa, jangan mudah melenting, sebelum cukup kasih diberi.

Seandainya saya memohon kotak kosong itu kekal dikosongkan, janganlah heret saya ke suasana yang menjadikan saya tersepit. Saya ada tanggungjawab kepada anak-anak, anda juga sama. Anak-anak dan isteri saya, adalah mad’u pertama saya.

Jika kita dalam perjalanan pulang dari KL ke Ipoh, kita singgah di Tapah untuk Solat dan makan. Kemudian kita meneruskan perjalanan ke Ipoh. Tetapi selepas 15 minit memandu, baru kita tersedar yang salah seorang anak kita tiada. Ketika itu kita kelam kabut mencari U-Turn dan mulut tidak henti-henti berdoa agar anak yang tertinggal di belakang, selamat dan tiada mudarat.

Ya, jika kita tercicir anak di perjalanan dunia, kita ada jalan untuk berpatah balik menyelamatkan keadaan. Tetapi berapa ramai ustaz, doktor, polis, jurutera, pegawai bank dan kita-kita semua yang ketika dalam perjalanan memanjat tangga kenaikan pangkat, kita tertinggal isteri dan anak-anak di belakang. Jika lebuh raya kita boleh berpatah balik. Tetapi jika mereka ditinggalkan dari Tarbiah dan didikan Islam, ketika kita tersedar yang mereka yang sudah jauh ketinggalan di belakang, apakah ada jalan pulang? Apakah ada satu lagi peluang? Jawapannya TIADA.

Jika ada lelaki atau wanita yang berjaya di dalam kerjaya, jangan lupa kepada pengorbanan anak-anak selama ini. Jangan lupa dosa kita terhadap mereka.

Saya hairan semasa membaca sabda Nabi SAW betapa tanda Kiamat itu adalah pada ibu yang melahirkan tuannya. Anak durhaka jadi kebiasaan. Mengapa suasana begitu boleh terjadi?

Akhirnya saya membuat kesimpulan, anak durhaka di akhir zaman, bermula dengan dosa ibu dan bapa yang sibuk bekerja. What you give, you get back!"


5 comments:

~albazrah~ said...

Thanks anis.

~albazrah~ said...

Macam ada tawafuq sikit dengan yang albazrah tulis hari ni. Didoakan kitra dapat jadi ibu yang baik2...

Kayzem said...

anis, lately ma pun mcm tu, baru anak dua tu, sejak2 iman start sekolah ni.. masih duk adapt dgn environment baru. dan 'lepas kemarahan' pada anak adalah cubaan dan dugaan terbesar masa sekarang. sgt mencabar! dan ma juga mcm anis, kalau rasa macam semacam je tak leh control, ma akan belek/hadam buku 'aku terima nikahnya' semula.. untuk 'cari balik' apa yg sepatutnya :).. dan artikel yg anis paste ni adalah salah satu artikel dalam buku saifulislam ni.. :).. sama2 kita muhasabah diri yea anis..

mystmine said...

albazrah: syukran... entry tersebut seakan menyuntik semangat. nak sayang lagi anak2 lebih dari sekarang.


kayzem: benar, telatah anak- anak seringkali menggugat sabar seorang ibu. sedangkan mungkin hakikatnya, depa nak bermanja setelah seharian tak jumpa kita.

rindu pada idlan dan iman. rumah di bukit minyak menanti2, bila org di oversea nak berkunjung :)

Kayzem said...

:)..

suami ku seorg pejuang (cikgu) yg setiap sabtu ke sekolah.. tu yg jarang ke mana2 kebelakangan ni..

insyaAllah, lain kali diusahakan, teringat sokmo nk menziarah.. :)